Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KUALA LUMPUR, 13 Februari – Persatuan Pengilang, Pembekal, Kontraktor, Industri Elektrikal, Elektronik, Mekanikal dan ICT Melayu dan Bumiputera Malaysia (PERKEM) telah menganjurkan Seminar Kekompetenan Tenaga Kerja Elektrik dalam Industri Pembinaan dan Anugerah Kontraktor Terbaik 2013 di Pusat Konvensyen CIDB hari ini.

Seminar yang mendapat sokongan Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui agensinya iaitu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ini diadakan bertujuan memberi pendedahan mengenai kekompetenan tenaga kerja elektrik kepada peserta yang terdiri daripada ahli PERKEM. 

Upacara perasmiannya telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin yang mewakili Menteri Kerja Raya manakala ucapan aluan telah disampaikan oleh YBrs. Encik Mohsen Hasbollah, Presiden PERKEM.

1

KUALA LUMPUR, 12 Februari - Majlis Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina 2014 peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini. Ketibaan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Haji Fadillah Haji Yusof telah diiringi kumpulan tarian singa ke dalam dewan.  Ucapan pembukaan majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ir. Tan Tiong Ben, Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan Jabatan Kerja Raya (JKR).  

Majlis diteruskan dengan  menggaul ‘Yee Sang’ oleh semua tetamu yang hadir dan ia merupakan makanan tradisional masyarakat Cina yang disediakan ketika sambutan Tahun Baharu Cina sebagai lambang kesejahteraan dan panjang umur. Para hadirin telah dihiburkan dengan persembahan kebudayaan kaum cina seperti tarian singa, tarian tradisional kaum cina dan permainan yoyo cina oleh pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Confucian, Kuala Lumpur.

Turut hadir bersama ialah YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya, YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha KKR dan pegawai-pegawai atasan Kementerian serta Agensi-agensi.

1

KUALA LUMPUR, 10 Februari – Menteri Kerja Raya, YB Datuk Haji Fadillah Haji Yusof telah mengadakan lawatan kerja ke tapak projek menaiktaraf Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.  Antara kawasan yang ditinjau ialah projek pembinaan Parkir Kereta Bertingkat, menaiktaraf wad dan lanskap hospital tersebut.

Beliau telah diberi taklimat mengenai perlaksanaan projek tersebut di perkarangan HKL.  Pada masa yang sama juga, beliau turut menekankan supaya pihak kontraktor mengutamakan keselamatan pesakit yang berada di hospital tersebut dan menyiapkan projek naiktaraf tersebut dalam jangka masa yang telah ditetapkan.

1

DUNGUN, 25 Januari –   Menteri Kerja Raya, YB Datuk Fadillah Yusof  telah hadir bagi merasmikan pembukaan sebahagian jajaran Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) hari ini.

Kerajaan telah memutuskan untuk membuka sebahagian jajaran itu kepada laluan awam dari Pakej 10 hingga ke sebahagian Pakej 7 (7C) iaitu dari Persimpangan Bukit Besi ke Persimpangan Paka sepanjang 34 kilometer (km) bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina yang akan diraikan pada 31 Januari ini.  

“Pada masa yang sama, kerajaan komited untuk mempercepatkan pembukaan beberapa jajaran LPT2 yang masih dalam peringkat pembinaan dan dijangka dapat disiapkan secara berperingkat-peringkat sebelum September 2014,” katanya lagi.  Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Himmat Singh dan Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Seri Ir. Mohd. Noor Yaacob.

1

KUANTAN, 27 Januari – Satu inisiatif telah diambil oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) ekoran banjir yang melanda kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia baru-baru ini dengan mengadakan gotong-royong membaikpulih Dewan Orang Ramai Taman Sepakat, Jalan Gambang, di sini yang juga dijadikan Perpustakaan untuk masyarakat setempat. 

Program yang dinamakan Program Khidmat Masyarakat Kerja-kerja Mengecat dan Latihan Praktikal ini diurusetiakan oleh Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) KKR bersama-sama Pasukan Build Brigade, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta dengan kerjasama Syarikat Nippon Paint. 

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Datuk Haji Fadillah Haji Yusof. Turut hadir sama dalam program ini ialah YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KSUKKR), YBhg. Dato' Sri Prof Ir. Dr. Judin Bin Abd Karim, Ketua Eksekutif CIDB, YBhg. Dato' Seri Ir. Hj. Mohd Noor Bin Yaacob, Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR) dan YB. Dato’ Mohd Zaili Haji Besar, Ahli Dewam Undangan Negeri (ADUN) Panching.

1

KEMAMAN, 26 Januari – YB Datuk Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya telah menghadiri Program Khidmat Masyarakat Kerja-kerja Mengecat dan Latihan Praktikal di Balairaya Kampung Pasir Gajah, di sini.  Bangunan tersebut turut menjadi Perpustakaan bagi penduduk sekitar kawasan ini.

Program ini merupakan anjuran bersama oleh Pusat Khidmat Kontraktor Malaysia (PKKM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM).  Datuk Fadillah telah menandatangani plat perasmian Balairaya Kampung Pasir Gajah sebagai tanda merasmikan balairaya tersebut. 

Turut hadir sama dalam program ini ialah YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KSUKKR), YBhg. Dato' Sri Prof Ir. Dr. Judin Bin Abd Karim, Ketua Eksekutif CIDB dan YBhg. Dato' Seri Ir. Hj. Mohd Noor Bin Yaacob, Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR).

1

KEMAMAN, 26 Januari – Menteri Kerja Raya, YB Datuk Fadillah Yusof telah mengadakan lawatan kerja ke Projek Menggantikan  Jambatan Bukit Kuang, di Jalan Persekutuan 3, Terengganu hari ini.  Ini merupakan salah satu projek di bawah Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang telah diluluskan Kerajaan dalam RMKe-9. Projek sepanjang 3.07 km ini telah diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya untuk dilaksanakan dengan anggaran kos berjumlah RM225.7 juta.

Datuk Fadillah berkata dengan pembukaan Jambatan Bukit Kuang ini, ia akan memberi manfaat besar kepada penduduk kerana dapat menjimatkan masa perjalanan daripada 45 minit kepada lima minit sahaja.  Pembukaan Jambatan Bukit Kuang ini juga dijangka dapat memberi keselesaan kepada orang awam di kawasan Kemaman khususnya kepada pengguna jalanraya bagi laluan Chukai-Kuala Terengganu.

Turut hadir sama dalam lawatan kerja tersebut ialah YBhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KSUKKR) dan YBhg. Dato' Seri Ir. Hj. Mohd Noor Bin Yaacob, Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR).

1

CHUKAI, 25 Januari - Kementerian Kerja Raya (KKR) memerlukan peruntukan sebanyak RM56.9 juta iaitu RM41.5 juta di Pahang, RM10.3 juta di Terengganu dan RM5.1 juta di Johor bagi baik pulih jalan rosak di negeri-negeri tersebut akibat banjir.

“Kerja-kerja pembaikan ini dijangka dilaksanakan dengan kadar segera bergantung kepada keadaan cuaca setempat bagi memastikan kualiti pembaikan yang sempurna”, kata Menteri Kerja Raya, YB Datuk Fadillah Yusof sempena lawatan kerja beliau ke Jalan-jalan rosak akibat banjir di Daerah Dungun dan Kuantan.  Sehubungan dengan itu, KKR telah melaksanakan tindakan pro aktif dengan menubuhkan Pusat Pengurusan Bencana JKR dan meninjau keadaan jalan-jalan persekutuan yang rosak akibat banjir pada tahun ini.

Kementerian juga akan menaiktaraf sistem pembentungan di Jalan Persekutuan di seluruh Malaysia.  Datuk Fadillah berharap supaya orang ramai bersama-sama memelihara aset ini dengan tidak membuang sampah ke dalam longkang yang akhirnya boleh menyekat pengaliran air.  Pengawasan cerun juga akan dilakukan secara konsisten oleh Unit Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengelakan berlakunya tanah runtuh.

1

BUKIT GAMBIR, JOHOR25 Januari :  YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia hari ini telah merasmikan Persimpangan Bertingkat Bukit Gambir, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Projek ini telah dimulakan pada Ogos 2010 dan telah siap dalam tempoh 38 bulan dengan kos pembinaan sebanyak RM108 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak PLUS Berhad dan kos pengambilan tanah sebanyak RM7 juta pula dibiayai oleh Kerajaan.

Sebelum pembukaan Persimpangan Bertingkat Bukit Gambir, pengguna yang ingin menuju ke destinasi Bukit Gambir dari Lebuhraya PLUS akan menggunakan Persimpangan Bertingkat Tangkak atau Persimpangan Bertingkat Pagoh dan masa perjalanan adalah dianggarkan 30 minit bagi jarak perjalanan 25 kilometer.  Dengan pembukaan persimpangan bertingkat ini, pengguna hanya perlu melalui jarak sejauh 5 kilometer dan masa perjalanan adalah dianggarkan kurang 10 minit.

Pembukaan Persimpangan Bertingkat Bukit Gambir ini dilihat akan dapat membantu menyuraikan trafik dan mengurangkan kesesakan di Plaza Tol Tangkak dan Plaza Tol Pagoh sediada yang sering berlaku kesesakan terutamanya pada waktu cuti perayaan dan cuti umum.

Dalam pada itu, Persimpangan Bertingkat Bukit Gambir juga dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosio-ekonomi di kawasan Bukit Gambir yang mempunyai jumlah penduduk sekitar 25,000 orang. Hadir sama ialah Menteri Kerja Raya, YB Datuk Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Pengerusi Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim.

1

KUALA LUMPUR, 24 Januari – Sambutan Maulidur Rasul peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) 1435H/2014M telah diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini.  Majlis dimulakan dengan perarakan serta selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang disertai oleh warga KKR, Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dari perkarangan Blok A Kompleks Kerja Raya ke Dewan melalui Jalan Sultan Salahuddin.

Turut menyertai perarakan ini ialah YBrs. Encik Sarani Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) dan YBrs. Encik Zainudin Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan).  Majlis ini dimulakan dengan bacaan kitab suci Al-Quran Nur Karim dan seterusnya diikuti dengan persembahan oleh kumpulan nasyid UNIC serta ceramah daripada penceramah jemputan iaitu Ustaz Dzulkarnain Hamzah.  Majlis ini diakhiri dengan selawat keatas Nabi Muhammad SAW yang dipimpin oleh kumpulan UNIC.