Kota Bharu, 1 April – Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Kota Bharu – Kuala Krai (Pakej 1B: Pasir Hor ke Kadok) telah disempurnakan oleh YAB. Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri di tapak majlis pecah tanah lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai di Tiong, Kota Bharu, Kelantan.
Projek membina Projek Jalan Kota Bharu – Kuala Krai sepanjang 73.5km menghubungkan Kuala Krai, Kelantan dengan Simpang Pelangai di sempadan Pahang dan Negeri Sembilan. Projek yang merupakan sebahagian Cental Spine Road (CSR) ini merupakan cadangan jalan baru selari dengan Jalan Persekutuan FT08. Skop pembinaan projek ini ialah 4 lorong 2 hala mengikut piawaian JKR R5. Kerja-kerja rekabentuk dan pelan pengambilan tanah telah disiapkan sepenuhnya pada tahun 2007.
Projek yang bermula dari Wakaf Siku, Kota Bharu ke Kg. Dusun Damar, Kuala Krai dibahagikan kepada tiga pakej utama iaitu Pakej 1: Wakaf Siku ke Kadok, Kota Bharu (12.5km), Pakej 2: Kadok, Kota Bharu ke Bukit Tiu, Machang (28.5km) dan Pakej 3: Bukit Tiu, Machang ke Kg. Dusun Damar, Kuala Krai (32.5km).
Laluan baru ini dapat menampung aliran trafik yang semakin meningkat setiap tahun di laluan persekutuan sedia ada dan meningkatkan tahap kemudahsampaian, keselesaan serta keselamatan pengguna jalan raya. Projek ini juga akan menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi di sepanjang koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
Turut hadir ialah YB. Datuk Hj. Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Dato’ Sri Tengku Adnan Tengku Mansur, Menteri Wilayah Persekutuan serta pemimpin-pemimpin tempatan.