Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

Image removed.Pulau Pinang, 17 Oktober 2011- Kerja pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang (JPP2) sepanjang 24 Kilometer yang membabitkan kos sebanyak 4.5 bilion dijangka siap dua bulan lebih awal daripada perancangan, iaitu pada September 2013.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Bin Abu Mansor yang berpuas hati dengan kemajuan pembinaan projek berkenaan berkata, pembinaan struktur mega itu akan dapat disiapkan pada kadar 70 peratus menjelang akhir tahun ini, beritahu Datuk Seri Shaziman kepada media semasa Lawatan Kerja beliau ke Projek JPP2.

Pembinaan jambatan yang menghubungkan Batu Maung dengan Batu Kawan itu mempunyai 3 pakej dengan pakej satu bernilai RM2.2 bilion membabitkan kerja pembinaan tapak, struktur asas dan gerbang yang dijangka siap pada Mei 2012. Pakej dua membabitkan kontrak bernilai RM 1.55 bilion bagi pembinaan struktur mega dan dijangka siap pada 2013, manakala pakej ketiga bernilai RM750 juta akan diumumkan kelak. Di kawasan pulau itu juga turut dilengkapi dengan 2 plaza tol dan tiga persimpangan bertingkat.

Lawatan itu turut disertai pegawai-pegawai kanan Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta beberapa pegawai syarikat konsesi, Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB). Dalam sidang media itu juga, YB. Menteri turut menggesa pelajar Institusi Pengajian Tinggi Tempatan untuk mencuba pengalaman dengan menjalani latihan industri dalam projek mega seperti JPP2 ini memandangkan projek mega seperti ini jarang dilaksanakan di Malaysia.

Pembinaan jambatan itu adalah usaha sama antara China Harbour Engineering Company Ltd dan UEM Builders Bhd. yang bermula pada tahun 2008.

Image removed.Melaka, 8 Oktober 2011- YB. Datuk Seri Shaziman Bin Abu Mansor, Menteri Kerja Raya Malaysia telah mengetuai senarai penerima anugerah apabila dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri pada satu Majlis Penganugerahan sempena Hari Kelahiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob yang ke- 73.

Di majlis yang diadakan di Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka itu juga, seramai 266 orang telah dianugerahkan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran.

Dua lagi Menteri Kabinet yang turut dianugerahkan (D.G.S.M) ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB. Datuk Seri Chor Chee Heung dan Menteri Sumber Manusia, YB. Datuk Seri Dr. S.Subramaniam.

Image removed.Johor Bahru- 29 September, “Kerja-kerja bagi Projek naiktaraf Jalan Segamat – Tangkak dijangka akan dimulakan pada November ini dengan anggaran kos keseluruhan kira-kira 750 juta,” kata YB. Dato’ Shaziman Bin Abu Mansor, Menteri Kerja Raya kepada media ketika membuat tinjauan ke tapak projek berkenaan.

Projek ini akan dipecahkan kepada lima fasa dengan kos fasa pertama bernilai kira-kira lebih RM100 juta dan akan disiapkan dalam tempoh dua tahun. Secara keseluruhannya, projek naiktaraf jalan sepanjang 63 kilometer itu akan turut membabitkan 19 jambatan termasuk pembinaan semula 14 jambatan yang tidak lagi sesuai dengan jalan berkenaan. Justeru itu, kerajaan yakin projek ini akan memberi keselesaan kepada pengguna di samping merancakkan lagi kegiatan industri di Segamat memandangkan perhubungan yang lebih mudah ke Lebuh Raya Utara Selatan di Tangkak.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, YB. Datuk Seri S. Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jementah, YB. Dr. Lee Hong Tee dan ADUN Kemelah, YB. Dato’ Ayub Rahmat.

Pada sebelah petang hari yang sama, YB. Menteri juga turut merasmikan Lintasan Pejalan Kaki Searas 1Malaysia yang pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Mawai, Kota Tinggi, Johor. Pihak Kementerian memperuntukkan RM 4.5 juta membabitkan 30 lokasi seluruh negara yang dijangka siap sepenuhnya pertengahan November ini. Inisiatif ini diambil bagi meningkatkan aspek keselamatan pelajar di jalan raya kawasan sekolah pada kos optima.

Image removed.Kuala Lumpur- 28 September 2011, Y.A.B Perdana Menteri, Y.A.B Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak telah mengadakan lawatan ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara sementara, bersebelahan bangunan Parlimen. Persidangan Dewan Rakyat akan bersidang di bangunan ini sementara kerja-kerja baik pulih bangunan Parlimen dijalankan.

Terdapat beberapa kemudahan yang disediakan antaranya, Dewan Persidangan, kawasan lobi, jejambat yang menghubungkan antara bangunan utama Parlimen dengan bangunan sementara serta turut menyediakan kemudahan pada golongan orang kurang upaya (OKU) telah siap sepenuhnya.

Kehadiran Perdana Menteri disambut oleh Y.B Dato’ Shaziman Bin Abu Mansor, Menteri Kerja Raya, Y.B Datuk Seri Mohamed Nazri Bin Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia, Yang DiPertua Dewan Rakyat dan Y.B Tan Sri Abu Zahar Bin Dato’ Nika Ujang, Yang DiPertua Dewan Negara, Y.Bhg. Tan Sri Mohd Sidek Bin Haji Hasan, Ketua Setiausaha Negara dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kerja Raya dan Agensi.

Image removed.Negeri Sembilan- 27 September 2011, Kementerian Kerja Raya Malaysia telah menerima Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti Jabatan Audit Negara Bagi Tahun 2010 sempena Hari Audit Semalaysia 2011 yang telah diadakan di Akademi Audit Negara, Nilai, Negeri Sembilan.

Kementerian Kerja Raya telah menerima penarafan 4 Bintang iaitu tahap prestasi pengurusan kewangan yang cemerlang. Anugerah disampaikan Y. Bhg. Tan Sri Mohd Sidek Bin Hj. Hassan, Ketua Setiausaha Negara dan diterima oleh Y.Bhg. Puan Sri Dato’ Zaiton Binti Mhad Ali, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Kerja Raya.

Image removed.Kuala Lumpur- Pada 26 September 2011, telah berlangsung Majlis Pelancaran Amalan Persekitaran Berkualiti (5S) Kementerian Kerja Raya bertempat di Bilik Mesyuarat Seri Pagi Tingkat 11, Blok B Kompleks Kerja Raya. Majlis telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Puan Sri Dato’ Zaiton Binti Mhad Ali, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi). Pelancaran ini menandakan secara rasminya Kementerian Kerja Raya memberikan komitmen sepenuhnya dalam membudayakan 5S di kementerian ini.

Pelaksanaan 5S merupakan satu kaedah atau garis panduan secara minima kepada warga Kerja Raya dari aspek kebersihan, kekemasan dan keselamatan secara menyeluruh bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selesa, kemas dan selamat. Amalan 5S menumpukan kepada lima langkah yang bermula dengan huruf awalan ‘S’ yang diambil dari bahasa Jepun, Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu dan Shitsuke yang membawa maksud Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal.

Dalam majlis itu juga, Y.Bhg. Puan Sri Dato’ Zaiton Binti Mhad Ali turut menyampaikan Penyerahan Panduan Amalan 5S Kementerian Kerja Raya kepada semua Setiausaha Bahagian dan Ketua-Ketua Unit.

Image removed.Kuala Lumpur- Pada 15 September 2011, Kementerian Kerja Raya telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kementerian bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Jalan Sultan Salahuddin Kuala Lumpur.

Pelbagai jenis hidangan telah disajikan kepada para jemputan. Para jemputan turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh Band Los Gomos, Band CIDB serta persembahan silat dari Kumpulan Silat Gayong KKR sekaligus menambahkan lagi kemeriahan majlis sambutan aidilfitri pada kali ini.

Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran Y.B Dato’ Shaziman bin Abu Mansor, Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.Bhg. Datuk Thomas George, Ketua Setiausaha, pegawai-pegawai kanan kementerian dan agensi serta warga KKR.

Di majlis ini juga, Kementerian turut meraikan bakal-bakal jemaah haji yang terdiri daripada kakitangan KKR. Y.B Menteri turut berbesar hati menyampaikan cenderahati berupa barangan keperluan haji kepada bakal-bakal jemaah.

Selepas majlis, Y.B Dato’ Shaziman bin Abu Mansor turut meraikan kanak-kanak di Taska Murni Kementerian Kerja Raya yang terletak bersebelahan dengan Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid tersebut.

|Galeri Foto|

Image removed.Brunei- Satu Majlis Perasmian Tapak Projek Cadangan Membina Jambatan Menyeberangi Sungai Pandaruan telah diadakan pada 13 September 2011 di Bandar Seri Begawan. Projek pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Pandaruan itu akan menghubungkan Bahagian Limbang di Sarawak dan Daerah Temburong di Brunei sekaligus akan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei. Majlis Menandatangani Plak telah ditandatangani oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah Bin Begawan Mudim Dato Haji Bakar, Menteri Perhubungan Negara Brunei Darussalam dan YB. Dato’ Shaziman Bin Abu Mansor, Menteri Kerja Raya Malaysia.

Sungai Pandaruan merupakan pemisah antara Malaysia dan Brunei Darussalam. Justeru itu, projek pembinaan jambatan konkrit ini tepat pada masanya dan juga mempercepatkan cross border trader seterusnya memberi impak positif dalam bidang khususnya pada peningkatan ekonomi dan hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut, Y.Bhg. Datuk Thomas George, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datu Ir. Hubert Thian Chong Hui, Ketua Menteri Sarawak, serta pegawai-pegawai kanan dari kedua-dua negara.

|Galeri Foto|

Image removed.Kuala Lumpur – Sebuah Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan Lanjutan Tempoh Opsyen (5 tahun) dan Semakan Kadar Harga Bagi Penswastaan Perkhidmatan Pengurusan Dan Penyenggaraan Bangunan Gunasama Kerajaan Persekutuan telah diadakan pada 09 September 2011 bertempat di Bilik Mesyuarat Seroja, Kompleks Kerja Raya.

Perjajian tersebut ditandatangani oleh Y.Bhg Datuk Thomas George, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya mewakili  Kerajaan Malaysia dan YBhg Dato’ Hj Nasir Bin Mat Dam, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) sebagai saksi. Manakala bagi pihak syarikat konsesi, diwakili oleh Pengarah dan wakil syarikat konsesi Building Lindungan Sdn Bhd dan Gemilang Maintenance Services Sdn Bhd.

Perjanjian Tambahan ini juga melibatkan dua (2) Bangunan Gunasama Kerajaan Persekutuan baru iaitu Menara Persekutuan Melaka (Ambang Wira Sdn Bhd) dan Wisma Seberang Perai Utara, Pulau Pinang (Gemilang Maintenance Services Sdn Bhd).

Dalam majlis ini turut dihadiri oleh En. Embok Masek Bin Md. Taher, Pengarah Bahagian Kawalselia dan Penyenggaraan, Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian dan Syarikat Konsesi.

1

KUALA LUMPUR, 28 SEPTEMBER 2017 : Ekovest Berhad (“Ekovest” atau “Syarikat”), syarikat yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia terlibat dalam pembinaan, pembangunan hartanah dan infrastruktur melalui anak syarikatnya Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn. Bhd. (KESTURI) telah mengadakan Majlis Pembukaan Jajaran Tun Razak Link (“TRL”) yang merupakan sebahagian daripada laluan Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE) Fasa 2. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof. Dengan jumlah jarak 9km, TRL bermula di Jalan Tun Razak berhampiran Hospital Kuala Lumpur / Institut Jantung Negara dan menghala ke utara melalui Jalan Pahang dan Jalan 9/48A untuk menghubungkan ke jajaran sedia ada Lebuhraya DUKE Fasa 1 dan juga Jalan Gombak di Persimpangan Bertingkat Sentul Pasar.

TRL dijangkakan dapat membantu menyelesaikan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Jalan Tun Razak, bulatan Jalan Pahang dan persimpangan Jalan Duta. Pada 23 Mei 2017 yang lalu, sebahagian daripada jajaran TRL telah dibuka kepada pengguna melalui pihak pelan pengurusan lalu lintas.

KESTURI telah membuka laluan lencongan dari Jalan Tun Razak menghala ke lebuhraya DUKE sedia ada bagi membantu melancarkan trafik sepanjang bulan Ramadan yang lepas. Jajaran TRL di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) Fasa 2 akan dibuka sepenuhnya kepada pengguna pada 28 September 2017 mulai jam 5.00 petang. Pengarah Urusan Ekovest Berhad Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng berkata pihak Ekovest percaya bahawa setelah siapnya TRL, ianya pasti akan memberi manfaat kepada penduduk bandar yang tinggal di pinggir bandar dan bekerja di tengah bandar, sementara menaik taraf kemudahan infrastruktur bagi kemudahan rakyat Malaysia. Ia adalah seiring dengan inisiatif Kerajaan untuk menyediakan infrastruktur berkelas dunia bagi penduduk Kuala Lumpur. Bukan sahaja ia dapat membantu menyuraikan trafik, tetapi ia juga berupaya menyediakan sambungan untuk menghubungkan kawasan baharu dengan lebuh raya sedia ada.