Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

Image removed.Kuala Lumpur, 4 Mac - Rancangan Vasantham merupakan Program Wawancara dalam Bahasa Tamil yang disiarkan setiap hari Ahad dari jam 1.00  hingga 2.00 petang di TV2. Pada 4 Mac 2012,  RTM telah memberi penghormatan kepada MAMPU untuk memberi penerangan mengenai Program Penarafan Bintang (Star Rating) yang diadakan sejak tahun 2008 sebagai usaha untuk meningkatkan lagi sistem pengurusan organisasi dan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan dalam sektor awam.

Dalam program selama sejam tersebut, Encik Kalibaskaran dari MAMPU, Encik Devaraj Subramaniam dari Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Kerja Raya dan Encik Devadoss dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja telah dijemput sebagai panel untuk memberi penerangan serta pandangan mengenai Program Star Rating.

Encik Devaraj Subramaniam dijemput ke rancangan tersebut kerana Kementerian Kerja Raya merupakan satu-satunya Kementerian yang mendapat dua kali berturut-turut  penarafan 5 bintang sejak MAMPU melaksanakan program tersebut. KKR mendapat penarafan 5 bintang pada kali pertama tahun 2008 dan kali kedua pada tahun 2010.

 

|Foto Galeri|

Image removed.Image removed.Kajang, 1 Mac – Masalah kadar bayaran tol di Lebuhraya Cheras - Kajang yang dikatakan membebankan pengguna laluan itu berakhir malam tadi apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penghapusan sebanyak 50 peratus daripada kadar sedia ada.

Lebuhraya Cheras - Kajang yang dikendalikan oleh syarikat konsesi Grand Saga Sdn. Bhd. mempunyai dua plaza tol iaitu di Plaza Tol Batu 9 dengan kadar bayaran RM1 dan Plaza Tol Batu 11 sebanyak RM0.90sen. Pemansuhan tol yang diumumkan oleh YAB. Perdana Menteri adalah melibatkan bayaran tol RM1 menghala ke Kuala Lumpur di Plaza Tol Batu 9 dan bayaran RM0.90sen di Plaza Tol Batu 11 menghala ke Kajang , berkuatkuasa tengah malam tadi. Langkah ini merupakan tanda keprihatinan kerajaan dan bagi mengotakan janji yang pernah diungkapkan pada Ogos tahun lalu supaya Kementerian Kerja Raya (KKR) mengkaji kadar tol di lebuhraya itu untuk meringankan beban pengguna.

Image removed.Image removed.Melaka, 1 Mac – Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Melaka yang bernilai RM23.4 juta di Crystal Bay, Alai tidak akan ditutup walaupun berdepan dengan masalah kulat selain wujud masalah pada struktur dan reka bentuknya.

Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, berkata premis berkenaan yang siap dibina pada Mac tahun lalu, disahkan selamat digunakan selepas pemeriksaan mendapati masalah berkenaan tidak menjejaskan keselamatan dan kesihatan kakitangan serta orang ramai.

Selain itu, beberapa tempat pula ditenggelami air, mungkin akibat tempias serta paras air bawah tanah yang agak tinggi ketika musim hujan serta air pasang. Jabatan Kerja Raya (JKR) serta jururunding projek sudah diminta melakukan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti punca dan menyelesaikannya secepat yang mungkin.

Hadir sama dalam lawatan itu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Y.Bhg Dato’ Sri Abu Kassim Mohamed serta pegawai-pegawai SPRM Melaka dan JKR Melaka.

 

|Galeri Foto|

Image removed.Image removed.Sepitang, Sabah, 27 Februari – Kerajaan memperuntukkan RM 423 juta bagi menaik taraf Jalan Pan Borneo sepanjang 2,230 kilometer yang melibatkan laluan utama di Sabah dan Sarawak.

Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Seri Shaziman bin Abu Mansor berkata, kerja menaik taraf jalan utama di Borneo ini akan bermula pertengahan tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya 2015. Berkata beliau lagi kepada pemberita, kerja-kerja ini akan dilakukan berperingkat di mana tahun ini sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi menaik taraf jalan melibatkan RM50 juta di Sabah dan RM50 juta lagi di Sarawak.

YB. Menteri turut meninjau kerja-kerja menaiktaraf projek Jalan Sapulut – Kalabakan, Tawau, Sabah. Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya kualiti Jalan Persekutuan di Sabah lebih rendah berbanding di Sarawak dan Semenanjung, sebagai di antara punca banyak jalan di negeri ini mudah rosak dan kurang sempurna.

Katanya lagi, kerosakan jalan di negeri ini bukan disebabkan kualiti pembinaan tidak memuaskan tetapi disebabkan oleh kenderaan berat yang lalu lalang di jalan tersebut serta pengubahsuaian lori untuk membawa muatan berlebihan adalah faktor jalan yang dibina mudah rosak.

 

|Galeri Foto|

Image removed.Image removed.Kuala Lumpur, 22 Februari- Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1433H/2012M Peringkat Kementerian Kerja Raya telah diadakan bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid. Majlis dimulakan dengan perarakan oleh warga Kementerian Kerja Raya (KKR) serta agensi bermula dari perkarangan Blok A ke Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid.

Majlis disusuli dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Qari, Encik Mohd Safwan Bin Hj Harisah dari Bahagian Perancang Jalan Kementerian Kerja Raya, persembahan nasyid oleh Hafiz Hamidun serta Ceramah Maulidur Rasul oleh Y.Bhg Dato’ Ustaz Mohd Zawawi Bin Yusoh. Seramai 600 orang telah hadir ke majlis ini.

Turut memeriahkan majlis, Y.Bhg. Dato' Haji Nasir Bin Mat Dam, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Tuan Haji Abdul Rahim Goon, Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Encik Taib Bin Yaacob, Setiausaha Bahagian Pentadbiran dan Pengerusi Surau KKR, warga kementerian serta agensi.

 

|Galeri Foto|

Image removed.Kuala Lumpur, 18 Februari – YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah merasmikan kuarters baru JKR di Batu 4 ½ Jalan Sungai Besi kelmarin. Dalam ucapan perasmian YAB Perdana Menteri, beliau berkata kuarters baru itu bakal didiami oleh 60 kakitangan kumpulan sokongan JKR sebagai tanda kerajaan telah mengotakan janjinya apabila kakitangan JKR terbabit menerima kunci rumah baru pada majlis perasmian tersebut. Ini bertepatan dengan matlamat kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat bukan sahaja di luar bandar, tetapi juga bagi golongan yang berpendapatan rendah serta sederhana di bandar.

Kuarters baru JKR yang bernilai RM19 juta daripada RM28 juta yang diperuntukan ini juga mempunyai 9 tingkat yang mengandungi 60 unit rumah bersaiz 110 meter persegi setiap satu dengan di dalamnya terdapat 3 bilik tidur, 2 bilik mandi selain kemudahan seperti tabika, gelanggang futsal, dewan, taman permainan kanak-kanak serta 209 petak meletak kenderaan telah turut dibina dan telah dapat disiapkan dalam tempoh kurang dari 18 bulan dan ia adalah lebih cepat daripada jangkaan jadual asal.

Kehadiran YAB Perdana Menteri telah disambut oleh YB Dato’ Seri Shaziman Bin Abu Mansor, Menteri Kerja Raya dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, YB Datuk M Saravanan. Seramai kira-kira 5,000 warga kota yang hadir bagi memeriahkan lagi majlis. Pada majlis yang sama juga turut diraikan penyerahan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan Bantuan Pelajar-pelajar Cemerlang PMR dan SPM.

 

|Galeri Foto|

Image removed.Shah Alam, 16 Februari – Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Seri Shaziman Bin Abu Mansor telah mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Hospital Shah Alam bagi membuat rundingan dengan kontraktor serta meninjau permasalahan di sekitar tapak pembinaan. Bagi tujuan ini, kementerian mengambil langkah dengan meletakkan pasukan khas supaya memudahkan dan membantu kontraktor projek pembinaan berurusan dengan pihak JKR terutama bagi masalah yang memerlukan keputusan segera supaya projek tersebut dapat disiapkan mengikut jadual.

YB Menteri menegaskan, kementerian akan memberi keutamaan kepada projek berimpak tinggi seperti hospital dan sekolah serta memantau projek berkenaan supaya siap mengikut jadual dan membantu kontraktor yang menghadapi masalah ketika menyiapkan projek berkenaan. Pasukan khas yang dihantar juga adalah terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan mempunyai kebolehan untuk membuat keputusan.

Menurut beliau lagi, hospital yang bernilai RM410 juta itu dijangka akan siap sepenuhnya pada Oktober 2013 ini bakal mengatasi masalah kesesakan dan kekurangan katil di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Turut hadir bersama ke tapak projek adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Y.Bhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Y.Bhg. Dato’ Ir. Haji Mohd Noor bin Yaacob, serta pegawai-pegawai kanan kementerian.

 

|Galeri Foto|

Image removed.Kuala Lumpur, 15 Februari- Kontraktor tempatan perlu meningkatkan kepakaran dalam bidang pembinaan supaya dapat bersaing dengan kontraktor negara lain. YAB. Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Hj Yassin, Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam majlis “The Malaysia Construction Industry Excellence Award (MCIEA) 2011” yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre. Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Seri Shaziman Bin Abu Mansor hadir bersama dalam majlis ini.

Dalam majlis ini, kontraktor yang berjaya dalam beberapa bidang telah diberi anugerah pencapaian. Anugerah disampaikan oleh YAB. Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Hj Yassin, Timbalan Perdana Menteri. YB. Senator Tan Sri Datuk Tee Hock dari Kumpulan Bina Puri Holdings Berhad telah menerima anugerah dalam kategori Pencapaian Antarabangsa. Manakala kontraktor terbaik telah diterima oleh Syarikat Trans Resources Corporation Sdn. Bhd. Ketua Eksekutif Dato’ Sri Sufri bin Hj. Mohd. Zin telah menerima anugerah tersebut.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Y.Bhg. Datuk Himmat Singh, Pengerusi CIDB Malaysia, Y.Bhg. Datuk Ir. Hamzah Hasan, Ketua Eksekutif CIDB, Dato’ Sri Ir Dr. Judin Bin Abd Karim serta kontraktor tempatan. CIDB mengadakan majlis tahunan ini sempena minggu Kontraktor Antarabangsa.

 

|Galeri Foto|

Image removed.Kuala Lumpur, 14 Februari – Kementerian Kerja Raya menerusi agensinya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah menganjurkan program Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW 2012). Program yang berlangsung selama 3 hari itu bermula dari 14 hingga 16 Februari 2012 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) telah dirasmikan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Program ini bertindak sebagai wadah pertemuan dan saluran komunikasi penggiat industri pembinaan tempatan dan luar negara melibatkan kumpulan Profesional, Jurutera, Arkitek, Para Akademik, Kontraktor, Penyelidik, Syarikat Perunding serta Pembekal dari dalam dan luar negara.

Dalam ucapan perasmian Y.A.B Perdana Menteri, beliau membuat pengumuman, penggunaan teknologi IBS akan diperluas ke kawasan luar bandar di mana gelombang pertama akan membabitkan 25 buah sekolah di Sabah dan 9 buah sekolah di Sarawak. Pembinaan bangunan kerajaan lain seperti hospital dan balai polis di luar bandar dan bandar juga boleh diperluas dengan menggunakan kaedah ini. Menurut beliau lagi, penggunaan teknologi IBS ini dapat mengurangkan pembaziran melalui sistem pasang siap dengan suhu bangunan akan menjadi lebih rendah yang secara tidak langsung dapat menjimatkan tenaga di samping lebih mesra alam. Ia juga mampu mengekalkan kualiti dan tahan lama serta lebih menjamin tahap keselamatan sesebuah bangunan kerana kaedah ini menggabungkan kepakaran teknologi tempatan dan luar negara.

Turut hadir bersama pada majlis perasmian adalah Y.B Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Shaziman Abu Mansor, Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Y.Bhg. Datuk Ir. Hamzah Hassan serta pegawai-pegawai kanan Kementerian dan Agensi.

 

|Galeri Foto|

Image removed.Kuala Lumpur, 13 Februari- Kementerian Kerja Raya telah mengadakan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Kementerian Kerja Raya 2012 bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kementerian Kerja Raya. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran YB. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Bin Abu Mansor serta Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Dato' Yong Khoon Seng.

Dalam ucapan YB. Dato’ Yong Khoon Seng, beliau mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua masyarakat Tionghua di samping memuji konsep rumah terbuka yang menjadi amalan pada setiap perayaan di Malaysia dan secara tidak langsung ianya dapat mewujudkan semangat harmoni sesama bangsa serta memupuk perpaduan di antara kaum. Mengikut kalender Cina, tahun ini merupakan tahun naga air dan beliau berharap semoga tahun naga air ini dapat memberi tuah pada semua warga Kementerian Kerja Raya.

Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan tarian singa, muzik Tionghua dan wushu oleh SMK Confucian Kuala Lumpur.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Y.Bhg. Datuk Himmat Singh, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Y.Bhg. Puan Sri Dato’ Zaiton Bt Mhad Ali, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Y.Bhg. Dato’ Haji Nasir Mat Dam, Ketua Pengarah Kerja Raya, Y.Bhg. Dato' Ir. Hj. Mohd Noor Bin Yaacob, Pengerusi CIDB Malaysia, Y.Bhg. Datuk Ir. Hamzah Hasan, pegawai-pegawai kanan serta warga kementerian.

 

|Galeri Foto|