Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KUALA LUMPUR, 19 Februari – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menganjurkan Majlis ‘Secangkir Kopi’ bersama Penaung dan Penasihat, bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid petang hari ini. Majlis ini merupakan salah satu daripada aktiviti PUSPANITA dan istimewanya penganjuran kali ini ialah ia diadakan bagi meraikan persaraan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKR yang juga Pengerusi PUSPANITA Cawangan KKR iaitu YBhg. Puan Sri Dato’ Zaiton binti Mhad Ali. Majlis yang bertemakan pakaian merah jambu dan biru ini dimulakan dengan ucapan oleh YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha Kementerian yang juga merupakan Penasihat PUSPANITA Cawangan KKR. Para hadirin seterusnya dihiburkan dengan persembahan oleh ahli PUSPANITA daripada KKR, Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) dan ahli PUSPANITA Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

1

KUANTAN, 14 Februari – Kerajaan menambah peruntukan RM35 juta kepada Kementerian Kerja Raya bagi membaiki kawasan serta laluan berisiko berlaku kemalangan di jalan persekutuan di seluruh negara. Menteri Kerja Raya, YB. Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor berkata, peruntukan itu yang kesemuanya berjumlah RM60 juta akan diagihkan bagi menyelenggara 114 kawasan berisiko kemalangan baru di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Peruntukan itu katanya, diluluskan oleh Perdana Menteri, YAB. Datuk Seri Najib Tun Razak setelah beliau melihat impak positif penurunan kadar kemalangan di beberapa kawasan 'hitam' atau blackspot yang telah diselenggara oleh kementerian itu sebelum ini.

"Sebelum ini kami sudah menerima peruntukan RM25 juta untuk melaksanakan kerja berkaitan, dan peruntukan tambahan ini diumumkan Perdana Menteri Khamis lalu. Ia diluluskan setelah beliau berpuas hati melihat data-data yang dikeluarkan oleh kementerian hasil informasi Polis Diraja Malaysia menunjukkan penurunan kemalangan di kawasan-kawasan blackspot yang telah dikenal pasti amat memberangsangkan setelah kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Pelaksanaan Kerja Undi Pusingan ke-3 Penyelenggaraan Jalan Persekutuan, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian YBhg. Datuk Himmat Singh dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri, YBhg. Datuk Ir Rosman Yahya.

Menteri Kerja Raya berkata kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih 114 kawasan tersebut akan dimulakan bulan depan dan kebiasaanya mengambil masa empat hingga lima bulan untuk siap diperbaiki. Dalam pada itu beliau turut berpuas hati dengan kerja penyelenggaraan jalan persekutuan yang dilakukan kontraktor kecil dan berharap kontraktor yang menerima kontrak daripada kementerian dapat melaksanakannya tanggungjawab tersebut dengan efisien.

"Pusingan pertama kerja penyelenggaraan jalan persekutuan membabitkan peruntukan RM37.4 juta dilancarkan Julai tahun lalu di Alor Setar, Kedah menyaksikan semua kerja diberikan kepada kontraktor terpilih disiapkan dalam tempoh ditetapkan. "Begitu juga dalam pusingan kedua yang dilancarkan November lalu di Ipoh, Perak. Semua kontrak bernilai RM52 juta sedang giat dijalankan dan dijangka siap penghujung Mei ini," katanya.

Beliau berkata, pusingan ketiga membabitkan 262 projek bernilai RM18 juta dilancarkan serentak semalam di seluruh negara dan dijangka siap hujung tahun ini. – Bernama

1

KAJANG, 5 Februari – Program Kesedaran, Keselamatan dan Pembudayaan ICT Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah diadakan bertempat di Dewan Serbaguna LLM hari ini. Program ini bertujuan untuk memberi kesedaran akan kepentingan Dasar Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (DKICT) kepada warganya. DKICT LLM mengandungi peraturan-peraturan yang mesti dibaca dan dipatuhi dalam menggunakan aset teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) LLM. Dasar ini juga menerangkan kepada semua pengguna di LLM mengenai tanggungjawab dan peranan mereka dalam melindungi aset ICT LLM. Program yang berlangsung selama sehari ini telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Datuk Himmat Singh. Antara acara yang diatur adalah pelancaran aplikasi HAQS dan SPPL versi 2 LLM, slot ceramah, kuiz dan pameran berkaitan ICT.

1

KUALA LUMPUR, 30 Januari – Sambutan Maulidur Rasul peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya hari ini bersempena mengingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Sambutan dimulakan dengan perarakan warga KKR, Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang berselawat bermula dari perkarangan Blok A Kompleks Kerja Raya ke Dewan melalui Jalan Sultan Salahuddin.

Turut meraikan perarakan ini ialah YBhg. Dato’ Haji Nasir bin Mat Dam, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) dan YBhg. Dato’ Ir. Haji Ismail bin Md. Salleh, Ketua Pengarah LLM. Acara diteruskan di dalam Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid dengan bacaan ayat suci Al-Quran, persembahan qasidah dan selawat oleh para pelajar Madrasah Al-Yamani, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Para hadirin juga turut sama-sama berkongsi ilmu melalui ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, seorang penceramah bebas yang bertemakan “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah”. Sambutan ini diakhiri dengan para hadirin berselawat beramai-ramai diketuai oleh Ustaz Ahmad Al-Yamani. Dianggarkan lebih 800 warga KKR turut serta dalam program ini.

1

KAJANG, 29 Januari – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Dato’ Yong Khoon Seng berkata, Kerajaan telah meluluskan pembinaan terowong (underpass) dan jalan sambungan melintasi Taman Kajang Utama di Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK) dengan peruntukan sejumlah RM30 juta sewaktu mengadakan lawatan kerja ke tapak cadangan di KM20.5 Lebuhraya SILK hari ini.

Tempoh pembinaan terowong dan jalan sambungan ini dianggarkan selama 27 bulan mulai suku pertama 2013 termasuk tempoh pengambilan tanah dan dijangka akan siap pada suku kedua 2015. Panjang terowong adalah 33 meter manakala jalan sambungan adalah sepanjang 675 meter. Pembinaan terowong dan jalan sambungan ini akan menyediakan akses terus masuk/keluar Taman Kajang Utama dan penduduk tidak lagi perlu membuat pusingan U yang terletak sejauh 2km sebelum Plaza Tol Bukit Kajang dari kedudukan asal laluan tersebut yang menjadikan perjalanan ulang-alik bertambah kepada 4km. Pembinaan terowong ini akan memberi faedah kepada 20,000 pengguna dengan memendekkan tempoh perjalanan penduduk dan menjimatkan kos perjalanan serta memudahkan pergerakkan penduduk setempat.

1

KUALA LUMPUR, 29 Januari – Warga Kementerian Kerja Raya (KKR) diingatkan supaya menerapkan budaya produktiviti, kreativiti dan inovasi (PCI) serta amalan kerja yang yang cepat, tepat dan berintegriti (CTI) selaras hasrat YAB. Perdana Menteri Malaysia.  Menteri Kerja Raya, YB. Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor berkata demikian sewaktu Perhimpunan Bulanan KKR. Teks ucapan beliau dibacakan oleh YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha Kementerian bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini.

Pada perhimpunan ini, kakitangan KKR telah bersama-sama berkongsi amanat dan informasi daripada pihak pengurusan atasan. Beliau sekali lagi menyeru kepada semua warga Kementerian ini supaya berpadu tenaga dalam merealisasikan segala perancangan yang telah dibuat. “Kita mempunyai tanggungjawab yang besar bagi memastikan negara kita berada di atas landasan yang tepat dalam melaksanakan aspirasi nasional,” katanya di hadapan 800 hadirin yang terdiri daripada warga KKR, dan wakil daripada Jabatan dan Agensi.

1

SUBANG JAYA, 14 Januari - Menteri Kerja Raya, YB. Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor telah mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan pusingan U bertingkat di Kilometer 37.5 Lebuhraya Shah Alam (KESAS) hari ini bagi meninjau kemajuan kerja pembinaannya. Menurut beliau, projek tersebut dibuat bagi melegakan kesesakan lebuhraya yang kini mencecah sehingga 9,500 kenderaan satu jam pada waktu puncak.

Kementerian Kerja Raya telah memperuntukkan sebanyak RM25 juta kepada syarikat konsesi KESAS pada Oktober 2011 untuk projek tersebut. Pada lawatan itu juga, YB. Menteri turut mengumumkan penstrukturan semula kadar tol bagi semua jenis kenderaan di Lebuhraya KESAS di semua empat plaza tol lebuhraya iaitu Awan Besar, Sunway dan Kemuning yang akan memanfaatkan kira-kira 290,000 pengguna sekitar Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Klang.

1

YAN, 1 November – Seramai 200 kontraktor dari kelas G1 hingga G7 sekitar Negeri Kedah telah menghadiri Seminar Kerja-kerja Pembaikan Am Bangunan dan Latihan Praktikal anjuran Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) yang diadakan di Kampung Padang Lumat hari ini.

Pada seminar para kontraktor telah menjalani latihan praktikal dengan melakukan kerja-kerja pembaikan ke atas dua buah rumah penduduk kampung yang terpilih. Perasmian penutupan seminar ini telah disempurnakan oleh YB Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof diiringi Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Fadillah mengingatkan para kontraktor untuk tidak mengamalkan perbuatan ‘mengalibabakan’ kerja yang diperolehi kepada pihak luar dan menyeru agar para kontraktor bersatu di bawah persatuan yang ditubuhkan iaitu Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) agar kesatuan yang kuat sesama kontraktor bumiputera dapat diwujudkan dalam mendepani halangan yang timbul.

YB Menteri juga turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada sepuluh ketua isi rumah sekitar Kampung Padang Lumat yang turut disampaikan bersama-sama dengan Encik Yahaya bin Hasan, Pengarah PKK Malaysia dan Dato’ Mokhtar Hj Samad, Presiden PKMM.    

1

Image removed.MARAN, 11 Januari - Kementerian Kerja Raya memperuntukkan RM106.6 juta dalam tempoh Oktober 2012 hingga 5 Januari lepas untuk membaik pulih dan menyelenggara jalan raya persekutuan yang rosak akibat banjir baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor berkata ekoran banjir yang melanda baru-baru ini, Kementerian menerima banyak laporan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri mengenai jalan raya rosak terutama di pantai timur. "Kementerian juga turut memohon kepada jemaah menteri agar meningkatkan jumlah peruntukan bagi membiayai kos membaik pulih jalan-jalan yang terjejas terutama di Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kerja baik pulih jalan yang rosak akibat banjir di Jalan Kuantan-Maran, dekat Kampung Luit, di Kuantan semalam. Turutnya lagi, Kementerian juga menerima peruntukan sebanyak RM150 juta tahun ini untuk membaik pulih 184 saluran pembetung di jalan-jalan persekutuan di seluruh negara. ”Kami akan tukar saluran baharu dan mana-mana saluran yang kecil kita akan besarkan terutama di kawasan yang berisiko menghadapi banjir kilat bagi mengelak risiko jalan rosak dan mendap," katanya.

Beliau berkata kerja-kerja baik pulih jalan raya persekutuan yang terjejas sedang giat dijalankan oleh pihak konsesi untuk memastikan aliran trafik di kawasan terlibat tidak terjejas. "Kami akan bagi tempoh kepada syarikat konsesi sehingga Mac ini untuk menyiapkan kerja-kerja baik pulih terutama di kawasan aliran trafik yang tinggi. Ini bagi memastikan keselamatan terhadap pengguna jalan raya di laluan berkenaan tidak terjejas," katanya. Beliau turut berkata Kementerian juga bersedia untuk menaikkan aras jalan Jerangau-Jabor yang sering dinaiki air pada musim hujan.

1

KUALA LUMPUR, 9 Mei - Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah mengesyorkan Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk memperolehi Pensijilan 5S.  Ketua Auditor MPC, Puan Ati Djam Seri Montoi berkata demikian sewaktu membentangkan laporan Audit Persijilan 5S KKR hari ini bertempat di Kompleks Kerja Raya. 

KKR telah melantik pihak MPC untuk menjalankan audit 5S ke lapan zon yang terlibat di Kementerian ini.  Antara Zon-zon yang terlibat ialah Zon Gamelan (Bahagian Akaun), Zon Dahlia (Bahagian Kewangan), Zon Kenanga (Bahagian Perancang Jalan), Zon Jasmin (Bahagian Pengurusan Korporat), Zon Melati (Unit Komunikasi Korporat), Zon Kesidang (Unit Audit Dalam), Zon Seri Pagi (Bahagian Dasar Pembinaan) dan Zon Bougainvillea (Bahagian Pembangunan Usahawan).

Majlis telah dimulakan dengan kata-kata aluan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Encik Sarani bin Dollah dan diikuti dengan pembentangan pelaksanaan amalan 5S di KKR.

Aktiviti diteruskan dengan sesi pemeriksaan dokumentasi amalan 5S oleh dua auditor MPC iaitu Ketua Auditor dan Puan Norfaizah binti Abdul Rahman.  Semua fail 5S bagi Jawatankuasa Induk, Jawatankuasa Latihan, Promosi, Audit dan Zon 5S diperiksa bagi memenuhi kriteria pensijilan amalan 5S.  Setelah selesai pemeriksaan dokumen, auditor telah menjalankan lawatan ke lapan zon terlibat dan diiringi oleh pihak urus setia serta koordinator 5S KKR.  

Sesi taklimat penutupan audit telah diadakan pada sesi petang pada hari tersebut.  Ketua Auditor telah membentangkan hasil laporan audit terhadap semua pemerhatian yang dijalankan.  Secara keseluruhannya, Kementerian Kerja Raya telah layak untuk dipersijilkan. Harapan beliau, pencapaian yang diperolehi ini dapat memberikan semangat kepada bahagian-bahagian lain untuk meneruskan amalan 5S di Kementerian ini.  Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat.