Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Menteri Kerja Raya, YB Datuk Fadillah Yusof telah berbuka puasa bersama-sama para pelajar anak Sarawak yang tinggal di sekitar Lembah Klang hari ini. Majlis yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ini telah dihadiri seramai 250 orang pelajar Sarawak dari Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Teknologi Mara, kolej latihan perguruan serta beberapa orang pelajar kolej swasta.

1

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Menteri Kerja Raya, YB Datuk Fadillah Yusof telah melakukan lawatan kerja ke Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Tengah dan Construction Research Institute of Malaysia (CREAM), Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur hari ini.  ABM merupakan pusat latihan kemahiran binaan di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) manakala CREAM pula berperanan selaku pusat penyelidikan (R&D) utama negara khusus dalam industri pembinaan ke arah menggiatkan aktiviti R&D untuk Sistem Binaan Berindustri (IBS).  Turut serta dalam lawatan ini ialah Pengerusi CIDB, YBhg. Datuk Ir. Hamzah Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, YBhg. Dato’ Sri Prof. Ir. Dr. Judin Abd. Karim dan pegawai kanan KKR.

1

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Majlis Berbuka Puasa bersama YB Menteri Kerja Raya telah diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini. Pada majlis ini seramai 37 orang anak yatim dan 19 orang ibu tunggal telah diraikan. Sumbangan derma dan cenderahati telah disampaikan oleh YB Datuk Fadillah Yusof diiringi isterinya, Datin Ruziah Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha Kementerian. Majlis diakhiri dengan solat Maghrib, Isyak dan tarawih berjemaah di surau JKR.

1

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Warga Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menghidupkan bulan Ramadhan dengan menghadiri Siri Wacana Ilmu yang diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini. Penceramah untuk siri ini ialah YBhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM). Majlis ini merupakan anjuran Unit Hal Ehwal Islam KKR dan Surau KKR.

1

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Menyedari akan kepentingan  pencegahan rasuah dan kepentingan integriti dalam organisasi, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengambil inisiatif dengan menjalin kerjasama melalui Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman ke Arah Pembanterasan Rasuah dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Dewan Tanjung, Kompleks Kerja Raya hari ini. 

Majlis menandatangani MOU dimeterai antara Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Himmat Singh dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg. Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah YB Datuk Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya, YB Senator Datuk Paul Low Seng Kwan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Pengarah, Jabatan Kerja Raya Malaysia, Dato’ Seri Ir. Hj. Mohd Noor Yaacob, YBrs. Encik Ravindran Devagunam, Pengarah NKRA Rasuah, Ketua Pengarah Agensi dan Jabatan di bawah KKR serta pegawai-pegawai kanan KKR dan SPRM.  

1

KUCHING, 30 Jun - YB Datuk Fadillah bin Yusof , Menteri Kerja Raya telah sudi merasmikan Penutupan Kursus Pengukuran Kuantiti Projek dalam Pembinaan anjuran Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), Kementerian Kerja Raya (KKR).  Kursus ini merupakan salah satu usaha PKK untuk memberi pendedahan dan kemahiran kepada kontraktor berhubung pengurusan projek dan kuantiti dalam projek - projek pembinaan.

Kursus ini telah diadakan selama dua hari, bertempat di Hotel Merdeka Palace, Kuching dan di hadiri seramai 120 orang kontraktor daripada Gred G1 sehingga G7, dari seluruh daerah Negeri Sarawak termasuklah yang berada di Lawas dan Limbang.  Para kontraktor yang hadir akan mendapat 20 mata CCD bagi tujuan pembaharuan lesen di peringkat CIDB dan kursus ini akan digunapakai untuk memperbaharui Sijil Taraf Bumiputera kontraktor PKK.

1

KUALA LUMPUR, 28 Jun - Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia telah membangunkan Sistem Permohonan Mendirikan Struktur Paparan Iklan di dalam Rizab Jalan Persekutuan/Lebuhraya yang dikenali sebagai e-SITE pada tahun 2012.  Justeru, bagi memudahkan semakan dan mengenal pasti lokasi permohonan sistem e-SITE, penggunaan alat peranti global positioning system (GPS) untuk sistem koordinat diperkenalkan.  Ini memudahkan proses semakan dan ulasan terhadap permohonan yang diterima, sebelum diangkat untuk kelulusan Yang Berhormat Menteri Kerja Raya Malaysia.

Sebanyak 24 alat GPS telah dibekalkan kepada JKR Daerah, Bahagian Senggara Fasiliti Jalan (BSFJ) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu majlis penyerahan alat tersebut yang disempurnakan oleh YBrs. Encik Zainudin bin Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), KKR bertempat di Bilik Cempaka, Kompleks Kerja Raya.  Taklimat penggunaan alat GPS ini telah disampaikan oleh Encik Kelvin Chua daripada Allbright Technology Sdn. Bhd.

1

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2012 Kementerian Kerja Raya (KKR) telah berlangsung di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini.  Seramai 911 orang penerima telah dianugerahkan APC 2012 dan buat julung kalinya seorang warga KKR telah menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC).  Anugerah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Datuk Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Datuk Himmat Singh, serta beberapa pegawai kanan dan Ketua Agensi di bawah KKR.

1

KUALA LUMPUR, 18 Jun - Kira-kira 25,000 kontraktor kecil bumiputera boleh menarik nafas lega apabila kerajaan memberi jaminan mengutamakan golongan itu dalam melaksanakan projek kerajaan yang akan dipelbagaikan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, langkah tersebut dibuat supaya mereka mempunyai peluang dan ruang sama rata dengan para kontraktor lain, sekali gus mampu meningkatkan prestasi lebih baik.

Namun, jelas beliau, golongan tersebut perlu merebut peluang itu sebaik-baiknya dan melaksanakan mengikut prosedur dan masa ditetapkan agar tidak dipersalahkan jika berlaku kegagalan pelaksanaan projek berkenaan.

"Kementerian bersetuju untuk memberi projek kecil yang dipecahkan daripada projek besar kepada kontraktor Kelas F supaya mereka turut mendapat peluang.

"Langkah itu sebagai bukti bahawa kerajaan sentiasa mendengar suara kontraktor bumiputera dan tidak akan berhenti membawa suara mereka di peringkat atasan," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) peringkat Wilayah Persekutuan Ke-31, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden PKMM, YBhg. Datuk Mokhtar Abdul Samad.  Sementara itu, Mokhtar berkata, pihak persatuan amat menghargai langkah kerajaan itu demi membantu golongan kontraktor kecil bumiputera yang masih ketinggalan dalam industri pembinaan berbanding bangsa lain.

Beliau berkata, pihaknya turut menyarankan kementerian agar mengkaji semula fungsi Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) untuk bertindak sebagai pengawal bahan binaan yang boleh membekalkan bahan itu kepada golongan kontraktor Kelas F.

"PKK juga diminta bertindak sebagai agensi pelaksana yang bukan hanya sekadar mendaftarkan atau mengeluarkan taraf kontraktor bumiputera," katanya. – UTUSAN MALAYSIA

1

KUALA LUMPUR 18 Jun - Kementerian Kerja Raya (KKR) memerlukan peruntukan kira-kira RM10 juta untuk menaik taraf 16 kilometer laluan motosikal seliaan JKR di sepanjang Lebuhraya Persekutuan.

Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Fadillah Yusof berkata, peruntukan itu untuk melaksanakan beberapa projek termasuk membesar dan membaik pulih laluan, menerangkan kawasan laluan gelap dengan lampu dan menyediakan pam air di laluan yang mudah berlaku banjir kilat.

"Akibat kedaifan dan kurangnya penyelenggaraan lorong motosikal ini, maka ramai pengguna motosikal telah beralih menggunakan jalan utama yang mempunyai kadar trafik dan risiko kemalangan yang tinggi.

"Justeru langkah membaik pulih ini bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna motosikal di lebuh raya ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau lorong motosikal di Lebuh Raya Persekutuan, di sini.

Lebuh Raya Persekutuan yang dibina pada 1977 melibatkan laluan sepanjang 45 kilometer menghubungkan Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang menjadi nadi ekonomi dan laluan tulang belakang kepada negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ia juga dikenali sebagai lebuh raya pertama di Malaysia yang mempunyai lorong motosikal di negara ini.

YB. Datuk Fadillah berkata, sehingga kini JKR menerima peruntukan kira-kira RM1 juta setahun untuk kerja penyelenggaraan laluan berkenaan.

"Bagaimanapun untuk melaksanakan lebih banyak projek penambahbaikan, kami memerlukan peruntukan lebih daripada itu," katanya.

Awal tahun ini, JKR membelanjakan RM0.9 juta untuk membaik pulih cerun yang runtuh dan menyelenggara rumah pam terowong di kedua-dua arah berhampiran kilang Motorola di Sungai Way.

Keseluruhan panjang lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT02 (KL-Bandar Klang-KL) ialah sepanjang 56.8 kilometer yang melibatkan penyelenggaraan di bawah seliaan empat pihak iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sepanjang 4.8 kilometer, JKR (16km), Lebuh Raya Sprint (4km) dan Lebuh Raya Utara-Selatan (32km). - BERNAMA.