Langkau ke kandungan utama

PLUS JOHAN KESELURUHAN KARNIVAL SUKAN KERJA RAYA 2012

Image removed.Kuala Terengganu, 14 Julai – Karnival Sukan Kerja Raya 2012 telah berlangsung dengan jayanya selama 4 hari bermula dari 11 hingga 14 Julai 2012 di beberapa lokasi sekitar Kuala Terengganu, Terengganu dengan Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu sebagai Jawatankuasa Pengelola/ Tuan Rumah Bersama.

Sebanyak 30 kontinjen yang terdiri daripada pasukan-pasukan di bawah Kementerian Kerja Raya dan Syarikat-syarikat Konsesi telah mengambil bahagian. Sebanyak 16 acara sukan telah dipertandingkan iaitu bola sepak, bola jaring, bola tampar lelaki, badminton, ping pong, sepak takraw, karom, futsal lelaki, bowling, dart, tarik tali, catur, golf dan boling padang beserta 2 acara yang baru diperkenalkan pada karnival kali ini iaitu bola tampar perempuan dan futsal perempuan. Dari keseluruhan acara ini, PLUS Expressway Berhad telah mengungguli kejohanan dengan 9 emas, diikuti KKR dengan 3 emas dan HCM Eng. Sdn. Bhd., Belati Wangsa (M) Sdn. Bhd., Kesas dan JKR dengan masing-masing memperolehi 1 emas.

Majlis perasmian pembukaan karnival ini telah berlangsung di Mini Stadium Universiti Malaysia Terengganu pada malam 11 Julai 2012 dan telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Himmat Singh, KSU Kementerian Kerja Raya (KKR). YBhg. Datuk KSU juga telah sudi hadir pada Majlis Makan Malam yang telah diadakan pada malam 13 Julai 2012 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu. Majlis Penutup karnival pula telah diadakan pada 14 Julai 2012 dan disempurnakan oleh YB. Dato’ Seri Shaziman bin Abu Mansor, Menteri Kerja Raya. Pada majlis penutup ini, YB. Menteri telah sudi menyampaikan anugerah kepada kesemua ketua pasukan yang menang bagi setiap acara serta kepada Olahragawan kejohanan iaitu Encik Md Obaidah bin Md Dasuki dari KKR, Olahragawati Cik Patil Humu binti Harun dari PLUS Expressway Berhad, Ketua Kontinjen PLUS Expressway Berhad selaku Johan Keseluruhan serta Ketua Kontinjen Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) selaku Johan Perbarisan.

Bermula tahun 2012, kejohanan ini dikenali sebagai Karnival Sukan Kerja Raya 2012 dan kejohanan ini pada asalnya dikenali sebagai Highway Games yang merupakan sukan tahunan dan mula dianjurkan pada tahun 1999. Ia kemudian ditukar kepada Kejohanan Sukan Kerja Raya pada tahun 2002 dan berlangsung dua tahun sekali. Karnival ini terus mengekalkan format dan konsep daripada Highway Games dan merupakan satu usaha berterusan untuk memupuk dan merapatkan lagi hubungan antara warga Kerja Raya dengan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuh Raya. Berikut adalah keputusan Karnival Sukan Kerja Raya 2012:

JOHAN KESELURUHAN :PLUS EXPRESSWAY BERHAD

OLAHRAGAWAN : MD OBAIDAH BIN MD DASUKI - KKR

OLAHRAGAWATI : PATIL HUMU BINTI HARUN – PLUS

JOHAN PERBARISAN : LEMBAGA LEBUHRAYA MALAYSIA

Tarikh Dan Waktu Acara