Langkau ke kandungan utama
1

Majlis Pembukaan Jajaran Tun Razak Link di Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE) Fasa 2

KUALA LUMPUR, 28 SEPTEMBER 2017 : Ekovest Berhad (“Ekovest” atau “Syarikat”), syarikat yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia terlibat dalam pembinaan, pembangunan hartanah dan infrastruktur melalui anak syarikatnya Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn. Bhd. (KESTURI) telah mengadakan Majlis Pembukaan Jajaran Tun Razak Link (“TRL”) yang merupakan sebahagian daripada laluan Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE) Fasa 2. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof. Dengan jumlah jarak 9km, TRL bermula di Jalan Tun Razak berhampiran Hospital Kuala Lumpur / Institut Jantung Negara dan menghala ke utara melalui Jalan Pahang dan Jalan 9/48A untuk menghubungkan ke jajaran sedia ada Lebuhraya DUKE Fasa 1 dan juga Jalan Gombak di Persimpangan Bertingkat Sentul Pasar.

TRL dijangkakan dapat membantu menyelesaikan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Jalan Tun Razak, bulatan Jalan Pahang dan persimpangan Jalan Duta. Pada 23 Mei 2017 yang lalu, sebahagian daripada jajaran TRL telah dibuka kepada pengguna melalui pihak pelan pengurusan lalu lintas.

KESTURI telah membuka laluan lencongan dari Jalan Tun Razak menghala ke lebuhraya DUKE sedia ada bagi membantu melancarkan trafik sepanjang bulan Ramadan yang lepas. Jajaran TRL di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) Fasa 2 akan dibuka sepenuhnya kepada pengguna pada 28 September 2017 mulai jam 5.00 petang. Pengarah Urusan Ekovest Berhad Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng berkata pihak Ekovest percaya bahawa setelah siapnya TRL, ianya pasti akan memberi manfaat kepada penduduk bandar yang tinggal di pinggir bandar dan bekerja di tengah bandar, sementara menaik taraf kemudahan infrastruktur bagi kemudahan rakyat Malaysia. Ia adalah seiring dengan inisiatif Kerajaan untuk menyediakan infrastruktur berkelas dunia bagi penduduk Kuala Lumpur. Bukan sahaja ia dapat membantu menyuraikan trafik, tetapi ia juga berupaya menyediakan sambungan untuk menghubungkan kawasan baharu dengan lebuh raya sedia ada.

Gambar Berita