Langkau ke kandungan utama

Program Pemulihan Blackspot Kurangkan Kemalangan

Image removed.PORT DICKSON, 10 Disember – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah melakukan pelbagai usaha dan program mengenalpasti dan menambah baik lokasi-lokasi kerap berlaku kemalangan atau dikenali sebagai blackspot yang disebabkan oleh faktor kejuruteraan. Ia melibatkan kerja-kerja pemulihan di jalan-jalan persekutuan seluruh Malaysia dan juga di lebuh raya.

Menurut YB. Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor, Menteri Kerja Raya, sewaktu lawatan kerja di sini, program pemulihan telah dimulakan pada tahun 2009 di mana KKR melaksana kerja pemulihan di 10 lokasi blackspot di jalan persekutuan Semenanjung Malaysia dengan kos RM4juta. Ia diteruskan pada tahun 2010 dengan 47 lokasi dengan kos RM23juta, tahun 2011 sebanyak 55 lokasi dengan kos RM27juta.

“Untuk tahun ini (2012) sebanyak 60 lokasi blackspot termasuk 10 di lebuh raya telah dikenalpasti untuk dipulihkan dengan kos sebanyak RM30.6juta. Sehingga kini, 59 lokasi telah siap dibaikpulih,” katanya kepada pemberita.

Menurut beliau lagi, kadar kemalangan di jalan persekutuan telah menurun dengan mendadak setelah kerja-kerja pemulihan (rehabilitative works) dilaksanakan. Sebagai contoh, bagi tahun 2011, sebanyak 472 kemalangan berlaku di 40 lokasi blackspot yang dikenalpasti dan kadar ini berkurangan kepada 5 kes kemalangan sahaja sehingga akhir November 2012 (penurunan sebanyak 99 peratus). Manakala di lebuh raya pula, tiada kemalangan berlaku selepas kerja pemulihan dibuat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Sumber
UKK