Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

BINTULU, 7 Januari – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Dato’ Yong Khoon Seng telah mengadakan lawatan kerja dan menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pemantauan Projek-projek Kementerian Pelanggan yang Berstatus Lewat Jadual dan Sakit Bil. 1/2013 bagi Negeri Sarawak.

Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan isu dan masalah projek-projek Kementerian Pelanggan yang berstatus lewat jadual dan sakit di negeri Sarawak. Turut dibincangkan ialah langkah-langkah penyelesaian masalah berkaitan projek tersebut. Antara yang turut serta di dalam mesyuarat ialah para pegawai daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) serta wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan dan Cawangan Bintulu.

Dalam lawatannya, YB. Timbalan Menteri telah melawat tapak Projek Penjara Baru Bintulu di mana Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah Kementerian Pelanggan. Selepas itu, beliau telah melawat Projek Naiktaraf Lebuhraya Pan Borneo (Jalan Selangau–Bintulu) bagi melihat dengan lebih dekat status kerja yang dilakukan.

Lawatan diteruskan pada keesokan harinya ke Projek Naiktaraf Jalan dari Tanjung Kidurong ke Samalaju Industri Park (SIP), Bahagian Bintulu. Jalan ini adalah Jalan Utama yang menghubungkan Bintulu ke Samalaju dan berlaku peningkatan jumlah kenderaan berat serta aliran trafik yang semakin meningkat kesan daripada pembangunan pesat di kawasan Industri Samalaju. Status projek ini ialah Projek baru yang diluluskan dalam Rolling Plan ke-3.

1

SERDANG, 6 Januari - Kementerian Kerja Raya hari ini menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menubuhkan unit cerun bagi memantau kejadian tanah runtuh di negara ini. Menterinya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, berkata hanya sebilangan kecil saja PBT yang mempunyai unit cerun sendiri termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Kita sangat memerlukan lebih ramai pakar geologi yang dapat memantau keadaan cerun. Buat masa ini hanya 34 pakar geologi di JKR, itu pun tidak mencukupi kerana perlu memantau seluruh negara "Malah, antara PBT yang dilengkapi dengan unit sepeti ini ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

"Kami sudah mengenal pasti 21,000 cerun yang perlu dipantau, iaitu membabitkan pemantauan aspek kestabilannya pada setiap masa", katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan tembok runtuh di Universiti Putra Malaysia di sini, hari ini. Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah meluluskan garis panduan bagi pembinaan bangunan di kawasan cerun. "Saya berpendapat bahawa garis panduan ini boleh dilengkapkan lagi dengan unit pemantauan cerun sendiri khususnya kepada PBT yang memunyai penempatan tinggi", katanya.

Dalam kejadian jam 6.15 petang semalam, tembok penghadang berukuran enam meter dengan ketinggian dua meter runtuh sehingga mengakibatkan tujuh motosikal milik pelajar Kolej Serumpun UPM rosak teruk.

[Foto]

1

SEREMBAN, 4 Februari – Syarikat konsesi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sedang menaik taraf lorong sediaada daripada tiga (3) lorong kepada empat (4) lorong di laluan dari Persimpangan Shah Alam – Rawang – Jalan Duta dan Persimpangan Nilai (U) – Persimpangan Seremban/Port Dickson. Ini melibatkan jarak sejauh 63.3 kilometer di Lebuhraya Utara Selatan (E1) dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE-E2).

Sehubungan itu, Menteri Kerja Raya, YB. Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor telah mengadakan lawatan kerja ke kawasan hentian Rehat dan Rawat Seremban (Arah Selatan) hari ini dan telah diberikan taklimat Projek oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Ismail bin Md. Salleh, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Projek yang terbahagi kepada 5 pakej ini telah dimulakan pada 6 Julai 2012 dan kerja-kerja utama yang sedang dijalankan di tapak adalah seperti kerja tanah, sistem saliran, penstabilan cerun, pemindahan utiliti dan pelebaran struktur jambatan . Pelebaran lorong ini akan menambahbaik kualiti perjalanan dan meningkatkan kapasiti trafik daripada 180,000 kenderaan sehari, iaitu “Level Of Service” (LOS) F sewaktu musim perayaan dan waktu puncak, kepada 220,000 kenderaan sehari iaitu LOS C.

Pada lawatan ini juga, YB. Menteri turut mengumumkan Program Diskaun dan Rebat Tol Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya sempena Perayaan Tahun Baru Cina bagi Tahun 2013. Sebanyak 24 lebuhraya terlibat dalam program ini yang merupakan kesinambungan kepada program CSR syarikat-syarikat konsesi sebelum ini iaitu Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan Sambutan Hari Kemerdekaan.

Image removed.Image removed.KUALA LUMPUR, 14 Disember – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menganjurkan satu majlis bagi meraikan kejayaan peserta negara di pertandingan Asean Skills Competition ke-9 yang telah berlangsung dari 15 hingga 17 November 2012 di Jakarta, Indonesia. Majlis yang diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid ini dirasmikan oleh YB. Dato’ Seri Shaziman bin Abu Mansor, Menteri Kerja Raya.

Dalam ucapannya, YB. Menteri mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka yang telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Bagi tahun ini, kontinjen Malaysia yang diwakili 16 orang peserta telah memenangi 25 pingat berbanding pencapaian di ASC Bangkok dua tahun lalu yang mencatatkan pungutan sebanyak 15 pingat sahaja. Jumlah pungutan 25 pingat ini adalah terdiri daripada 3 pingat emas, 4 pingat perak, 4 pingat gangsa dan 14 medallion for excellence. Kejayaan ini lebih bermakna apabila 13 daripada 25 pingat yang dimenangi negara adalah di bawah lapan bidang yang telah dipertanggungjawabkan di bawah kementerian ini, iaitu 2 pingat emas, 3 pingat perak, 2 pingat gangsa dan 6 medallion for excellence.

YB. Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada Universiti Kuala Lumpur, Malaysia French Institute, Malaysia British Institute, ADTECH Shah Alam, Institut Latihan Perindustrian, Pusat Latihan Pembangunan Belia, Institut Kemahiran MARA, GIATMARA, Akademi Binaan Malaysia, TWI SEA Sdn. Bhd dan Siemens Malaysia Berhad yang terlibat dalam memastikan kejayaan negara dalam ASC ke-9 ini.

Image removed.KOTA BHARU, 12 Disember – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Dato’ Yong Khoon Seng telah mengadakan lawatan kerja dan menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pemantauan Projek-projek Kementerian Pelanggan yang Berstatus Lewat Jadual dan Sakit Bil. 3/2012 bagi Negeri Kelantan dan Terengganu.

Dalam lawatannya, YB. Timbalan Menteri telah melawat ke tapak Projek Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra di Kota Bharu. Selepas itu, beliau telah diberi taklimat oleh wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kelantan pada satu mesyuarat di Ibu Pejabatnya.

Lawatan diteruskan pada keesokan harinya ke tapak Projek Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 di Kuala Terengganu. Taklimat telah disampaikan oleh Tuan Ir. Haji Adnan bin Ibrahim, Pengarah Pembinaan Tapak.

YB. Timbalan Menteri dimaklumkan bahawa sebanyak 290 kes kemalangan dilapor berlaku di LPT2 bagi laluan Bukit Besi-Ajil-Gemuruh sejak dibuka September 2011 hingga Oktober 2012. Daripada jumlah tersebut, kes kemalangan yang disebabkan oleh kecuaian pemandu mencatat bilangan tertinggi iaitu sebanyak 209 kes.

Image removed.PORT DICKSON, 10 Disember – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah melakukan pelbagai usaha dan program mengenalpasti dan menambah baik lokasi-lokasi kerap berlaku kemalangan atau dikenali sebagai blackspot yang disebabkan oleh faktor kejuruteraan. Ia melibatkan kerja-kerja pemulihan di jalan-jalan persekutuan seluruh Malaysia dan juga di lebuh raya.

Menurut YB. Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor, Menteri Kerja Raya, sewaktu lawatan kerja di sini, program pemulihan telah dimulakan pada tahun 2009 di mana KKR melaksana kerja pemulihan di 10 lokasi blackspot di jalan persekutuan Semenanjung Malaysia dengan kos RM4juta. Ia diteruskan pada tahun 2010 dengan 47 lokasi dengan kos RM23juta, tahun 2011 sebanyak 55 lokasi dengan kos RM27juta.

“Untuk tahun ini (2012) sebanyak 60 lokasi blackspot termasuk 10 di lebuh raya telah dikenalpasti untuk dipulihkan dengan kos sebanyak RM30.6juta. Sehingga kini, 59 lokasi telah siap dibaikpulih,” katanya kepada pemberita.

Menurut beliau lagi, kadar kemalangan di jalan persekutuan telah menurun dengan mendadak setelah kerja-kerja pemulihan (rehabilitative works) dilaksanakan. Sebagai contoh, bagi tahun 2011, sebanyak 472 kemalangan berlaku di 40 lokasi blackspot yang dikenalpasti dan kadar ini berkurangan kepada 5 kes kemalangan sahaja sehingga akhir November 2012 (penurunan sebanyak 99 peratus). Manakala di lebuh raya pula, tiada kemalangan berlaku selepas kerja pemulihan dibuat.

Image removed.GENTING HIGHLANDS, 6 Disember - Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menganjurkan Bengkel Pemurnian Dokumen Pelan Strategik KKR 2013 – 2015 selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Disember 2013 bertempat di Hotel Awana, Genting Highlands.

Objektif bengkel ini adalah untuk memurnikan deraf akhir dokumen Pelan Strategik KKR 2013 - 2015 dan memperoleh maklumat/input berkaitan sasaran perancangan yang akan dilaksanakan oleh bahagian/agensi yang terlibat. Ketua Setiausaha Kementerian, YBhg. Datuk Himmat Singh telah merasmikan pembukaannya pada hari pertama bengkel.

Bengkel ini dihadiri seramai 32 orang peserta yang terdiri daripada pengurusan atasan KKR, Ketua Agensi, Ketua Bahagian, Pegawai Kanan dan beberapa orang pegawai Gred 41 ke atas daripada bahagian dan agensi. Tiga orang fasilitator dari Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang diketuai oleh Encik Shahrir bin Mohammad Zakey turut hadir dalam bengkel ini bagi membantu para peserta dalam bengkel tersebut.

Image removed.KUALA LUMPUR, 5 Disember – Forum Perdana sempena kedatangan Maal Hijrah atau tahun baru Hijriah 1434 peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya hari ini.

Forum Perdana ini membariskan Imam Muda Hizbur sebagai moderator bersama dua orang ahli panel iaitu Ustaz Zul Ramli M.Razali dan saudara Shamril Mohd. Salleh atau lebih dikenali dengan Sham Kamikaze. Mereka telah berkongsi ilmu dan pengalaman bertujuan memberi semangat kepada kakitangan agar melakukan hijrah atau transformasi ke arah yang lebih baik dan positif dalam melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang diberikan.

Majlis ilmu yang menerapkan nilai-nilai murni, membina sahsiah serta keperibadian ini telah dianjurkan oleh Unit Hal Ehwal Islam, BPSM dan Jawatankuasa Surau KKR dan dihadiri seramai 400 tetamu.

Image removed.SHAH ALAM, 4 Disember - Bangunan utama Hospital Shah Alam (HSA) di Seksyen 7 di sini telah hampir siap sepenuhnya dan dijangka boleh beroperasi pada Oktober tahun depan. Menteri Kerja Raya, YB. Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor berkata, pada masa ini, kerja-kerja menyiapkan kuarters serta aspek teknikal dan mekanikal pada bangunan hospital sedang dijalankan.

“Bagi memastikan hospital itu siap dan beroperasi sepenuhnya mengikut tarikh yang ditetapkan, kementerian menghantar satu pasukan khas bagi membantu kontraktor,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek itu di sini semalam.

Projek pembinaan HSA dengan kos kontrak RM482.6 juta dimulakan pada 15 November 2007 dan 44 peratus daripada keseluruhan HSA sudah disiapkan hasil kerjasama baik antara pasukan khas Jabatan Kerja Raya yang ditempatkan di tapak pembinaan dengan kontraktor yang telah menambah bilangan pekerja daripada 500 kepada 750 orang untuk projek ini. Turut hadir bersama ialah Menteri Kesihatan, YB. Dato' Sri Liow Tiong Lai.

Image removed.KUALA LUMPUR, 3 Disember – Majlis Meraikan Pesara Kementerian Kerja Raya (KKR) Tahun 2012 telah diadakan di Bilik Tanjung, Kompleks Kerja Raya hari ini. Majlis ini merupakan satu tanda penghargaan ikhlas dan penghormatan di atas segala sumbangan dan khidmat bakti oleh para pesara sepanjang tempoh berkhidmat di dalam perkhidmatan awam.

Seramai 18 orang warga KKR akan dan telah bersara untuk tahun 2012 dan mereka terdiri daripada 2 orang pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan 16 orang dari Kumpulan Sokongan. Pada majlis ini para pesara telah menerima cenderamata dan Sijil Penghargaan daripada Ketua Setiausaha Kementerian, YBhg. Datuk Himmat Singh.

Dalam ucapannya, YBhg. Datuk KSU telah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa dan sumbangan para pesara serta berharap agar nilai-nilai murni yang telah ditunjukkan menjadi pendorong dan ikutan kepada pegawai-pegawai yang masih berkhidmat. Majlis turut dihadiri Pengurusan Atasan KKR dan warga dari setiap bahagian KKR.