Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

Image removed.Keningau, 25 Jun - Kerajaan telah meluluskan Peruntukan sebanyak RM11 Juta Untuk membolehkan Projek Naik Taraf Tiga Jalan Di Keningau, Sabah iaitu Jalan Mailo Sodomon, Jalan Biah Skim dan Jalan Linggaran Biah dapat dimulakan segera.

YB. Dato’ Seri Shaziman bin Abu Mansor, Menteri Kerja Raya berkata kepada media semasa Lawatan Kerja sehari YB. Menteri di Sabah. Tambah YB. Menteri, daripada jumlah itu, sebanyak RM2 juta akan diperuntukkan untuk Jalan Mailo Sodoman, Jalan Biah Skim (RM3 juta) dan Jalan Linggaran Biah (RM6juta).

Projek menaik taraf Jalan Mailo Sodomon sepanjang 1.85 kilometer telah pun dimulakan dan dijangka siap dalam tempoh sebulan. Manakala bagi projek menaik taraf Jalan Biah Skim sepanjang 5.23 kilometer pula, status projek ini masih diperingkat proses penyediaan dokumen tender.

Projek ini dijangka dapat dimulakan di tapak selewat-lewatnya pada bulan Ogos ini. Turut hadir dalam lawatan kerja tersebut, YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah, serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan agensi.

[Galeri Foto]

Image removed.Sadong Jaya, 18 Jun - Kerajaan memperuntukkan hampir RM230 juta untuk menjayakan projek pembinaan jambatan terpanjang di Sarawak iaitu menghubungkan Asajaya dan Simunjan di Kota Samarahan. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, pembinaan projek jambatan sepanjang 1.48 kilometer itu akan bermula bulan ini dan dijangka siap pada Julai 2016.

"Tujuan utama kerajaan membina jambatan ini kerana ia berupaya mengurangkan hampir satu jam masa perjalanan pengguna selain mengatasi masalah kesesakan penumpang feri. Jambatan ini kelak akan turut dapat meningkatkan produktiviti penduduk kampung apabila mereka boleh mengangkut hasil pertanian dengan lebih cepat," katanya selepas melawat tapak projek pembinaan jambatan di Batang Sadong, Kampung Buloh di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Ir. Aidel Lariwoo. Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak meluluskan projek tersebut selepas mengadakan lawatan ke Asajaya pada April tahun lalu. Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan pembinaan sebuah jambatan merentasi Sungai Pandaruan yang menyempadani Sarawak di Malaysia dan daerah Temburong di Brunei yang menelan kos sebanyak RM15 juta dan dijangka siap menjelang Ogos tahun hadapan.

Sementara itu, salah seorang penduduk kampung, Jamil Harbi, 40, ketika ditemui berkata, dia gembira dengan langkah kerajaan membina jambatan tersebut setelah sekian lama menanti. "Majoriti penduduk kampung ini bekerja sebagai nelayan dan petani, kami menjual hasil tangkapan serta pertanian ke kawasan seberang,'' katanya.

[Galeri Foto]

Image removed.LIMBANG 11 Jun - Bandar ini bakal dihubungkan dengan daerah Temburong, Brunei menerusi jalan darat buat pertama kali apabila jambatan baru di Sungai Pandaruan di sini siap dibina pada Ogos tahun depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Himmat Singh berkata, kerja-kerja pembinaan jambatan yang menelan belanja RM20.8 juta itu telah pun dimulakan oleh kontraktor dilantik sejak 15 Mei lalu.

"Jambatan itu merupakan projek kerjasama antara kerajaan Brunei dengan kita menerusi perjanjian bersama yang ditandatangani pada 12 September tahun lalu dan perlu disiapkan sebelum sidang kemuncak ASEAN yang akan berlangsung November tahun depan.

"Apabila siap, ia bakal menggantikan perkhidmatan feri di Sungai Pandaruan yang selama ini menjadi perhentian terakhir jajaran jalan raya Pan Borneo, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan dan pertumbuhan antara dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek tersebut yang turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan Brunei, Datuk Awang Alaihuddin Awang Mohamad Taha di sini hari semalam.

Mengulas lanjut, Himmat yang juga Pengerusi Bersama projek tersebut berkata, jambatan sepanjang 189 meter dengan dua lorong memandu bagi setiap hala itu diperbuat sepenuhnya daripada bahan berteknologi tinggi pre-cast concrete.

"Bagi pembinaan jalan di kedua-dua arah pula, ia akan dibina oleh kerajaan masing-masing.

"Jabatan Kerja Raya (JKR) sekarang sedang merangka reka bentuk untuk jalan tuju di sebelah Limbang manakala di sebelah Temburong, kerja-kerja pembinaannya dilaksanakan oleh pihak JKR Brunei," katanya.

[Galeri Foto]

 

Image removed.LANGKAWI: Kementerian Kerja Raya akan memberi lebih banyak peluang kepada syarikat kecil untuk terlibat dalam penyelenggaraan jalan persekutuan menerusi tender terbuka.

Menterinya, Dato' Seri Shaziman Abu Mansor berkata, kementeriannya mensasarkan pembabitan sekurang-kurangnya 50 peratus kontraktor kelas D, E dan F tahun ini, berbanding hanya 30 peratus tahun lalu.

"Melalui tender terbuka untuk kerja penyelenggaraan berkala kepada kontraktor kelas D, E dan F, ia lebih bagus untuk pengagihan kek ekonomi industri pembinaan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Pegawai Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia 2012, di sini Isnin.

Shaziman berkata, ketika ini kerja penyelenggaran berkala diberi kepada syarikat konsesi sedangkan mereka sudah diberi projek penyelenggaraan rutin, iaitu tiga syarikat di Semenanjung dan lima di Sabah dan Sarawak.
Kerja penyelenggaraan rutin melibatkan kerja seperti menampal lubang atau baik pulih keretakan permukaan jalan, memperbaiki bahu jalan, memotong rumput, membersih dan mengecat papan perabot jalan seperti papan tanda, pembentungan serta pemeriksaan harian dan rutin.

Kerja penyelenggaraan berkala pula membabitkan antaranya membaik pulih pembentung, mengganti penghadang jalan, mengganti papan tanda dan pelbagai kerja pembaikan berjadual. Shaziman berkata, tahun lepas, sebanyak RM268.7 juta diperuntuk bagi penyelenggaraan rutin manakala penyelenggaraan berkala sebanyak RM246 juta.

"Kerja penyelenggaraan rutin memang kita berikan kepada konsesi tetapi penyelenggaraan berkala terpulang kepada JKR untuk menentukan sama ada beri kepada konsesi atau dibuat tender terbuka. Jadi saya minta JKR mengadakan mekanisme bagi mempercepatkan sebut harga proses bagi penyelenggaraan berkala," katanya.
Beliau berkata, sehingga hujung tahun ini, kementerian itu memperuntukkan RM170 juta bagi syarikat kecil terlibat dalam penyelenggaraan berkala.

"Bagi syarikat-syarikat konsesi, saya berharap mereka dapat memikirkan kaedah baru untuk kerja-kerja penyelenggaraan menggunakan teknologi terkini. "Teknologi yang ada sekarang ini, syarikat-syarikat kecil pun boleh buat jika diberi peluang. Syarikat konsesi tidak boleh berpuas hati," katanya.

Beliau juga menolak kebimbangan mengenai kualiti perkhidmatan oleh kontraktor kecil. "Kalau kita tak beri peluang kepada kontraktor kecil macam mana kita nak bimbing mereka. Ada 60,000 kontraktor di negara ini yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan daripada jumlah itu 27,000 adalah kontraktor kelas F," katanya.


Katanya, sehubungan itu, kerja penyelenggaraan untuk jalan baru selepas ini akan dibuat secara tender terbuka supaya lebih banyak kontraktor mendapat peluang. "Sebagai permulaan, terdapat 10 projek jalan baru yang akan dibuka tender penyelenggaraannya kepada awam di bawah Rancangan Malaysia ke-10," katanya.

[Galeri Foto]

Image removed.Kuala Lumpur, 1 Jun - Kontraktor Bumiputra kini dapat bersaing dengan kontraktor lain dalam bidang pembinaan. Namun, mereka perlu lebih berinovatif untuk mendapat peluang yang lebih luas di Negara ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, Y. Bhg. Dato’ Nasir Bin Hj Mat Dam berkata demikian dalam ucapan perasmian Malaysian International Renovation Expo 2012 di Putra World Trade Centre (PWTC) Kuala Lumpur. Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) telah mengambil bahagian di dalam Malaysia

n International Renovation Expo 2012 kali ini. PKK juga telah membawa seramai 15 kontraktor dan usahawan binaan Bumiputera turut serta dalam pameran ini. Program yang melibatkan kerjasama persatuan kontraktor telah mendapat

sambutan yang menggalakkan. Kontraktor yang terlibat juga mendapat jaringan perniagaan di kalangan orang perseorangan dan juga syarikat swasta. Pameran ini telah berjaya menarik pengunjung lebih 100,000 orang.

[Galeri Foto]

Kementerian Kerja Raya akan melaksanakan pendaftaran kontraktor kerja secara berpusat di bawah CIDB BERKUATKUASA 15 SEPTEMBER 2012. Oleh itu, semua perkhidmatan pendaftaran kontraktor di bawah PKK akan ditutup pada 29 Jun 2012. Sila layari portal PKK (pkk.kkr.gov.my) untuk maklumat lanjut atau berhubung terus dengan PKK di talian 03-8880 5365 (Pn. Nurul Shuhairah), 03-8880 5265 (Pn. Juliana Baderi) atau 03-8880 5287 (Pn. Norliyana Bokti) untuk keterangan lanjut.

Image removed.BANTING, 29 Mei - Pengguna lebuh raya Lembah Klang Selatan (SKVE) Seksyen 2, akan menikmati tol percuma selama sebulan sehingga 29 Jun ini sempena pembukaan rasmi laluan itu hari ini, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Laluan 12.9 km menghubungkan persimpangan SKVE Saujana Putra dan persimpangan Teluk Panglima Garang itu secara tidak langsung mampu menjadi pemangkin pembangunan di sepanjang koridor lebuh raya iaitu Bandar Saujana Putra, Kebun Baru, Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Jenjarom dan Banting, katanya.

Beliau berkata, lebuh raya empat lorong-dua hala dengan kelebaran 3.65 meter bagi setiap lorong itu dibina dengan penekanan aspek kualiti dan ciri keselamatan seperti dilengkapi sistem pemantauan trafik dan pasukan ronda 24 jam sehari.

"Saya yakin dengan kualiti ini serta kemudahan yang ditawarkan, ia mampu menjadi laluan yang selesa dan selamat kepada pengguna lebuh raya," kata Shaziman dalam ucapan pada majlis perasmian SKVE Seksyen 2 itu di Plaza Tol Teluk Panglima Garang dekat sini hari ini. Ucapannya dibacakan Ketua Setiusaha Kementerian, Datuk Himmat Singh.

Lebuhraya SKVE mempunyai tiga seksyen iaitu 1A dan 1B, Sekyen 2 dan Sekyen 3 dengan kos RM1.1 bilion.

[Galeri Foto]

Image removed.Seremban 25 Mei - YB. Dato’ Seri Shaziman bin Abu Mansor, Menteri Kerja Raya telah mengadakan lawatan kerja ke projek menyiapkan kerja tertinggal pembinaan jalan baharu dari Lebuh Raya Seremban-Port Dickson ke laluan 5 dari Pasir Panjang dan menaiktaraf laluan persekutuan dari Pasir Panjang ke Linggi. YB. Menteri mengulas kepada media mengenai projek menyiapkan kerja tertinggal itu yang melibatkan kos RM164.2 juta, beliau berkata projek itu sepatutnya siap pada 2007 dan kini dijadual semula untuk siap hujung tahun ini dengan pelantikan kontraktor baharu tahun lepas.

Dalam pada itu, YB. Menteri turut mengulas mengenai isu projek “sakit “ di bawah seliaan KKR. Beliau menjelaskan hanya empat projek "sakit" Kementerian Kerja Raya dalam tempoh perancangan 2012-2013 Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan keadaan itu dianggap dalam kawalan, kata menteri berkenaan Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor. Dari segi peratus, katanya, projek sakit itu hanya 2.3 peratus daripada keseluruhan projek yang dilaksanakan.

"Empat projek itu ialah jalan penghubung ke Pusat Pentadbiran Persekutuan Baru Sarawak melibatkan kos RM126.9 juta, membina pejabat Kerja Raya Tambunan, Sabah (RM2.3 juta), menaiktaraf jalan dari persimpangan Bunga Cengkih ke persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur ke Sungai Lembing, Pahang (RM33 juta) dan Bangunan Gunasama Persekutuan Klang, Selangor (24.6 juta)".

Dalam RMK-10, KKR menerima 178 projek dan daripada itu, 39 projek telah disiapkan, 114 dalam pembinaan manakala 25 projek lagi masih di peringkat pembinaan.

[Galeri Foto]

Image removed.Kuala Lumpur-Kementerian Kerja Raya telah mengadakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi Tahun 2011 pada 24 Mei 2012 (Khamis) yang bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid.

Majlis tersebut adalah sebagai tanda pengiktirafan bagi meraikan pegawai dan kakitangan yang telah memberi perkhidmatan cemerlang serta sumbangan yang bermakna kepada organisasi. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB. Dato’ Seri Shaziman Bin Abu Mansor.

Dalam majlis tersebut, seramai 900 penjawat awam Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya dari setiap negeri, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), dan Lembaga Pembangunan Indusrti Pembinaan (CIDB) yang telah diraikan untuk menerima anugerah kecemerlangan tersebut.

Dalam amanat YB. Menteri juga turut menyarankan supaya setiap pegawai dan kakitangan agar terus berusaha untuk merealisasikan visi dan misi yang telah terpatri dalam mengekalkan kelestarian perkhidmatan yang disumbangkan. YB. Menteri juga turut mengucapkan tahniah kepada semua penerimaan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2011.

[Galeri Foto]

KUALA LUMPUR, 14 Mei - Kerajaan akan berunding dengan pihak berkepentingan baru Plus Expressways Bhd (PLUS) bagi mencari jalan mengurangkan kadar atau menghapuskan tol di beberapa bahagian lebuh raya kendalian syarikat itu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Mansor berkata, bagi tujuan itu, kerajaan akan berbincang dengan Kumpulan UEM dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Walaupun penstrukturan (PLUS) baru siap, telah ada permintaan daripada rakyat bagi mengurangkan kadar atau menghapuskan tol di kawasan tertentu, maka ini diambil perhatian penting oleh kerajaan.

"Maka kerajaan kini sedang mengkaji kalau ada ruang boleh dilakukan untuk mengurangkan harga atau tutup dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Kompleks Kerja Raya 2 di sini.

Beliau berkata, selain kepentingan rakyat, langkah itu bergantung kepada pelbagai faktor lain seperti pampasan yang perlu dikeluarkan kerajaan dan kepentingan 'stakeholders' PLUS.

"Pampasan yang kerajaan perlu keluarkan datangnya daripada wang rakyat, maka jika kerajaan keluarkan, ia perlu memberi kebaikan kepada rakyat secara menyeluruh, bukan hanya sebahagian kecil," katanya.

Mengulas Kompleks Kerja Raya 2, Shaziman berkata, bangunan ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) setinggi 37 tingkat itu dijangka siap pada Jun tahun depan.

"Setelah siap, bangunan ini mampu menempatkan kira-kira 1,300 daripada 2,600 pegawai dan kakitangan JKR dari cawangan sekitar ibu kota. Sekarang kita belanjakan kira-kira RM3.97 juta sebulan untuk sewa pejabat cawangan ini.

"Bagi menempatkan kesemua cawangan JKR (di Lembah Klang) di bawah satu bumbung, Kementerian Kerja Raya sedang merancang untuk membina satu lagi kompleks, iaitu Kompleks Kerja Raya 3," katanya.

Beliau berkata, Kompleks Kerja Raya 2 bakal menjadi bangunan tinggi kerajaan pertama yang mencapai tahap platinum di bawah 'Indeks Bangunan Hijau'.

|Galeri Foto|