Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

SERDANG, 23 Januari – Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) 2013 telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia hari ini bertempat di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

 

MATEPM merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada pemenang terbaik keseluruhan di Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM) dan Myskills 2013 bagi 22 bidang yang dipertandingkan.  Daripada 22 bidang itu, sembilan bidang di bawah tanggungjawab Kementerian Kerja Raya (KKR) dan 13 bidang di bawah tanggungjawab Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2013 bagi kategori pengajar Pertandingan MySkills dimenangi oleh Muhammad Hafiz Brahim dari Pusat Latihan Teknologi Tinggi Melaka manakala bagi kategori pelatih (PKM) ia dimenangi oleh Muhammad Izzat Sulaiman dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara Rembau. Mereka turut memenangi Pingat Emas dengan masing-masing menerima piala, sijil serta RM7,000 dan RM5,000.

Pada majlis itu juga, YAB Perdana Menteri telah melancarkan WorldSkills Malaysia dan Projek Road to WorldSkills Competition (WSC) Sao Paulo 2015.  Turut hadir ialah YB Datuk Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya serta Timbalannya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Richard Riot Anak Jaem dan Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Datuk Himmat Singh.

1

KUALA LUMPUR, 23 Januari - Majlis Penghargaan Pengauditan Pengurusan Kewangan Kementerian Kerja Raya (KKR) Berdasarkan Indeks Akauntabiliti Tahun 2012 telah diadakan tengah hari ini.  KKR telah dianugerahkan pencapaian empat (4) bintang Indeks Akauntabiliti yang merupakan pencapaian tertinggi dan berada di tahap cemerlang (sangat baik) dengan markah 90 peratus ke atas bagi tahun keempat berturut-turut.

Majlis Penganugerahan Rasmi tersebut telah disempurnakan oleh YBhg Tan Sri Ketua Setiausaha Negara pada 6 Januari 2014 di Akademi Audit Negara, Nilai, Negeri Sembilan.  Majlis ini adalah bagi merakamkan penghargaan Kementerian terhadap pegawai-pegawai dan kakitangan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung di dalam Pengauditan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti Tahun 2012.

Auditan telah dijalankan oleh Jabatan Audit Negara pada bulan Disember 2012 sehingga Januari 2013 melibatkan Bahagian Kewangan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Pengurusan Maklumat, Bahagian Pembangunan dan Penswastaan, Bahagian Akaun, Bahagian Pentadbiran, Bahagian Pembangunan Usahawan, Bahagian Perancang Jalan, Bahagian Pengurusan Korporat dan Unit Audit Dalam.

1

KUALA LUMPUR, 23 Januari – Warga Kementerian Kerja Raya (KKR) disarankan untuk sama-sama menyahut seruan YAB Perdana Menteri mengenai pendekatan 11 langkah penjimatan bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam.  YB. Datuk Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya berkata demikian ketika Perhimpunan Bulanan KKR di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini.  Beliau juga turut berkongsi intipati amanat Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengenai enam prinsip utama bagi mewujudkan sebuah Perkhidmatan Awam yang unggul iaitu keterbukaan, turun padang, musyawarah, insaniah, kekitaan dan kerjasama awam, swasta serta NGO.

Beliau turut menyeru kepada semua warga KKR supaya mengeratkan kerjasama, persefahaman dan sama-sama menggembeleng tenaga dalam merealisasikan segala perancangan yang telah dibuat.  “Kita mempunyai tanggungjawab yang besar bagi memastikan negara kita berada di atas landasan yang tepat dalam melaksanakan aspirasi nasional”.  Katanya di hadapan hadirin yang terdiri daripada warga KKR, Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)

1

KUALA LUMPUR, 21 Januari –Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan  Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menganjurkan Majlis Perjumpaan bersama YB Menteri Kerja Raya dan Penaung PUSPANITA di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini.

Ucapan aluan telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha KKR yang juga merupakan Penasihat PUSPANITA Cawangan KKR dan seterusnya diikuti dengan ucapan daripada  YB Datuk Fadillah Yusof.  Pada majlis ini juga, Datuk Fadillah dan isteri telah menyempurnakan Pelancaran Laman Web PUSPANITA Cawangan KKR.

Para hadirin seterusnya dihiburkan dengan pertunjukan fesyen muslimah serta persembahan oleh ahli PUSPANITA daripada KKR, Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

1

SUNGAI BUAYA, SELANGOR, 9 Januari -  YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia hari ini telah merasmikan Persimpangan Bertingkat Sungai Buaya, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).  Projek Pembinaan Persimpangan Bertingkat Sungai Buaya ini telah dimulakan pada Jun 2011 dan telah siap dalam tempoh 30 bulan dengan kos pembinaan sebanyak RM87 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak PLUS Berhad.

Persimpangan Bertingkat Sungai Buaya ini terletak di antara Persimpangan Bertingkat Bukit Beruntung dan Persimpangan Bertingkat Rawang iaitu di KM434.7, Lebuhraya Utara Selatan.  Pembinaan persimpangan bertingkat ini adalah cetusan idea oleh YAB Perdana Menteri semasa lawatan beliau ke Kampung Sungai Buaya pada 23 April 2010.

Dengan wujudnya persimpangan bertingkat ini, ia dijangka akan dapat memendekkan tempoh perjalanan antara  40 minit hingga 1 jam dengan jarak perjalanan 24 kilometer dari Bandar Sungai Buaya ke Persimpangan Bertingkat Bukit Beruntung dan  32 kilometer dari Bandar Sungai Buaya ke Persimpangan Bertingkat Rawang.

Majlis ini turut dihadiri oleh YB Datuk Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya serta timbalannya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Pendidikan II, YB P. Kamalanathan dan Pengerusi Majlis Tindakan Kerajaan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

1

KUALA LUMPUR, 23 Disember – Majlis Meraikan Pesara Kementerian Kerja Raya (KKR) tahun 2013 telah diadakan di Bilik Tanjung, Tingkat 6, Blok A, KKR hari ini.  Ia merupakan satu tanda penghargaan dan penghormatan di atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh pesara-pesara sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Ucapan aluan telah disampaikan oleh YBrs. En. Sarani Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) [TKSU(O)] KKR. Seramai 16 orang pesara diraikan dalam majlis ini yang terdiri daripada pelbagai jawatan dan telah berkhidmat di KKR melebihi 30 tahun.

Penyampaian cenderahati dan sijil penghargaan telah disampaikan oleh YBrs. En. Sarani Dolah, TKSU(O).  Turut hadir sama ialah YBrs. En. Zainudin Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) [TKSU(P)] KKR dan En. Ahmad Zaini Zabaai, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia.

1

KOTA KINABALU, 19 Disember -  Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan empat agensi kejuruteraan awam dalam usaha untuk menerapkan penyeragaman pengukuran kerja-kerja sivil mengikut standard yang sama bagi mengurangkan kekeliruan dan meningkatkan professionalisma dalam berinteraksi mengenai kaedah pengukuran.

Standard pengukuran yang dikenali sebagai MYCESMM ini memainkan peranan dengan menyediakan bahasa ukuran dan garis panduan seragam bagi semua pihak dalam projek pembinaan. Dengan menggunakan standard ini, semua skop kerja diterangkan dengan jelas dan seragam sekaligus menyelesaikan masalah komunikasi  yang sering berlaku dalam penyediaan harga tender.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin menggesa kesemua penggiat industri, terutamanya perunding kejuruteraan dan juga juruukur bahan, menggunakan standard ukuran MyCESMM ini untuk penyediaan Bill of Quantities atau BQ di dalam projek-projek kerajaan, mahupun swasta di masa akan datang kerana ia juga mempunyai peranan strategik dalam menggalakan sistem perolehan yang adil dan efektif.

“Dengan adanya MYCESMM, setiap kontraktor yang memasuki tender projek akan mendapat maklumat yang sama dan pemahaman yang sama mengenai kerja-kerja yang perlu dilakukan kerana kesemua skop kerja diterangkan dengan jelas dan seragam,,” katanya.

Sejak tahun 2009 sehingga September 2013, sebanyak 8,492 projek kejuruteraan sivil telah dilaksanakan dengan jumlah nilai sebanyak RM 141 bilion untuk keseluruhan projek di dalam negara. Manakala bagi negeri Sabah sendiri, 1,164 projek kejuruteraan sivil telah dilaksanakan dengan jumlah nilai sebanyak RM 20 bilion.

CIDB pada hari ini menandatangai MOU dengan Jabatan Kerja Raya Sabah ( JKR Sabah), Jabatan Pengairan & Saliran (JPS Ibu Pejabat ), Association of Consulting Engineers Malaysia ( ACEM ) dan  Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB). Satu seminar mengenai MyCESMM turut diadakan selepas majlis MOU yang disampaikan oleh 5 penceramah daripada semenanjung yang diterbangkan khas untuk pembentangan kertas kerja MyCESMM.

1

KUALA LUMPUR, 15 Disember – Menteri Kerja Raya, YB Datuk Fadillah Yusof telah menghadiri Majlis Makan Malam Penghargaan & Anugerah anjuran Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) di sini.

Dalam majlis itu, PKMM telah menyumbang RM180,000 kepada Tabung Bencana The New Straits Time Press (M) Berhad untuk mangsa banjir dan sumbangan  itu telah disampaikan oleh Datuk Fadillah kepada Penasihat Tanggungjawab Sosial Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib.

Dalam ucapan perasmian majlis tersebut, Datuk Fadillah mengingatkan kontaktor Melayu dan Bumiputera untuk terus memperkasa diri bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat global dan mendepani pelbagai cabaran semasa.  Turut hadir sama ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan  Presiden PKMM, Datuk Mokhtar Samad.

1

PULAU PINANG, 12 Disember- Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Fadillah Yusof telah mengadakan lawatan kerja ke Projek Penswastaan Jambatan Kedua Pulau Pinang (JPP2) dan projek-projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang hari ini.

JPP2 ini sepanjang 24 kilometer (km) iaitu 17 km di atas laut dan tujuh km di atas darat itu direka dengan mengutamakan kelestarian alam.  Jambatan ini mempunyai empat lorong dengan dua lorong kereta selebar 3.5 meter selorong, 2.4 meter lorong kecemasan dan lorong khas motosikal tiga meter.

Projek Kerajaan Persekutuan dengan kos RM4.5 bilion itu adalah jambatan terpanjang di Asia Tenggara dan dijangka dapat mengurangkan 25 peratus kesesakan trafik.  Jambatan ini dijangka dibuka kepada umum pada Februari ini.

1

LIMBANG, 8 Disember - Perasmian Jambatan Persahabatan yang menghubungkan bahagian Limbang, Sarawak dengan Daerah Temburong, Brunei Darussalam telah dirasmikan oleh YAB. Perdana Menteri Malaysia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Projek jambatan pre-cast concrete ini adalah sepanjang 189 meter dan mempunyai lebar 14 meter iaitu dua lorong-dua hala ini telah dibahagikan kepada tiga pakej iaitu pembinaan jambatan di mana kos pembinaannya sebanyak RM 21.95 juta dikongsi bersama oleh Malaysia dan Brunei Darussalam. Manakala kos pembinaan jalan tuju di sebelah Malaysia ditanggung oleh Malaysia dan pembinaan jalan tuju di sebelah Brunei Darussalam pula ditanggung oleh Brunei Darussalam. Projek ini telah mengambil masa selama 17 bulan, iaitu bermula pada 15 Mei 2012 dan telah siap sepenuhnya pada 31 Oktober 2013.

Kerajaan Malaysia dan Brunei Darussalam telah bersetuju untuk menamakan Jambatan Menyeberangi Sungai Pandaruan sebagai “JAMBATAN PERSAHABATAN”. Penamaan ini adalah sesuai bagi melambangkan kemesraan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan memenuhi objektif meningkatkan kesalinghubungan yang ingin dicapai oleh ASEAN.