Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

YAN, 28 Oktober – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin telah menghadiri Seminar Asas Penyelenggaraan Bangunan dan Kerja-Kerja Mengecat anjuran Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) Kedah dengan kerjasama Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kedah di Sungai Limau hari ini.

Seminar ini bertujuan sebagai medan untuk para kontraktor bumiputera sekitar Negeri Kedah berkongsi ilmu berkaitan kerja penyelenggaraan dan kerja mengecat yang merupakan kemahiran asas bagi kontraktor kerja awam. Syarikat Bina Integrated Industries Sdn. Bhd. pula telah menyumbangkan cat jenama BINA PAINT keluaran syarikat mereka untuk kerja praktikal mengecat dewan dan surau disekitar Daerah Sungai Limau ini.

Seminar itu turut dihadiri En Yahaya bin Hasan, Pengarah PKK Malaysia dan Dato’ Mokhtar Hj Samad, Presiden PKMM.

1

KUALA LUMPUR, 22 Oktober -  Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) telah menganjurkan Hari Psikologi KKR 2013 dengan bertemakan ‘Kesihatan Minda Untuk Kesejahteraan Menyeluruh’ yang bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid pada hari ini.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Sarani bin Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi).  Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah seperti ujian personaliti, pemeriksaan kesihatan, refleksologi, aromaterapi dan lain-lain.

1

KUALA LUMPUR, 17 Oktober -  Surau Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan KKR dan Unit Hal Ehwal Islam telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Adha di kantin KKR.  Turut menghadiri majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Datuk Himmat Singh.

Untuk tahun ini KKR telah menumbangkan tiga ekor lembu dan daging korban tersebut telah diagihkan kepada ibu tunggal di KKR dan juga anak-anak yatim.  Agihan daging korban tersebut telah disampaikan oleh Dato’ Mohd Shafiq bin Abdullah, Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penswastaan.

1

PUTRAJAYA, 17 Oktober – Kerajaan melalui Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) Ibu Pejabat dan PKK Cawangan-cawangan telah dan akan terus bekerjasama dengan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) serta agensi/syarikat kerajaan yang lain dalam usaha memperkemaskan lagi gerak kerja dalam menyediakan latihan dan kursus yang lebih dinamik kepada kontraktor.

Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata demikian sewaktu merasmikan “Seminar Memperkasakan Kontraktor Bumiputera 2013” bertempat di Menara Usahawan, Presint 2 hari ini.  Menurut beliau lagi, pada tahun 2013, Kementerian telah memperuntukan RM2.6 juta kepada PKK bagi merangka program – program latihan dan pembangunan bagi kontraktor Bumiputera.

Kira-kira 400 kontraktor bumiputera hadir pada seminar itu yang turut dihadiri En Yahaya bin Hasan, Pengarah PKK Malaysia dan Dato’ Mokhtar Hj Samad, Presiden PKMM.

1

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Bahagian Kejuruteraan Awam, Universiti Malaya (UM) bersama-sama Nehemiah Reinforced Soil Sdn. Bhd. telah menganjurkan Pertandingan Rekabentuk Nehemiah 2013.  Pertandingan antara universiti ini merupakan edisi keempat yang bertujuan memilih pasukan yang berjaya membuahkan idea rekabentuk kejuruteraan terbaik berdasarkan topik yang diberikan.

Sebanyak sepuluh pasukan telah disenarai pendek untuk bertanding yang terdiri daripada pelajar universiti swasta dan awam.  Pertandingan dihakimi oleh pakar kejuruteraan daripada Khidmat Pakar, Jabatan Kerja Raya (JKR), Bridge, Institute of Highway & Transport (CIHTMB), Master Builders Association Malaysia (MBAM) dan Institut Jurutera Malaysia.

Pemenang Pertama dan Kedua adalah dari pasukan Universiti Malaya manakala tempat ketiga pasukan dari Lincoln University College. Hadiah para pemenang telah disampaikan oleh YB Datuk Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya yang juga merupakan Alumni UM. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Dekan (Memangku) Fakulti Kejuruteraan, Assoc. Prof. Dr. Noor Azuan bin Abu Osman, Pengarah Urusan Nehemiah Reinforced Soil Sdn Bhd, Ir. Tan Cheng Chong dan para pensyarah fakulti.

1

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam Kementerian Kerja Raya (KKR) 2013 merupakan salah satu daripada aktiviti utama di bawah Program Peningkatan Kualiti dan Inovasi Tahunan KKR.  ‘Melangkaui Sempadan, Merintis Keunggulan’ adalah merupakan tema KIK pada tahun ini.  Majlis perasminya telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid.

Sebanyak lapan kumpulan yang bertanding untuk mempamerkan cetusan kreativiti dan inovasi di mana terdiri daripada tiga dari Kategori Teknikal dan lima dari Kategori Pengurusan.  Persembahan KIK ini dinilai oleh Panel yang telah dilantik.  Turut hadir sama ialah warga KKR, Jabatan dan Agensi yang terlibat.  

1

SHAH ALAM, 7 Oktober – Konvensyen Antarabangsa Juruukur Bahan (QSIC) 2013 menjadi medan pertemuan para juruukur bahan dalan dan luar negara, bakal berlangsung pada 7 dan 8 Oktober 2013.  Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh YB Datuk Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya hari ini bertempat di Hotel Grand Bluewave. 

Menurut ucapan aluan oleh Yang DiPertua Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LJBM), YBhg. Dato’ Sr. Abdull Manaf Hashim, QSIC 2013 telah berjaya menarik minat kira-kira 350 orang peserta yang terdiri daripada sektor swasta, sektor kerajaan, ahli akademik dan juga badan berkaitan kerajaan (GLC). 

Konvensyen yang bertemakan “Surfing the Wave of Change” ini merupakan anjuran bersama LJBM, Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM), Persatuan Perunding Juruukur Bahan Melayu Malaysia (PPJBMM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan disokong oleh CIDB.  Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Seri Ir. Haji Mohd Noor Yaacob dan Pengerusi CIDB, YBhg. Datuk Ir. Hamzah Hasan.

1

PULAU INDAH, 1 Oktober : Mulai 1 Oktober 2013 secara rasminya seksyen 3 Lebuhraya Klang Selatan (SKVE) dari Teluk Panglima Garang, menyusuri Pulau Carey dan merentasi Selat Lumut hingga ke Pulau Indah dibuka kepada lalu lintas.

Pelancaran Seksyen 3 Lebuhraya SKVE dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Datuk Haji Fadillah bin Haji Yusof, pada majlis yang berlangsung di Plaza Tol Pulau Indah.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) Datuk Himmat Singh, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Dato’ Ir. Haji Ismail bin Md Salleh dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan SKVE, Tan Sri Rahmat bin Abu Bakar.  Dengan pelancaran dan pembukaan rasmi Seksyen 3 Lebuhraya SKVE, pengguna kini mampu menjimatkan masa perjalanan dan jarak perjalanan antara Putrajaya ke Pelabuhan Barat  dari  1 jam 30 minit  kepada 45 minit dengan menggunakan laluan sedia ada.

YB Datuk Haji Fadillah bin Haji Yusof, berkata projek pembinaan Seksyen 3 lebuhraya SKVE membabitkan laluan sepanjang 18.9 kilometer ini melengkapkan keseluruhan jajaran Lebuhraya SKVE yang menghubungkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya ke Pulau Indah dan kawasan perindustrian Pelabuhan Barat.  Pembinaan Seksyen 3, Lebuhraya SKVE turut melibatkan pembinaan sebuah jambatan sepanjang 1.67km bagi menghubungkan  Pulau Carey dengan Pulau Indah.

" Jambatan ini dibina dengan rekabentuk ketinggian bersesuaian iaitu 25 meter yang mampu menampung laluan pelayaran serta pembangunan industri perkapalan dan maritim di sekitar kawasan ini,” katanya dalam ucapan perasmian pembukaan Seksyen 3, Lebuhraya SKVE di sini semalam.

Sementara itu, YB Datuk Haji Fadillah bin Haji Yusof berkata, orang ramai boleh menggunakan laluan ini secara percuma bermula 1 Oktober hingga 31 Oktober 2013 dari persimpangan  Persimpangan Teluk Panglima Garang ke Persimpangan Pulau Indah.  Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya mematuhi segala peraturan-peraturan jalan raya bagi menjamin keselamatan diri dan para pengguna yang lain.

1

KUALA LUMPUR, 20 September -  Bersesuaian dengan Peraturan 11, Perlembagaan Kelab Sukan dan Kebajikan Kementerian Kerja Raya (KSKKKR), satu Mesyuarat Agung Kelab kali ke 22 telah diadakan hari ini bertempat di Dewan Tan Sri Mahfuz Khalid.

Antara agenda mesyuarat adalah Pengesahan Minit Mesyuarat Ke 21, Membentang dan Menerima Laporan Aktiviti 2012-2013, Membentang dan Menerima Laporan Kewangan dan Kira-Kira Berakhir 31 Disember 2012, Pembubaran AJK sesi 2011 – 2013 dan Pelantikan AJK bagi sesi 2013 – 2015.  Mesyuarat diakhiri dengan Ucapan Presiden sesi 2013 – 2015 di hadapan ahli yang telah hadir menunaikan tanggungjawab sebagai Ahli Kelab.

Image removed.

Image removed.

Image removed.

Image removed.

Image removed.

Image removed.

1

PUTRAJAYA 18 September. - Institut Kanser Negara (IKN) yang berperanan sebagai pusat rujukan berprestij untuk rawatan, latihan, penyelidikan dan pencegahan penyakit barah dijangka mula beroperasi dalam tempoh dua bulan lagi.

Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pusat rawatan dengan kapasiti 252 katil itu telah disiapkan pada 16 Ogos lalu iaitu dua minggu lebih awal berbanding jadual asal.

Katanya, IKN yang menelan kos sebanyak RM693 juta itu mempunyai sembilan wad, unit rawatan rapi, empat dewan bedah, unit rawatan harian onkologi dan klinik pesakit luar yang merangkumi klinik onkologi, klinik perubatan nuklear dan klinik multi disiplin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan IKN daripada Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Mohd. Noor Yaacob kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kerja Raya, YB Datuk Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Timbalan Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.

Projek IKN dilaksanakan secara reka dan bina oleh kontraktor Kiara Teratai Sdn. Bhd. di mana pembinaannya telah dimulakan pada 1 September 2010 bersebelahan dengan Hospital Putrajaya.

Dalam pada itu, YB Datuk Fadillah berkata, pembinaan IKN melibatkan bangunan utama pusat rawatan selain penyediaan komponen klinikal utama yang terdiri daripada perkhidmatan radioterapi dan onkologi, perubatan nuklear, penjagaan paliatif serta pembedahan onkologi.

"Bangunan IKN turut melibatkan sistem rawatan sisa nuklear di mana reka bentuk tersebut adalah termoden dan memenuhi piawaian antarabangsa bagi pengumpulan dan pembuangan sisa radioaktif yang lebih komprehensif," katanya dalam kenyataan. - Utusan

Image removed.

Image removed.

Image removed.

Image removed.

Image removed.

Image removed.