Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KUCHING, 5 Julai – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) telah berkerjasama dengan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) menganjurkan Seminar Integriti Kontraktor Bumiputera dan Majlis Berbuka Puasa Bersama YB Menteri Kerja Raya. 

Seramai 100 orang kontraktor Bumiputera (Gred G1 – G7) bersama-sama 400 orang penduduk sekitar telah bersama-sama hadir ke seminar ini yang diadakan di Masjid Nurul Khair, Kampung Semariang Batu, Kuching.

Acara lain adalah penyerahan sumbangan wakaf Masjid dan sumbangan kepada 70 warga kurang berkemampuan yang disampaikan oleh YB Datuk Haji Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya.   Program diteruskan dengan solat maghrib, isyak dan tarawikh berjemaah.

1

KUALA LUMPUR, 3 Jun – YB Datuk Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya hari ini telah hadir dan menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada warga Kerja Raya di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kerja Raya 2013 di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya.

Pada tahun 2013 sejumlah 903 orang telah dicalon sebagai penerima APC dan Anugerah Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC).  Pecahan adalah seperti berikut, Kementerian Kerja Raya 81 orang, Jabatan Kerja Raya (JKR) 736 orang, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) 27 orang dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) 59 orang.

Untuk tahun 2013 juga, dua orang penerima daripada Jabatan Kerja Raya telah dianugerahkan Anugerah Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) iaitu Sr. Hajah Roznita binti Othman, Juruukur Bahan J54, Mohd. Fauzie bin Abd Rahim, Jurutera Awam J48.

Majlis turut dihadiri oleh YBrs. Tuan Haji Sarani bin Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Haji Zainudin bin Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, Ketua-Ketua Agensi dan Warga Kerja Raya.

1

SIBU, 26 Jun – Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Kementerian Kebajikan Wanita Pembangunan Keluarga Negeri Sarawak hari ini telah menganjurkan Seminar Memperkasa dan Membudayakan Kualiti dalam Industri Pembinaan yang berlangsung pada 26 dan 27 Jun 2014.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada CIDB di atas penganjuran seminar pada hari ini kerana ia merupakan sebahagian langkah kerajaan bagi menyebarkan maklumat dan mengukuhkan kualiti dalam industry pembinaan negara,” menurut Menteri Kerja Raya Malaysia melalui teks ucapan perasmian yang dibacakan oleh Setiausaha Politik Menteri, Encik Fazzrudin Abdul Rahman 

“Seminar ini juga diharap dapat memupuk kesedaran kepada komuniti pembinaan, secara amnya untuk membudayakan kualiti dalam pelaksanaan sesuatu projek,” katanya lagi.  Pada majlis tersebut ‘Build Brigade’ CIDB bersama penggiat industri telah menyerahkan Pusat Komuniti Long Keluan kepada pejabat Setiausaha kerajaan negeri Sarawak.

Seminar yang berlangsung selama dua hari ini telah disertai oleh perunding, pengeluar bahan binaan, pemaju hartanah, jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan klien-klien daripada negeri Sarawak.

1

Kuala Lumpur, 19 Jun – Pasukan DUKE yang disertai oleh Bahagian Pentadbiran, Bahagian Akaun, Bahagian Pengurusan atasan, Bahagian Hubungan Antarabangsa dan Pembangunan Profesional telah muncul juara keseluruhan pada acara Karnival Sukan antara bahagian Kementerian Kerja Raya (KSKKR) 2014 anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Kementerian Kerja Raya (KSKKKR).

Sebanyak 16 acara sukan telah dipertandingkan pada karnival dwi tahunan yang bermula pada 19 April dan berakhir pada 15 Jun 2014 yang lalu.

Majlis Perasmian karnival tersebut telah dilakukan oleh Ketua Setiausaha KKR YBhg Datuk Himmat Singh pada 11 Mei 2014 manakala Menteri Kerja Raya,YB Datuk Haji Fadillah bin Haji Yusof, telah sudi menyampaikan hadiah di Majlis Penyampian hadiah hari ini.

Pasukan DUKE telah menjadi Johan keseluruhan dengan memperolehi pungutan mata sebanyak 56, diikuti MEX dengan 51, LEKAS dengan 42 dan akhir sekali LATAR dengan 27 mata.

Selain salah satu aktiviti KSKKR, Karnival Sukan ini juga merupakan medan untuk mengenal pasti pemain-pemain bagi mewakili KKR di Karnival Sukan Kerja Raya yang dijangka akan diadakan pada bulan September 2014 di Negeri Perlis.

1

KUALA LUMPUR, 18 Jun 2014 - Kolej Professional & Pengurusan KLIA (Kolej KLIA) mencatat sejarah apabila kemudahan mock up keselamatan pembinaan yang pertama telah dibina di Malaysia dan dilancarkan pada hari ini oleh YB Datuk Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya.

Kolej KLIA telah ditubuhkan bagi menjalankan latihan dan penyelidikan pelbagai disiplin yang diperlukan dalam industri pembinaan di Malaysia dan diuruskan oleh KLIA Premier Holdings. Pada majlis itu, Kolej KLIA telah menandatangani 10 Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Master Builders Association Malaysia (MBAM), Malaysian Offshore Contractors Association (MOCA), Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Persatuan Mesin Angkat dan Kren Malaysia, KUB Builders Sdn Bhd, Taisei Corporation dari Jepun, MKRS Bumi (M) Sdn Bhd dan ENAV Asia Pacific Sdn Bhd dari Itali untuk memberikan latihan dan program-program yang berkaitan dengan keselamatan pembinaan di Kolej tersebut.

Majlis tandatangan dan pertukaran MoU itu telah disaksikan oleh Datuk Haji Fadillah Haji Yusof.

1

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KSM) meneruskan kerjasama menganjurkan WorldSkills Malaysia atau lebih dikenali sebagai Pertandingan Kemahiran Malaysia 2014. Pada tahun ini, sebanyak 25 bidang dan 3 bidang pameran dipertandingkan.

Daripada jumlah tersebut, 16 bidang kemahiran diurusetiakan oleh JPK manakala KKR melalui Akademi Binaan Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengurusetiakan sembilan bidang kemahiran yang membabitkan aspek pembinaan.

Sembilan bidang tersebut adalah plumbing and heating; joinery; electrical installation; mechanical engineering design; welding, wall and floor tiling; refrigeration and air conditioning; bricklaying dan decorative painting. Pertandingan ini berlangsung dari 11 hingga 14 Jun 2014 bertempat di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Tengah, Kuala Lumpur.

Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya hari ini bertempat di Pusat Konvensyen CIDB, Akademi Binaan Malaysia Wilayah Tengah.

1

PORT DICKSON, 11 Jun - Mesyuarat Pegawai Kanan (SOC) Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) telah berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Jun 2014 di Primaland Resort and Convention Centre. Mesyuarat yang bertemakan ‘Transformasi ke Arah Organisasi Berprestasi Tinggi’ ini merupakan program tahunan yang menyediakan forum perbincangan berkaitan visi, misi dan objektif jabatan serta pertukaran idea dan pendapat secara kolektif antara pihak pengurusan atasan dan pegawai kanan.

Majlis perasmian SOC telah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya, hari ini. Seramai lebih kurang 380 pegawai kanan JKR yang terdiri daripada Pengarah Cawangan dan Negeri, Jurutera Daerah serta Pegawai Kader yang mengetuai cawangan, bahagian dan unit dari seluruh negara terlibat dalam program ini.

Antara acara yang diatur adalah pembentangan kertas kerja, termasuk daripada agensi luar seperti PEMANDU, SPRM dan Kementerian Kewangan Malaysia, selain program taklimat, sesi dialog dan lawatan teknikal.

1

Kuala Lumpur, 10 Jun – Pameran M & E Asean (Asean M & E Show) 2014, anjuran UBM Malaysia telah berjaya menghimpun lebih 200 syarikat dan penggiat industri kejuruteraan mekanikal dan elektrikal daripada seluruh dunia. Pameran ini telah menjadi pentas berkongsi dan bertukar idea selain membuka peluang jalinan perniagaan kepada para peserta dan pengunjung.

Pameran yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Jun 2014 ini telah diadakan di Dewan Pameran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Datuk Haji Fadillah bin Haji Yusof hari ini.

1

JOHOR BAHRU, 5 Jun – Kerja Undi Penyenggaraan Jalan Persekutuan tahun 2014 telah dilaksanakan secara serentak di seluruh Malaysia hari ini dengan kos berjumlah RM28 juta untuk 581 projek. Dari jumlah tersebut sebanyak 412 projek adalah di Semenanjung dengan kos RM20 juta, manakala 81 projek di Sarawak dan 88 projek di Sabah dengan kos masing-masing RM4 juta.

Pada majlis kerja undi yang diadakan di Jabatan Kerja Raya Johor Bahru ini, Menteri Kerja Raya, YB Datuk Haji Fadillah bin Haji Yusoff selaku perasmi majlis berkata, pada tahun ini, sebanyak RM1,037 juta diperuntukkan bagi menyenggara jalan Persekutuan seluruh Negara. “Sebanyak RM409 juta diperuntukkan bagi kerja rutin manakala sebanyak RM628 juta untuk kerja berkala.

Bagi Semenanjung, peruntukan adalah sebanyak RM326 juta manakala untuk Sabah, Sarawak dan Labuan sebanyak RM302 juta,” katanya lagi.

Tujuan utama kerja undi ini adalah untuk membuka peluang kepada kontraktor kecil untuk sama-sama terlibat dalam kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan. Sebanyak tiga peringkat kerja undi telah dilaksanakan sejak tahun 2012. Peringkat pertama telah diadakan pada 16 Julai 2012 di Alor Setar Kedah (204 projek, kos RM37.4 juta), peringkat ke-2 pula, di Ipoh Perak pada 19 November 2012 (278 projek, kos RM52 juta) dan peringkat ke-3 telah diadakan pada 14 Februari 2013 di Kuantan Pahang (262 projek, kos RM18 juta). Kesemua projek-projek ini telah siap sepenuhnya.

1

PUCHONG, 5 Jun – Program Menjengah Kasih merupakan program amal dan khidmat masyarakat oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan telah diadakan di Rumah Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong, Selangor.  Program ini dianjurkan bersama oleh Puspanita Cawangan Kementerian Kerja Raya, Kelab Sukan Kementerian Kerja Raya, Pusat Khidmat Kontraktor, KKR dan Akademi Binaan Malaysia (ABM), CIDB. 

Tujuan utama program ini adalah untuk memberi khidmat masyarakat kepada golongan yang memerlukan dan mewujudkan golongan masyarakat penyayang dikalangan warga Kementerian Kerja Raya.

Pada tarikh lawatan ini, terdapat 33 orang tua lelaki, 22 orang tua wanita dan beberapa pekerja wanita yang menghuni rumah ini.  Rumah orang-orang tua ini beroperasi di dalam masjid lama yang dikendalikan oleh seorang wanita yang merupakan bekas jururawat bernama Puan Hajah Muji binti Haji Sulaiman. 

Antara aktiviti dan kerja-kerja yang telah dijalankan oleh warga Kerja Raya beserta pelatih ABM adalah seperti menaiktaraf garaj penyimpanan kerusi roda, kerja-kerja mengecat garaj dan pagar, kerja-kerja penyediaan rak, pembersihan luar dan dalam (gotong royong), menyediakan lubang tempat pembuangan sampah, kerja-kerja membaikpulih jalan masuk, kerja-kerja landskap dan sumbangan dua buah kabin untuk penyimpanan barang.

Acara penyampaian sumbangan daripada pihak penaja telah disampaikan oleh Penaung Puspanita Cawangan KKR, YBhg. Datin Hajah Ruziah binti Mohd Tahir, isteri kepada YB Menteri Kerja Raya.  Turut hadir ialah Tuan Haji Sarani bin Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKR merangkap Penasihat II Puspanita Cawangan KKR.