Langkau ke kandungan utama
1

Sambutan Maulidur Rasul KKR 2013

KUALA LUMPUR, 30 Januari – Sambutan Maulidur Rasul peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya hari ini bersempena mengingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Sambutan dimulakan dengan perarakan warga KKR, Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang berselawat bermula dari perkarangan Blok A Kompleks Kerja Raya ke Dewan melalui Jalan Sultan Salahuddin.

Turut meraikan perarakan ini ialah YBhg. Dato’ Haji Nasir bin Mat Dam, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) dan YBhg. Dato’ Ir. Haji Ismail bin Md. Salleh, Ketua Pengarah LLM. Acara diteruskan di dalam Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid dengan bacaan ayat suci Al-Quran, persembahan qasidah dan selawat oleh para pelajar Madrasah Al-Yamani, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Para hadirin juga turut sama-sama berkongsi ilmu melalui ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, seorang penceramah bebas yang bertemakan “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah”. Sambutan ini diakhiri dengan para hadirin berselawat beramai-ramai diketuai oleh Ustaz Ahmad Al-Yamani. Dianggarkan lebih 800 warga KKR turut serta dalam program ini.

Tarikh Dan Waktu Acara