Langkau ke kandungan utama

PELANCARAN ALUMNI DAN KOPERASI ABM

Image removed.KUALA LUMPUR, 11 Sept - Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor telah melancarkan Alumni dan koperasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) semasa majlis Hari Raya Menteri Kerja Raya bersama Alumni ABM dan Penggiat Industri Binaan yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) hari ini.

Beliau kagum dengan kejayaan para alumni ABM yang berjaya menunjukkan kepada masyarakat bahawa kerja kolar biru kini boleh dilihat setanding dengan bidang professional.

Sejak penubuhannya pada tahun 1997, ABM telah berjaya melatih lebih daripada 300,000 pekerja di dalam industri berkaitan pembinaan di dalam pelbagai bidang kemahiran teknikal yang terpilih, termasuk pendawaian elektrik, operasi kren, pemasangan perancah atau scaffolding hinggalah kursus kimpalan di dalam industri minyak dan gas. Daripada jumlah yang dilatih, 70,000 adalah belia yang baru tamat persekolahan.

Di dalam ucapannya, YB. Dato’ Seri Shaziman telah berkongsi kisah kejayaan alumni ABM sebagai penyuntik semangat kepada para belia yang meminati bidang teknikal dan vokasional tetapi mungkin masih ragu-ragu tentang potensi kerjaya di dalam bidang tersebut.

Malaysia sedang menuju ke arah menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, seperti yang digariskan di dalam Program Transformasi Ekonomi Negara atau ETP. Industri pembinaan di dalam negara ini juga sedang pesat membangun. Projek MRT yang bernilai RM36.6 billion sedang bermula, dan Petronas juga sedang dalam perancangan membina Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor yang bernilai RM62 billion. Untuk projek RAPID ini sahaja, 40,000 tenaga mahir di dalam industri Minyak dan Gas diperlukan bagi memastikan projek ini dapat disiapkan pada 2016.

Mengenai Alumni dan Koperasi ABM yang dilancarkan, beliau percaya organisasi tersebut dapat menjadi wadah bagi menyatukan kesemua alumni ABM dan memberi jalinan keakraban yang dapat dimanfaatkan dalam memajukan kerjaya dan juga perniagaan sesama ahli.

Tarikh Dan Waktu Acara
Sumber
CIDB