Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KOTA KINABALU, 15 Jun - Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dengan kerjasama Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) telah menganjurkan Kursus Pengubahsuaian Bangunan bermula pada 15 Jun sehingga 16 Jun 2013 bertempat di Kompleks Tabung Haji, Kota Kinabalu, Sabah.

Majlis Perasmian Kursus ini telah disempurnakan oleh YB. Datuk Rosnah Bt Haji Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya.  Perasmian ini turut dihadiri oleh YBrs. En Yahaya Hasan, Pengarah PKK Malaysia, YBhg. Dato’ Mokhtar Samad, Presiden PKMM Pusat dan YBrs. Haji Awadnir Bin Matanggal, Yang Dipertua PKMM Cawangan Negeri Sabah.  Turut hadir ialah wakil – wakil dari PKK Sabah, PKMM Sabah, CIDB Negeri Sabah dan Pengurus Kompleks Tabung Haji Cawangan Negeri Sabah.

Kursus ini merupakan pra syarat kepada kontraktor – kontraktor kerja awam  G1 dan G2 untuk membuat penambahan bidang kerja pengkhususan B28 – Ubahsuai Bangunan di dalam syarikat masing – masing.  

Kursus ini telah dihadiri seramai 120 orang kontraktor dari sekitar pantai barat Sabah yang merangkumi Kota Belud, Kudat, Kota Kinabalu, Membakut, Beaufort, Tawau dan Lahad Datu.  Para kontraktor dibahagikan kepada tiga kelas iaitu Bilik Kuliah Kota Belud, Bilik Kuliah Sandakan dan Bilik Kuliah Ranau. Pada akhir kursus ini kontraktor dikehendaki menduduki Ujian bertulis untuk memperolehi Sijil Kecekapan Pengurusan sebagai syarat penambahan bidang kepala kerja B28 beserta dengan 20 mata CCD bagi tujuan pembaharuan lesen di CIDB.

1

KUCHING, 14 Jun – Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Fadillah Yusof meneruskan lawatan kerjanya ke Negeri Sarawak hari ini.  Acara lawatan dimulakan dengan satu sesi Dialog  diantara delegasi bersama YB. Datuk Seri Michael Manyin anak Jawong, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak, bertempat di bangunan MIDCom, Kuching.  

Delegasi kemudiannya telah mengadakan kunjungan hormat bersama Ketua Menteri Sarawak, YAB. Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.  Lawatan kerja diteruskan dengan melawat SMK Demak Baru, Kuching bagi meninjau masalah keretakan bangunan dan tanah mendap yang dihadapi pihak sekolah terbabit.  Turut serta dalam lawatan ini ialah YB. Puan Hajah Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Adun Samariang.

Delegasi KKR terdiri daripada Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha KKR dan YBhg. Dato’ Seri Ir. Mohd Noor Yaacob, Ketua Pengarah Kerja Raya serta pegawai kanan Kementerian

1

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Pihak pengurusan atasan Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengaturkan sesi perjumpaan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), YBrs. Encik Sarani bin Dollah bersama pegawai muda Gred 41-44 hari ini bertempat di Dewan Tanjung, Kompleks Kerja Raya.

Majlis yang dikoordinasikan oleh Cawangan Pembangunan Modal Insan, BPSM ini merupakan satu pendekatan yang diambil bagi mewujudkan ruang komunikasi antara pegawai muda KKR bersama pengurusan atasan Kementerian dalam mencari formula terbaik untuk mewujudkan kesepakatan dalam melaksanakan tugas seharian.  Selain itu sesi ini juga dilihat sebagai satu landasan terbaik untuk mewujudkan hubungan dua hala yang dinamik bagi mendapatkan input berguna dari pegawai muda dalam usaha untuk mentransformasikan perkhidmatan Kementerian ke tahap yang lebih baik.

Majlis telah dimulakan dengan perkongsian ilmu oleh YBrs. TKSU(O) sebelum diakhiri dengan sesi interaksi bersama-sama 69 orang pegawai muda yang hadir.

1

KOTA KINABALU, 13 Jun – Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Fadillah Yusof telah mengadakan lawatan kerja ke Negeri Sabah.  Antara tempat yang dilawati ialah Tapak Projek Naiktaraf Jalan Petagas – Lok Kawi dan Jalan Donggongon – Simpang Jalan Papar Spur (Pakej 1).

YB. Menteri turut mengadakan lawatan ke tapak tanah runtuh jalan Kota Kinabalu – Penampang – Tambunan – Keningau – Tenom bagi meninjau hasil kerja pembaikan yang telah dilakukan oleh pihak JKR Sabah.  Lawatan kerja ini turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha KKR dan YBhg. Dato’ Seri Ir. Mohd Noor Yaacob, Ketua Pengarah Kerja Raya.

Pada sebelah petangnya, delegasi YB. Menteri Kerja Raya telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, YAB. Datuk Seri Musa Haji Aman bertempat di Pejabat Ketua Menteri, Jabatan Ketua Menteri, Kota Kinabalu.

1

PULAU PINANG, 12 Jun - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin telah menziarahi keluarga Allahyarham Tajudin Zainal Abidin, mangsa runtuhan susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang pagi ini. Ini merupakan usaha ikhlas beliau sebagai tanda prihatin serta simpati terhadap nasib yang menimpa keluarga mangsa. Ahli keluarga mangsa yang hadir dalam pertemuan itu ialah balu mangsa, Puan Shara Ismail dan Puan Shariffah Ramli beserta empat orang anak Allahyarham. YB. Timbalan Menteri turut singgah meninjau lokasi kejadian sebelum bertolak pulang.

1

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Majlis meraikan pertukaran mantan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato’ Haji Nasir bin Mat Dam telah diadakan di Dewan Sri Tanjung, Kompleks Kerja Raya hari ini.

Majlis yang berlangsung pada pukul 12 tengahari ini diadakan bagi meraikan pertukaran beliau ke Kementerian Pendidikan bermula 3 Jun 2013 memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Pengajian Tinggi.  YBhg. Dato’ Haji Nasir bin Mat Dam mula berkhidmat di Kementerian Kerja Raya (KKR) pada 25 Februari 2008 dan sepanjang berkhidmat di Kementerian ini, beliau telah banyak menabur bakti dan jasa terutamanya kepada perkhidmatan teras (Pembangunan).

Tetamu kehormat yang turut hadir memeriahkan majlis jamuan pertukaran ini ialah Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Datuk Himmat Singh, pegawai-pegawai Kementerian serta Ketua Pengarah Agensi/Jabatan di bawah Kementerian ini.  

1

KUALA LUMPUR, 31 Mei - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin telah merasmikan Booth Malaysia International Renovation Exhibition bertempat di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini.

Sebanyak sepuluh booth pameran yang terdiri daripada 12 syarikat kontraktor Bumiputera telah menyertai pameran ini dan kesemuanya telah dibiayai oleh Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), Kementerian Kerja Raya (KKR).  Objektif utama penyertaan PKK didalam program ini adalah untuk membuka peluang dan ruang bagi kontraktor, pembekal dan pengilang Bumiputera untuk memasarkan produk dan perkhidmatan syarikat masing – masing selain mengetengahkan kontraktor Bumiputera ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

PKK berhasrat untuk menyertai siri ekspo ini yang dijadual berlangsung pada bulan September dan November tahun ini bagi meneruskan usaha yang dilakukan dalam mengetengahkan kontraktor Bumiputera.  Program Malaysia International Renovation Exhibition 2013 ini dianjurkan  oleh EG Group Holding Sdn. Bhd. dan berlangsung bermula 31 Mei hingga 2 Jun 2013.

1

KUALA LUMPUR, 29 Mei -  “Meneruskan dan mengekalkan kecemerlangan sedia ada sesuatu organisasi adalah lebih sukar daripada mencipta kegemilangan”. Ia disuarakan oleh Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Fadillah Yusof sewaktu menyampaikan ucapan pada Majlis Malam Jasamu Dikenang, bertempat di Hotel Renaissance malam ini.

Majlis ini diatur bagi menghargai jasa dan sumbangan besar Mantan Menteri Kerja Raya dan Mantan Timbalan Menteri Kerja Raya iaitu YB. Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor dan YBhg. Dato’ Yong Khoon Seng.  Turut hadir pada majlis ini ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Ketua Pengarah Agensi dan Jabatan, serta para pegawai kanan KKR.

Dalam ucapannya lagi, YB. Datuk Fadillah Yusof merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada Mantan Menteri Kerja Raya dan Mantan Timbalan Menteri Kerja Raya di atas sumbangan dan komitmen mereka membawa Kementerian ini melakar beberapa pencapaian hebat. Kini, ia menjadi tanggungjawab beliau dan Timbalannya, untuk berusaha bersama-sama seluruh warga KKR meneruskan kegemilangan dan mencipta kejayaan di masa hadapan.

1

JOHOR BAHRU, 28 Mei - Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Selatan menerima kunjungan Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Fadillah Yusof dan Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin hari ini.  Turut mengiringi lawatan ini ialah YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Judin Abd. Karim, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKR, YBhg. Dato’ Nasir Mat Dam.

Lawatan yang bermula pada pukul dua petang dan berakhir pada pukul empat petang itu telah meliputi keseluruhan kawasan akademi tersebut seperti bengkel, bilik kuliah, kemudahan riadhah serta surau. Sepanjang lawatan tersebut, delegasi telah diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Operasi ABM Wilayah Selatan, Encik Supian bin Musa.  Lawatan diakhiri dengan jamuan ringan yang disediakan oleh pihak ABM.

1

JOHOR BAHRU, 28 Mei - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia hari ini meraikan 427 pelatih-pelatih Akademi Binaan Malaysia (ABM) yang telah tamat menjalani pengajian di dalam pelbagai bidang dan akan menerima Sijil Kecekapan Kemahiran masing-masing.

Daripada jumlah tersebut, 100 pelatih telah ditaja oleh Yayasan FELDA di dalam bidang kimpalan di bawah The Welding Institute (TWI), manakala IRDA telah memilih 60 orang pelatih untuk menjadi perintis projek Pinewood Iskandar Malaysia Studio.   Selain daripada itu seramai 100 orang pelatih pula yang berpeluang menjalani latihan dalam industri bersama 20 syarikat kontraktor tempatan.

YB. Datuk Haji Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya dalam ucapan perasmiannya menggesa penggiat industri lain juga mengambil langkah yang sama untuk memberi pendedahan industri kepada para pelatih binaan tempatan dan seterusnya menyerap mereka sebagai pekerja mahir di dalam tred berkaitan. 

“Saya melihat kerjasama ini akan memberi impak positif ke arah pembangunan negara dengan cara yang lebih efektif dan dalam skala yang lebih besar dan untuk memastikan perkara ini Kementerian dan CIDB akan terus membangunkan kapasiti dan keupayaan para belia tempatan dalam bidang kemahiran pembinaan terkini berserta pengalaman industri yang menepati standard antarabangsa,” tambahnya lagi.

Sejak penubuhan ABM Wilayah Selatan pada 2001, ia telah berjaya mengeluarkan lebih daripada 12,844 orang pelatih berkemahiran dalam tred-tred pembinaan terpilih. Selain itu ABM Wilayah Selatan ini juga telah melatih seramai 18,737 personel binaan di dalam pelbagai bidang.  Jumlah belia dan personel binaan yang telah dilatih di seluruh Malaysia sejak 2001 adalah seramai 200,000 orang.