Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

Image removed.KUALA LUMPUR, 28 November – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), Road Engineering Association of Malaysia (REAM) dan The Chartered Institution of Highways and Transportation (CiHTMb) disokong oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menganjurkan “Second International Seminar on the Design and Construction of the Second Penang Bridge (ISDC 2012)” selama dua hari bermula hari ini bertempat di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.

Seminar ini bertujuan untuk menyediakan pentas bagi penggiat industri binaan berkumpul, berbincang serta berkongsi pengalaman dan kepakaran berhubung penggunaan teknologi hijau dan inovasi pembinaan dengan mengoptimakan kos tanpa mengabaikan kualiti dalam pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha Kementerian telah mewakili Menteri Kerja Raya untuk menyampaikan ucaptama dan seterusnya merasmikan seminar ini. “Teknologi yang telah diterjemahkan ke dalam konsep pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang akan menjadi ikon baharu di Malaysia ini telah membuktikan bahawa negara kita mempunyai kepakaran dan pengalaman serta tenaga kerja mahir yang berkelayakan untuk melaksanakan pembinaan mampan,” ujar beliau di hadapan lebih 600 peserta dan tetamu jemputan.

KUALA LUMPUR, 26 November - Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Cawangan Pembangunan Sistem, Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) telah membangunkan satu sistem aplikasi berasaskan web secara dalaman iaitu Sistem Permohonan Mendirikan Struktur Paparan Iklan di Jalan Persekutuan / Lebuhraya serta Pembangunan di Tepi Lebuhraya atau eSite.

Sistem ini menyediakan perkhidmatan atas talian untuk membuat permohonan dan menyemak status permohonan bagi mendirikan struktur paparan iklan di Jalan Persekutuan dan Lebuhraya serta menjalankan pembangunan di tepi Lebuhraya. Inisiatif terkini ini dilihat dapat menjimatkan masa dan kos melalui pemendekkan tempoh pemprosesan permohonan selain semakan lokasi menjadi lebih mudah dengan penggunaan teknologi Geographical Information System (GIS).

Sehubungan itu, satu majlis pelancaran pengenalan telah diadakan di Dewan Sri Tanjung, Kompleks Kerja Raya oleh YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha Kementerian dihadapan tetamu yang dijemput khas bagi memberi maklumbalas awal terhadap sistem baru ini. Pada majlis itu juga, para pegawai yang telah berusaha keras membangunkan sistem ini turut dihargai melalui penganugerahan sijil penghargaan.

Sistem ini boleh diakses oleh orang awam selain membantu para pegawai daripada Bahagian Pembangunan dan Penswastaan (BPP) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam menguruskan permohonan yang diterima terutamanya dari segi perekodan maklumat permohonan dan bayaran pemprosesan. Selain itu, sistem ini juga menyediakan laporan statistik dalam bentuk carta dan jadual.

Image removed.Image removed.IPOH, 19 November – Majlis Perasmian Kerja Undi Penyenggaraan Jalan Persekutuan pusingan kedua telah diadakan dan dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor bertempat di dataran Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak hari ini.

Sebanyak 310 kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan bernilai RM52 juta diagihkan pada pusingan kedua hari ini menerusi sistem cabutan undi kepada para kontraktor kelas G1, G2 dan G3 dan diadakan serentak di seluruh Semenanjung Malaysia. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM40 juta diperuntukkan untuk kerja penyenggaraan di Semenanjung Malaysia manakala RM12 juta untuk Sabah dan Sarawak.

“Kesemua 310 buah projek ini akan mula dilaksanakan secara serentak di seluruh negara pada awal tahun hadapan dan dijadualkan siap pada bulan Mei 2013”, menurut Menteri Kerja Raya.

Beliau turut mengulas bahawa pelaksanaan sistem cabutan undi itu dilakukan berikutan keputusan kerajaan menawarkan kerja-kerja kecil Persekutuan kepada kontraktor kecil bagi memberi peluang kepada mereka menguruskan projek berkenaan.

Bagi cabutan undi yang dilakukan di Ibu Pejabat JKR Perak ini, sejumlah 11 kerja telah ditawarkan iaitu 2 kerja kepada kontraktor kelas G3 dan 9 kerja kepada pemegang lesen kelas G2 dengan nilai keseluruhannya RM2.979 juta. Kerja undian bagi kotraktor kelas F atau G1 pula diadakan di pejabat-pejabat JKR Daerah.

Image removed.Image removed.KUALA LUMPUR, 1 November – Sambutan Hari Inovasi 2012 Kementerian Kerja Raya (KKR) telah dirasmikan hari ini oleh YB. Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor, Menteri Kerja Raya, bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid dengan bertemakan ‘Inovasi Asas Kecemerlangan’.

Penyampaian anugerah telah disampaikan oleh YB. Menteri kepada kumpulan yang telah berjaya menjadi Johan, Naib Johan dan tempat Ketiga untuk kategori yang dipertandingkan. Antara kategori anugerah adalah seperti Anugerah Kumpulan KIK (Pengurusan), Anugerah Kumpulan KIK (Teknikal), Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan, Anugerah Inovasi Pengurusan Bilik Fail (5S) dan Anugerah Inovasi ICT.

Hari Inovasi 2012 dilangsungkan selama dua hari dan ia adalah usaha berterusan Kementerian bagi membentuk dan membudayakan warga KKR dalam mempelbagaikan dimensi inovasi melalui inovasi cara berfikir, bertindak dan sanggup berubah supaya terus relevan dengan persekitaran dan cabaran semasa.

Pelbagai program dan aktiviti telah diatur sepanjang Hari Inovasi ini antaranya Ceramah Inovasi oleh Imam Muda Asyraf, Explorace KKR 2012, pameran dari Jabatan dan Agensi KKR serta syarikat swasta dan Hari Bertemu Pelanggan.

Image removed.Image removed.CAMERON HIGHLANDS, 23 Oktober - Sebanyak 21,000 kawasan telah dikenal pasti terdedah kejadian tanah runtuh di seluruh negara dan dalam musim semasa antara monsun, Kementerian Kerja Raya telah meminta orang ramai untuk peka terhadap "tanda-tanda amaran awal" tanah runtuh di kawasan kediaman mereka.

Menteri, Dato' Seri Shaziman Abu Mansor berkata kira-kira 16,000 atau 76 peratus daripada kawasan, yang dikenal pasti melalui bahagian kejuruteraan cerun kementerian, di Semenanjung Malaysia, diikuti oleh kira-kira 3,000 di Sabah dan 2000 di Sarawak.

"Kami mahu mengingatkan pengguna jalan raya dan orang-orang yang tinggal di kawasan berbukit bahawa risiko tanah runtuh adalah lebih tinggi semasa musim hujan. Mereka mesti memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan jika terdapat sebarang tanda-tanda hakisan tanah dan berpindah segera,"katanya semasa lawatan ke lokasi kejadian tanah runtuh di sini, Selasa.

Beliau telah mengarahkan negeri Jabatan Kerja Raya, terutama di Perak, supaya sentiasa berwaspada tanda-tanda tanah runtuh yang berkemungkinan. Beliau berkata penduduk perlu melihat pokok-pokok yang jatuh sendiri atau batu atau serpihan jatuh dari cerun.

"Tidak perlu untuk panik. Penduduk hanya perlu memahami tanda-tanda awal,” katanya.

Shaziman berkata kementeriannya telah menjalankan "inventori" pada semua lereng tanah runtuh sering berlaku di negara ini untuk tampil dengan peta yang komprehensif yang memperincikan semua 21,000 kawasan.

"Data termasuk jenis tanah, sejarah cerun, tahap bahaya dan risiko yang terlibat dan sama ada ia pernah runtuh sebelum ini," katanya.

Maklumat itu akan membantu untuk menentukan kawasan yang paling kritikal diberi keutamaan dari segi kerja-kerja penyelenggaraan, katanya. Kementerian telah dibelanjakan RM221.6mil daripada RM360mil yang diperuntukkan untuk melindungi cerun tahun ini. Antara projek yang telah siap berada di sepanjang Jalan Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang-Kuala Berang laluan, yang merupakan antara "kawasan berisiko tinggi" yang dikenal pasti.

Beliau berkata RM84mil telah diperuntukkan untuk kerja-kerja pemulihan ini sahaja, yang mempunyai jumlah laporan tertinggi. Beliau menambah bahawa kawasan di Sabah adalah yang paling sukar kerana landskapnya. Menurut Ketua Jabatan Unit Kejuruteraan Cerun dan Kerja Awam, Dr. Che Hassandi Abdullah, proses pengumpulan data bagi inventori dijangka dilakukan menjelang Jun tahun depan. Ehsan - mStar Online.

Image removed.KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini. Konvensyen ini diadakan selaras dengan Panduan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang telah dikeluarkan oleh MAMPU pada 1 November 2009.

Majlis Perasmian Konvensyen KIK telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Datuk Himmat Singh. Majlis Penutup Konvensyen pula telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKR, YBhg. Puan Sri Dato’ Zaiton Mhad Ali pada sebelah petangnya.

Sebanyak 7 kumpulan telah membuat persembahan KIK dihadapan dua panel hakim iaitu penceramah bebas KIK, Encik Mohd. Tahir Abd. Kapi dan Encik Abdul Majid Ibrahim daripada Jabatan Kecemerlangan Perniagaan (BED), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Kumpulan-kumpulan ini terdiri daripada wakil Jabatan dan Agensi KKR dengan empat kumpulan bertanding dibawah Kategori Teknikal manakala tiga kumpulan dibawah Kategori Pengurusan. Kumpulan yang bertanding adalah B-Staree, Skynet, Warga BS, Reflective, Sukses, Galaksi dan Q’Bestari.

Image removed.PELABUHAN KELANG, 3 Oktober - Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengadakan lawatan ke Westports Malaysia Sdn. Bhd hari ini.  Delegasi lawatan terdiri daripada 27 orang Pegawai Inovasi Bahagian dan wakil dari setiap Bahagian di Kementerian yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Pengurusan Maklumat, Puan Fazlina binti Hashim.

Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan tadbir urus terbaik yang dipraktikkan di Westports dari aspek perancangan dan pengurusan korporat, sumber manusia dan teknologi maklumat.  Westports Malaysia Sdn. Bhd. dipilih kerana ianya merupakan pelabuhan utama di Asia Tenggara, dan satu antara lima (5) pelabuhan terbaik di dunia dari segi produktiviti.  Lawatan ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada ahli delegasi tentang program pembudayaan inovasi dan mekanisme promosi budaya inovasi di kalangan sumber manusia dalaman dan pelanggan kerana Westports juga memegang dua (2) rekod dunia iaitu Khidmat  Pelanggan Terbaik dan Majikan Terbaik, selain diiktiraf terbaik dalam Teknologi Maklumat dan Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Sosial Responsibilitiy, CSR).

    Ketibaan delegasi lawatan KKR telah disambut oleh Encik Vinod Kallaisilvan, Penolong Pentadbiran, Bahagian Perhubungan Awam, Westport. Lawatan ini bermula dengan tayangan video korporat Westports diikuti dengan taklimat mengenai fungsi dan peranan Westports yang disampaikan oleh Encik Suthahar Kanapathy, Pengurus Kanan, Bahagian Perhubungan Awam, Westports.  Delegasi lawatan seterusnya berpeluang untuk melawat ke galeri Westports dan sekitar kawasan pelabuhan.

Image removed.KUALA LUMPUR, 11 Sept - Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor telah melancarkan Alumni dan koperasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) semasa majlis Hari Raya Menteri Kerja Raya bersama Alumni ABM dan Penggiat Industri Binaan yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) hari ini.

Beliau kagum dengan kejayaan para alumni ABM yang berjaya menunjukkan kepada masyarakat bahawa kerja kolar biru kini boleh dilihat setanding dengan bidang professional.

Sejak penubuhannya pada tahun 1997, ABM telah berjaya melatih lebih daripada 300,000 pekerja di dalam industri berkaitan pembinaan di dalam pelbagai bidang kemahiran teknikal yang terpilih, termasuk pendawaian elektrik, operasi kren, pemasangan perancah atau scaffolding hinggalah kursus kimpalan di dalam industri minyak dan gas. Daripada jumlah yang dilatih, 70,000 adalah belia yang baru tamat persekolahan.

Di dalam ucapannya, YB. Dato’ Seri Shaziman telah berkongsi kisah kejayaan alumni ABM sebagai penyuntik semangat kepada para belia yang meminati bidang teknikal dan vokasional tetapi mungkin masih ragu-ragu tentang potensi kerjaya di dalam bidang tersebut.

Malaysia sedang menuju ke arah menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, seperti yang digariskan di dalam Program Transformasi Ekonomi Negara atau ETP. Industri pembinaan di dalam negara ini juga sedang pesat membangun. Projek MRT yang bernilai RM36.6 billion sedang bermula, dan Petronas juga sedang dalam perancangan membina Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor yang bernilai RM62 billion. Untuk projek RAPID ini sahaja, 40,000 tenaga mahir di dalam industri Minyak dan Gas diperlukan bagi memastikan projek ini dapat disiapkan pada 2016.

Mengenai Alumni dan Koperasi ABM yang dilancarkan, beliau percaya organisasi tersebut dapat menjadi wadah bagi menyatukan kesemua alumni ABM dan memberi jalinan keakraban yang dapat dimanfaatkan dalam memajukan kerjaya dan juga perniagaan sesama ahli.

Image removed.BUKIT BERUNTUNG, 7 September - Lebih 120,000 pengguna kenderaan di sekitar Sungai Buaya, Sungai Choh, Serendah dan Rawang Utara di sini, mendapat manfaat daripada Projek Pembinaan Persimpangan Bertingkat Baru Sungai Buaya yang dijangka siap sepenuhnya Jun tahun depan.

Menterinya, YB. Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor berkata, projek pembinaan jambatan yang dimulakan pada 14 Jun tahun lalu dengan kos RM107 juta itu dapat memendekkan jarak perjalanan penduduk setempat ke ibu kota berbanding menggunakan laluan sedia ada.

“Ketika ini, penduduk di sekitar Sungai Buaya dan Sungai Choh terpaksa menggunakan Persimpangan Bertingkat Bukit Beruntung atau Persimpangan Bertingkat Rawang untuk memasuki Lebuhraya Utara-Selatan. Pembinaan persimpangan baru ini memberi manfaat dengan jarak dan masa perjalanan dipendekkan.

“Ini termasuk penjimatan petrol bagi perjalanan dua hala, selain penjimatan masa bagi perjalanan dua hala iaitu kira-kira 40 minit. Ketika ini perjalanan ke Kuala Lumpur mengambil masa kira-kira satu setengah jam,” katanya di sini, semalam. Terdahulu YB. Menteri mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek Persimpangan Bertingkat dan Plaza Tol Sungai Buaya membabitkan empat zon iaitu zon A, B dan C, dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda sejauh satu kilometer.

Menerusi lawatan berpandu itu, Shaziman diberikan penerangan ringkas mengenai status projek persimpangan bertingkat yang sedang dilaksanakan Plus Expressways Berhad (Plus) dengan bantuan kontraktor dengan peratusan pembinaan menjangkau 52 peratus siap. Dengan keupayaan kontraktor menjalankan kerja pembinaan melebihi empat peratus lebih awal dan mendahului jadual ditetapkan sebanyak 40 peratus menyebabkan kementerian terbabit optimis menyiapkannya pada Jun tahun depan.

Image removed.KUALA LUMPUR, 6 September – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya hari ini.

Majlis yang bermula pada pukul 12 tengahari ini telah dihadiri Menteri Kerja Raya, YB. Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor, Timbalan Menteri, YB. Dato’ Yong Khoon Seng; Ketua Setiausaha Kementerian, YBhg. Datuk Himmat Singh; Ketua-ketua Pengarah Jabatan dan Agensi dan pengarah urusan syarikat-syarikat konsesi lebuhraya.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Dato’ Sri Dr. Ali Hamsa; Ketua Pengarah MAMPU, YBhg. Dato’ Mohamad Zabidi Zainal dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), YBhg. Datuk Farida Mohd Ali.

Barisan artis terkenal seperti Datuk Khatijah Ibrahim, Salamiah Hassan dan Jamal Abdillah turut memeriahkan lagi sambutan majlis ini dengan nyanyian lagu-lagu yang sentiasa segar dihadapan 5,000 orang tetamu.