Langkau ke kandungan utama

NAIKTARAF JALAN SEGAMAT – TANGKAK

Image removed.Johor Bahru- 29 September, “Kerja-kerja bagi Projek naiktaraf Jalan Segamat – Tangkak dijangka akan dimulakan pada November ini dengan anggaran kos keseluruhan kira-kira 750 juta,” kata YB. Dato’ Shaziman Bin Abu Mansor, Menteri Kerja Raya kepada media ketika membuat tinjauan ke tapak projek berkenaan.

Projek ini akan dipecahkan kepada lima fasa dengan kos fasa pertama bernilai kira-kira lebih RM100 juta dan akan disiapkan dalam tempoh dua tahun. Secara keseluruhannya, projek naiktaraf jalan sepanjang 63 kilometer itu akan turut membabitkan 19 jambatan termasuk pembinaan semula 14 jambatan yang tidak lagi sesuai dengan jalan berkenaan. Justeru itu, kerajaan yakin projek ini akan memberi keselesaan kepada pengguna di samping merancakkan lagi kegiatan industri di Segamat memandangkan perhubungan yang lebih mudah ke Lebuh Raya Utara Selatan di Tangkak.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, YB. Datuk Seri S. Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jementah, YB. Dr. Lee Hong Tee dan ADUN Kemelah, YB. Dato’ Ayub Rahmat.

Pada sebelah petang hari yang sama, YB. Menteri juga turut merasmikan Lintasan Pejalan Kaki Searas 1Malaysia yang pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Mawai, Kota Tinggi, Johor. Pihak Kementerian memperuntukkan RM 4.5 juta membabitkan 30 lokasi seluruh negara yang dijangka siap sepenuhnya pertengahan November ini. Inisiatif ini diambil bagi meningkatkan aspek keselamatan pelajar di jalan raya kawasan sekolah pada kos optima.

Tarikh Dan Waktu Acara
Sumber
UKK