Langkau ke kandungan utama

RM37 JUTA DIAGIH KEPADA KONTRAKTOR KECIL

Image removed.ALOR SETAR 16 Julai - Sebanyak 204 kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan bernilai RM37.36 juta diagihkan menerusi sistem cabutan undi kepada kontraktor kelas D, E dan F di seluruh Semenanjung hari ini. Daripada jumlah tersebut, sejumlah 19 kerja ditawarkan kepada kontraktor kelas D dan 22 kerja kepada pemegang lesen kelas E melalui sistem yang pertama kali dilaksanakan ke atas mereka manakala kontraktor kelas F sebanyak 163 kerja.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, pelaksanaan sistem cabutan undi itu dilakukan berikutan keputusan kerajaan menawarkan kerja-kerja kecil Persekutuan kepada kontraktor kecil bagi memberi peluang kepada mereka menguruskan projek berkenaan. Beliau berkata, kebanyakan kerja yang ditawarkan itu boleh dilaksanakan oleh syarikat kecil iaitu kelas D, E dan F, yang sebelum ini sama ada ditender atau dianugerahkan terus kepada syarikat konsesi.

"Setelah mendapat banyak permintaan daripada kontraktor kecil dari seluruh negara termasuk Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan proses pengundian untuk ketiga-tiga kelas kontraktor itu. "Ia tertakluk pada jadual kadar harga yang telah ditentukan dan tidak melibatkan penambahan kos kepada kerja ditawarkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan proses cabutan undi kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan bagi negeri ini di Bangunan Persekutuan Alor Setar, di sini hari ini. 

Pada majlis itu, sebanyak 37 kontraktor kelas D dan 96 kelas E hadir mencabut undi bagi pelaksanaan enam kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan bernilai kira-kira RM4 juta. 

Shaziman berharap kontraktor yang terpilih dapat melaksanakan kerja yang diberikan itu dengan sebaik mungkin supaya sistem cabutan undi tersebut dapat diteruskan dari semasa ke semasa. Ini kerana, kata beliau, jika berlaku kekurangan dari segi kualiti kerja yang dilaksanakan maka kerajaan perlu mempertimbangkannya pada masa akan datang, sekali gus boleh mengurangkan peluang kepada kontraktor lain.

 

 

 

Tarikh Dan Waktu Acara
Sumber
UKK