Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

LIMBANG, 30 November -  Menteri Kerja Raya, YB Datuk Fadillah Yusof telah mengadakan lawatan kerja ke tapak pembaikan cerun di KM0.80 Jalan Limbang New Airport hari ini.  Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai dari Bahagian Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya.

Dalam lawatan kerja itu, Datuk Fadillah berkata Kementerian Kerja Raya juga menyalurkan peruntukan berjumlah RM140 juta kepada Jabatan Kerja Raya Sarawak bagi pembangunan serta penambahbaikan jalan raya di Limbang dan Lawas dengan setiap kawasan menerima RM70 juta.

Jalan Limbang - Lawas merupakan sebahagian daripada Jalan Pan Borneo yang merupakan jalan utama menghubungkan bandar-bandar di Sarawak dan Sabah.  Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500 juta dalam pengumuman Bajet 2014 untuk kerja-kerja menaik taraf Jalan Pan Borneo secara berperingkat sehingga tahun 2025.

1

LIMBANG, 29 November - Menteri Kerja Raya YB Datuk Fadillah Yusof telah sudi hadir Majlis Makan Malam dan Taklimat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Hotel Purnama di sini.

Pada majlis itu, Datuk Fadillah menjelaskan bahawa sejumlah RM70 juta dipe­runtukkan kepada Limbang dan RM70 juta lagi kepada Lawas bagi pembangunan dan penambaikan jalan raya di kawasan itu.

Peruntukan itu membabit­kan projek diluluskan, per­ancangan dan pelaksanaan projek di kawasan utara negeri Sarawak.

1

LIMBANG, 29 November – Jambatan Sungai Pandaruan merupakan jambatan tanpa tol yang menghubungkan Bahagian Limbang di Sarawak dan Daerah Temburong di Negara Brunei Darussalam.  Jambatan bernilai RM25 juta ini bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah pada 8 Disember ini.

Menteri Kerja Raya, YB Datuk Fadillah Yusof berkata tarikh itu diputuskan dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini.  Pembinaan jambatan ini juga akan membantu mengurangkan kesesakan perkhidmatan feri di Sungai Pandaruan dan melengkapkan jajaran Jalan Raya Pan Borneo.

Menteri Kerja Raya mengadakan tinjauan perkembangan pembinaan jambatan tersebut bersama-sama Menteri Perhubungan Brunei, Pehin Datuk Abdullah Bakar, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Neg­eri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail dan Residen Bahagian Limbang Maria Hasman.

1

KUALA LUMPUR, 28 November- Menteri Kerja Raya YB Datuk Fadillah Yusof, telah mengadakan lawatan kerja ke Kuala Lumpur Sentral CBD hari ini.  Kuala Lumpur Sentral CBD merupakan sebuah pusat bandar eksklusif yang dibangunkan berasaskan amalan terbaik teknologi hijau dan pembangunan lestari.  Ia dibina di sekeliling ‘Hab Pengangkutan’ bersepadu terbesar Malaysia iaitu Stesen Sentral Kuala Lumpur (SSKL).

Antara bangunan yang dilawati adalah Menara Shell yang telah menerima pengiktirafan Emas di dalam pensijilan piawaian Leader in Energy and Environmental Design (LEED) dari US Green Building Council dan juga pensijilan Green Building Index (GBI) Malaysia. 

Ucapan aluan telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Mohamad Salim Fateh Din, Pengarah Urusan Kumpulan MRCB dan taklimat pembangunan Kuala Lumpur Sentral CBD pula telah disampaikan oleh Encik Mohd Imran Datuk Mohamad Salim, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, MRCB.

1

KUALA LUMPUR, 25 November - Menteri Kerja Raya Datuk Haji Fadillah Yusof hari ini melancarkan “Build Brigade”, iaitu satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Lembaga Pembangunan Industri pembinaan Malaysia (CIDB) dan para penggiat industri pembinaan.  Build Brigade ini ditubuhkan bertujuan mengumpulkan sumber yang ada di dalam industri untuk disalurkan kepada komuniti yang memerlukan, terutama yang hidup di kawasan-kawasan pendalaman negara.

Program Build Brigade pada tahun 2013 melibatkan empat projek membaik-pulih dan juga membina kemudahan seperti balairaya dan tabika.Ini termasuk pembinaan sebuah pusat komuniti untuk masyarakat Penan yang berharga RM250,000 di Long Keluan, Miri Sarawak, yang dijadual akan siap pada akhir Januari 2014.  Menteri Kerja Raya di dalam ucapan perasmiannya berkata, perkampungan Long Keluan di sambung ke Bandar terdekat, iaitu Miri hanya melalui jalan balak yang berdebu ketika cuaca panas dan licin ketika hujan dengan perjalanan mengambil masa kira-kira lima jam. Justeru amatlah jelas, usaha membawa masuk bahan-bahan binaan ke kawasan kampung itu sendiri sangatlah mencabar dan memakan belanja yang tinggi.

“Selain projek di Long Keluan,Build Brigade turut melaksanakan projek pembinaan pusat komunitidi Perkampungan Orang Asli Sungai Miak, Janda Baik, Pahang, dengan kos sebanyak RM160,000, yang dijangka siap pada akhir Februari 2014. Dua lagi projek yang turut dilaksanakan ialah membaik pulih pusat komuniti di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua, Hulu Terengganu yang dijangka siap akhir bulan November ini, dan membaik pulih Tabika di Perkampungan Orang Asli Post Brooke, Gua Musang, Kelantan, yang dijangka siap akhir Disember tahun ini.Kedua-dua projek di Terengganu dan Kelantan ini masing-masing melibatkan kos RM100,000,” jelasnya.

Selain pelancaran Build Brigade, majlis tersebut juga diadakan bagi memberi penghargaan kepada para penggiat industri yang aktif dalam menggangotai pelbagai jawatankuasa yang ditubuhkan untuk meningkatkan program berkaitan dengan industri pembinaan. 

1

KUALA LUMPUR, 22 November – Warga Kerja Raya telah berhimpun di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini untuk mendengar taklimat dan berkongsi Kerangka Kerja Transformasi Jabatan Perkhidmatan Awam (KTJPA). KTJPA ini telah dibangunkan oleh JPA selaras dengan pelaksanaan Transformasi Perkhidmatan Awam yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia sewaktu Bajet 2014.

Taklimat ini telah disampaikan oleh YBrs. Encik Surendran C.K. Balan, Pengarah Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar, JPA. Fokus transformasi ini terbahagi kepada lima teras utama iaitu modal insan, organisasi, penyampaian perkhidmatan, jalinan kerjasama serta penglibatan (engagement) dan nilai-nilai murni.

Program ini diakhiri dengan penyampaian amanat oleh YBhg. Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia. Moderator untuk sepanjang program ini ialah YBrs. Encik Sarani bin Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKR.  Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Dr. Ismail Alias, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), para Pegawai Kanan JPA dan seluruh warga KKR serta agensi.

1

KUALA LUMPUR, 21 November – Program The 3rd International Building Control Conference (IBCC) 2013 yang bertemakan “Transformation of Technology Towards Sustainable Built Environment Strategy” telah berjaya menghimpun pakar, ahli akademik dari bidang Ukur Bangunan dari dalam dan luar negara. 

Program yang diadakan bertempat di Hotel Royale Chulan ini bertujuan memberi peluang kepada penyelidik membentangkan hasil penulisan kajian mereka serta menjadi medan untuk para pengamal Ukur Bangunan bertukar pengalaman dan berkongsi ilmu.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh YB Datuk Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya yang dalam ucapannya menyeru semua pihak yang hadir untuk memainkan peranan, mempergiat usaha dan memberikan sumbangan ke arah matlamat menjadikan negara dalam persekitaran lestari, tercapai.  Persidangan ini merupakan anjuran secara usahasama antara Building Surveying Division dan Junior Organization Committee di bawah naungan Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM), dengan kerjasama UiTM Perak, UKM, UM, UTM, USM dan L&G Twintech College.

1

KUALA LUMPUR, 19 November – Ceramah Perdana sempena Maal Hijrah 1435H/2013M peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya hari ini.  Ceramah telah disampaikan oleh YBhg. Ustaz Ahmad Termizi bin Abdul Razak, Murobbi Program Realiti Pencetus Ummah.  Majlis ini telah dimeriahkan lagi dengan kehadiran warga KKR.

1

CAMERON HIGHLAND, 15 November – Pengurusan tertinggi Kementerian Kerja Raya (KKR) telah berkumpul di Hotel Equatorial untuk Bengkel Pelan Tindakan KKR Tahun 2013 dan Perancangan Pelan Tindakan KKR Tahun 2014. Objektif bengkel ini adalah untuk mengkaji dan melaporkan pencapaian Pelan Tindakan KKR yang telah dilaksanakan bagi tahun 2013 bagi memastikan setiap strategi organisasi tercapai dalam meningkatkan mutu penyampaian terhadap stakeholders serta membincangkan Pelan Tindakan KKR bagi tahun 2014.

Program ini dimulakan dengan ucapan motivasi oleh YBrs. Dr. A. Sher Kawi Jaafar bertajuk ‘Peningkatan Imej Organisasi’.  Seterusnya, Setiausaha Bahagian dan ketua unit telah membentangkan Pelan Pencapaian dan Pelan Perancangan Bahagian dan Unit masing-masing.  Bengkel yang berlangsung selama tiga hari ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha (KSU).  Turut hadir ialah YBrs. En. Sarani Dollah,Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) dan Dato’ Mohd Shafiq bin Abdullah, Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penswastaan.

1

KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Sambutan Hari Inovasi 2013 Kementerian Kerja Raya (KKR) telah dirasmikan oleh YB Datuk Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid dengan bertemakan ‘Melangkaui Sempadan, Merintis Keunggulan’.

Pada majlis ini juga, para pemenang Anugerah Inovasi KKR 2013 telah diraikan. Terdapat enam kategori Anugerah Inovasi yang dipertandingkan iaitu Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Kategori Teknikal, Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Kategori Pengurusan, Anugerah Inovasi ICT, Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan, Anugerah Inovasi Pengurusan Bilik Fail dan Anugerah Inovasi Pengurusan Projek.

Para pemenang setiap kategori menerima wang tunai RM5,000, piala dan sijil bagi pemenang tempat pertama, wang tunai RM3,000 dan sijil untuk pemenang tempat kedua dan wang tunai RM2,000 beserta sijil untuk pemenang tempat ketiga.  Hadiah telah disampaikan oleh YB Menteri kepada kumpulan yang berjaya.

Pelbagai program dan aktiviti telah dijalankan dengan jayanya termasuklah Larian Hari Inovasi yang merupakan program terakhir Hari Inovasi 2013 KKR dan dilepaskan oleh YBhg Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha KKR.