Langkau ke kandungan utama
1

25,000 Kontraktor Kecil Bumiputera diberi Keutamaan

KUALA LUMPUR, 18 Jun - Kira-kira 25,000 kontraktor kecil bumiputera boleh menarik nafas lega apabila kerajaan memberi jaminan mengutamakan golongan itu dalam melaksanakan projek kerajaan yang akan dipelbagaikan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, langkah tersebut dibuat supaya mereka mempunyai peluang dan ruang sama rata dengan para kontraktor lain, sekali gus mampu meningkatkan prestasi lebih baik.

Namun, jelas beliau, golongan tersebut perlu merebut peluang itu sebaik-baiknya dan melaksanakan mengikut prosedur dan masa ditetapkan agar tidak dipersalahkan jika berlaku kegagalan pelaksanaan projek berkenaan.

"Kementerian bersetuju untuk memberi projek kecil yang dipecahkan daripada projek besar kepada kontraktor Kelas F supaya mereka turut mendapat peluang.

"Langkah itu sebagai bukti bahawa kerajaan sentiasa mendengar suara kontraktor bumiputera dan tidak akan berhenti membawa suara mereka di peringkat atasan," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) peringkat Wilayah Persekutuan Ke-31, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden PKMM, YBhg. Datuk Mokhtar Abdul Samad.  Sementara itu, Mokhtar berkata, pihak persatuan amat menghargai langkah kerajaan itu demi membantu golongan kontraktor kecil bumiputera yang masih ketinggalan dalam industri pembinaan berbanding bangsa lain.

Beliau berkata, pihaknya turut menyarankan kementerian agar mengkaji semula fungsi Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) untuk bertindak sebagai pengawal bahan binaan yang boleh membekalkan bahan itu kepada golongan kontraktor Kelas F.

"PKK juga diminta bertindak sebagai agensi pelaksana yang bukan hanya sekadar mendaftarkan atau mengeluarkan taraf kontraktor bumiputera," katanya. – UTUSAN MALAYSIA

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita