KKR PANTAU 125 PROJEK INFRASTRUKTUR BERNILAI RM12.38 BILION DI SARAWAK, 18 PROJEK BAHARU DIRANCANG PADA 2027
KUCHING, 18 NOVEMBER 2026 – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia terus memperkukuh pemantauan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur bagi memastikan setiap projek disiapkan mengikut jadual, berkualiti dan memberi manfaat kepada rakyat.
Perkara tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan 4 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan di Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Timbalan Menteri Kerja Raya juga mengadakan lawatan turun padang ke Projek Pembinaan Kompleks Bangunan Gunasama Persekutuan, Kuching, Sarawak dan Hospital Petra Jaya, Petra Jaya, Sarawak.
Sehingga 18 November 2026, sebanyak 125 projek dan kerja penyelenggaraan bernilai RM12.38 bilion direkodkan di Sarawak. Daripada jumlah tersebut, 99 projek pembangunan fizikal bernilai RM12.17 bilion dan 26 kerja penyelenggaraan, pemulihan, ubah suai serta naik taraf bernilai RM206.27 juta.
Daripada lima projek sakit yang dikenal pasti sebelum ini di Sarawak, satu projek telah berjaya disiapkan, menjadikan hanya empat projek masih dalam kategori projek sakit. Secara keseluruhan, bilangan projek sakit di bawah pemantauan JKR Malaysia turut menurun daripada 38 projek pada Oktober kepada 26 projek atau 2.97% setakat 16 November 2026 hasil pemantauan dan langkah intervensi berterusan.
Bagi memastikan projek bermasalah dapat dipulihkan, KKR melalui JKR melaksanakan pemantauan berkala, pelan pemulihan serta penilaian prestasi kontraktor. Tindakan tegas termasuk pengenaan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) serta penamatan kontrak turut dipertimbangkan terhadap kontraktor yang gagal menunjukkan prestasi memuaskan.
Sementara itu, sebanyak 18 projek pembangunan bernilai RM1.14 bilion dirancang untuk Sarawak di bawah RMK13 Rolling Plan Kedua (RP2) Tahun 2027, melibatkan kemudahan pendidikan, kesihatan dan keselamatan.
KKR akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, JKR Malaysia serta kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar, mengatasi isu kelewatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, termasuk di kawasan luar bandar.
- Log in to post comments