Langkau ke kandungan utama
1

Pelebaran Lorong Ke-4 PLUS dan NKVE Demi Keselesaan Pengguna

SEREMBAN, 4 Februari – Syarikat konsesi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sedang menaik taraf lorong sediaada daripada tiga (3) lorong kepada empat (4) lorong di laluan dari Persimpangan Shah Alam – Rawang – Jalan Duta dan Persimpangan Nilai (U) – Persimpangan Seremban/Port Dickson. Ini melibatkan jarak sejauh 63.3 kilometer di Lebuhraya Utara Selatan (E1) dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE-E2).

Sehubungan itu, Menteri Kerja Raya, YB. Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor telah mengadakan lawatan kerja ke kawasan hentian Rehat dan Rawat Seremban (Arah Selatan) hari ini dan telah diberikan taklimat Projek oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Ismail bin Md. Salleh, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Projek yang terbahagi kepada 5 pakej ini telah dimulakan pada 6 Julai 2012 dan kerja-kerja utama yang sedang dijalankan di tapak adalah seperti kerja tanah, sistem saliran, penstabilan cerun, pemindahan utiliti dan pelebaran struktur jambatan . Pelebaran lorong ini akan menambahbaik kualiti perjalanan dan meningkatkan kapasiti trafik daripada 180,000 kenderaan sehari, iaitu “Level Of Service” (LOS) F sewaktu musim perayaan dan waktu puncak, kepada 220,000 kenderaan sehari iaitu LOS C.

Pada lawatan ini juga, YB. Menteri turut mengumumkan Program Diskaun dan Rebat Tol Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya sempena Perayaan Tahun Baru Cina bagi Tahun 2013. Sebanyak 24 lebuhraya terlibat dalam program ini yang merupakan kesinambungan kepada program CSR syarikat-syarikat konsesi sebelum ini iaitu Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan Sambutan Hari Kemerdekaan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita