Langkau ke kandungan utama
1

Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan (CIPAA) Mula Berkuatkuasa

KUALA LUMPUR, 15 April – Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 11 April 2014, telah bersetuju dengan cadangan Kementerian Kerja Raya, untuk menguatkuasakan Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan atau Construction Industry Payment and Adjudication Act (CIPAA) 2012.  CIPAA 2012 ini akan mula berkuatkuasa pada 15 April 2014 selari  dengan perasmian Mahkamah Tinggi Pembinaan Kuala Lumpur dan Shah Alam pada 14 April 2014.

Akta ini akan terpakai kepada semua kontrak kerja pembinaan, pembekalan barangan binaan dan kontrak rundingan pembinaan yang dibuat secara bertulis berhubung dengan kerja pembinaan yang dijalankan sepenuhnya atau sebahagiannya di  Malaysia termasuklah kontrak pembinaan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri. 

Dengan berkuatkuasanya CIPAA, maka lengkaplah tiga remedi (The Trinity of Remedies) bagi  menyelesaikan pertikaian bayaran dalam rantaian industri pembinaan.

Namun begitu beberapa kategori kontrak pembinaan adalah dikecualikan dari pelaksanaan CIPAA 2012 ini antaranya kontrak dalam kategori keselamatan dan kategori kerja kecemasan.  Namun demikian pengecualian bagi kategori kontrak ini adalah berbentuk sementara iaitu sehingga 31 Disember 2015 agar ianya tidak menjejaskan projek-projek Rancangan Malaysia Ke-10.

Promosi CIPAA 2012 telah dijalankan secara berfasa oleh KKR dan agensi seliaannya di mana sebanyak 20 roadshow dan taklimat khusus kepada mereka yang terlibat dalam industri pembinaan telah diadakan. Selain itu, Kuala Lumpur Regional Centre for Arbitration (KLRCA) sebagai badan adjudikasi CIPAA 2012 juga telah menjalankan lebih dari  30 roadshow  kepada peguam, mahasiswa perundangan, dan mereka yang terlibat dalam rantaian perundangan.

Tarikh Dan Waktu Acara