Langkau ke kandungan utama
1

Kerajaan Lulus Peruntukan Tambahan Baiki Jalan Berisiko Kemalangan

KUANTAN, 14 Februari – Kerajaan menambah peruntukan RM35 juta kepada Kementerian Kerja Raya bagi membaiki kawasan serta laluan berisiko berlaku kemalangan di jalan persekutuan di seluruh negara. Menteri Kerja Raya, YB. Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor berkata, peruntukan itu yang kesemuanya berjumlah RM60 juta akan diagihkan bagi menyelenggara 114 kawasan berisiko kemalangan baru di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Peruntukan itu katanya, diluluskan oleh Perdana Menteri, YAB. Datuk Seri Najib Tun Razak setelah beliau melihat impak positif penurunan kadar kemalangan di beberapa kawasan 'hitam' atau blackspot yang telah diselenggara oleh kementerian itu sebelum ini.

"Sebelum ini kami sudah menerima peruntukan RM25 juta untuk melaksanakan kerja berkaitan, dan peruntukan tambahan ini diumumkan Perdana Menteri Khamis lalu. Ia diluluskan setelah beliau berpuas hati melihat data-data yang dikeluarkan oleh kementerian hasil informasi Polis Diraja Malaysia menunjukkan penurunan kemalangan di kawasan-kawasan blackspot yang telah dikenal pasti amat memberangsangkan setelah kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Pelaksanaan Kerja Undi Pusingan ke-3 Penyelenggaraan Jalan Persekutuan, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian YBhg. Datuk Himmat Singh dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri, YBhg. Datuk Ir Rosman Yahya.

Menteri Kerja Raya berkata kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih 114 kawasan tersebut akan dimulakan bulan depan dan kebiasaanya mengambil masa empat hingga lima bulan untuk siap diperbaiki. Dalam pada itu beliau turut berpuas hati dengan kerja penyelenggaraan jalan persekutuan yang dilakukan kontraktor kecil dan berharap kontraktor yang menerima kontrak daripada kementerian dapat melaksanakannya tanggungjawab tersebut dengan efisien.

"Pusingan pertama kerja penyelenggaraan jalan persekutuan membabitkan peruntukan RM37.4 juta dilancarkan Julai tahun lalu di Alor Setar, Kedah menyaksikan semua kerja diberikan kepada kontraktor terpilih disiapkan dalam tempoh ditetapkan. "Begitu juga dalam pusingan kedua yang dilancarkan November lalu di Ipoh, Perak. Semua kontrak bernilai RM52 juta sedang giat dijalankan dan dijangka siap penghujung Mei ini," katanya.

Beliau berkata, pusingan ketiga membabitkan 262 projek bernilai RM18 juta dilancarkan serentak semalam di seluruh negara dan dijangka siap hujung tahun ini. – Bernama

Tarikh Dan Waktu Acara