Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

Hari Inovasi Jabatan Kerja Raya 2018

KOTA BHARU, 2 OKTOBER 2018: Majlis Perasmian merangkap Penutup Hari Inovasi Jabatan Kerja Raya (JKR) 2018 telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir di Hotel Grand Renai, Kota Bharu.

Hari Inovasi JKR ini telah berlangsung dari 1 hingga 2 Oktober 2018 merupakan usaha dan komitmen berterusan Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya untuk memupuk dan menyemarakkan lagi budaya inovasi dalam kalangan warga KKR serta merupakan platform untuk memberikan pengiktirafan dan perghormatan kepada mereka yang bertanggungjawab dalam penghasilan idea yang kreatif dan inovatif untuk menyediakan perkhidmatan bermutu tinggi kepada rakyat.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Pengarah JKR Negeri Kelantan merangkap tuan rumah bagi Hari Inovasi 2018 sebelum diteruskan oleh ucapan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya dan Ucapan Perasmian oleh Timbalan Menteri Kerja Raya.

Majlis kemudiannya diteruskan lagi dengan gimik dan montaj perasmian Hari Inovasi JKR sebelum diteruskan dengan montaj pengenalan Anugerah JKR Malaysia dan Konvensyen Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (KIK).

Timbalan Menteri Kerja Raya kemudiannya telah menyampaikan anugerah JKR Malaysia dan Konvensyen KIK kepada pemenang yang terlibat sebelum sesi penyerahan watikah Penganjuran Hari Inovasi 2019 kepada wakil JKR Negeri Selangor oleh Ketua Pengarah Kerja Raya.

Majlis diakhiri dengan sesi lawatan YB Timbalan Menteri ke Pameran Inovasi JKR dan Pameran Industri dan sidang media bersama pengamal media tempatan.

Turut Hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob, Ketua Pengarah Kerja Raya YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, dan Pengarah Kerja Raya JKR Kelantan Dato’ Ir. Haji Razani bin Ab Lazid.

1

Miri, 01 Oktober 2018 : Rombongan Jelajah FTRoadpedia yang diketuai oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian hari ini melawat tapak projek persimpangan Nyabau pada siri terakhir lawatan Jelajah FTRoadpedia Sarawak. Para peserta siri jelajah telah dibawa melawat sekitar kawasan tersebut yang telah memulakan pelaksanaannya pada awal bulan ini.

Persimpangan Nyabau ini akan membantu penyuraian aliran trafik kenderaan berulang-alik sepanjang perjalanan dari Sibu ke Miri dan Miri ke Sibu. Kerja-kerja pembinaan persimpangan bertingkat ini telah dimulakan pada Mac tahun lepas dan dijangka siap menjelang penghujung tahun 2020. Selain daripada persimpangan Nyabau, di Simpang Bakun - Sungai Tangap adalah termasuk dalam pakej (WPC10-77km) akan merangkumi tiga persimpangan lain iaitu di Bakun, Suai, Niah.

Ketika meninjau perkembangan kemajuan kerja persimpangan tersebut, peserta jelajah FTRoadpedia Sarawak termasuk pegawai Pengurusan Tertinggi dari Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan (MIDT) dan Jabatan Kerja Raya Negeri (JKR) Sarawak turut melawat ke tapak pembinaan Nyabau.

Sebelum tiba di kawasan pembinaan ini, peserta telah dibawa menyusuri jalan disepanjang Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bermula dari Telok Melano sejak siri jelajah pada hari kedua lagi. Jelajah ini turut disertai oleh Pengurusan Kanan Rakan Penyampai Projek untuk Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU), yang diketuai oleh Pengarah Urusannya, Mohd Zaidee Abang Hipnee dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Safuani Abdul Hamid.

Sebelum itu, YB Tuan Baru Bian telah menghadiri upacara pecah tanah di SK Sungai Buloh, di mana kontraktor utama bagi Jambatan Sungai Kua – Jambatan Sungai Arip (pakej kerja 08), Musyati-Mudajaya JV Sdn Bhd telah mengambil alih untuk membina semula sekolah daif yang telah usang sebagai sebahagian daripada tanggungjawab program sosial korporat.

Selain daripada syarikat itu, kontraktor utama lain untuk pakej kerja termasuk LBU juga bakal melaksanakan penambahan pembaikan semula 10 sekolah daif sepanjang kawasan pembinaan.

Pihak kerajaan mengalu-alukan usaha dari pihak swasta ini kerana ia dapat memberikan contoh usaha kerjasama oleh semua pihak dalam memainkan peranan mereka untuk memajukan negara.

Akhir sekali peserta jelajah telah berhenti di perhentian terakhir Jelajah FTRoadpedia Sarawak iaitu di Jalan Pautan Sungai Tangap-Pujut (Pakej Kerja 11) yang menandakan berakhirnya siri jelajah selama tiga hari bagi meninjau perkembangan kemajuan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

1

Kuching, 30 September 2018: Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian telah merasmikan acara pelepasan ahli Jelajah FTRoadpedia Pan Borneo Sarawak hari yang kedua, hari ini. Jelajah selama tiga hari yang bermula semalam telah disertai oleh Menteri Kerja Raya, Pegawai-pegawai Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensi dibawahnya, iaitu JKR, CIDB, LLM serta pegawai-pegawai dari Kementerian Pembangunan Infrastrukur dan Pengangkutan (MIDT) Sarawak, Jabatan Kerja Raya Negeri (JKR) Sarawak dan pihak pengurusan Projek Rakan Penyampai untuk Lebuhraya Pan Borneo Sarawak iaitu syarikat Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU). Pasukan ini akan melawat lima daripada 11 pakej projek lebuh raya untuk meninjau kemajuan kerja yang telah bermula dari tahun 2015.

Selepas acara pelepasan, pasukan Jelajah seramai 100 orang termasuk pihak media, memulakan hari kedua dengan lawatan ke Bulatan Serian - Simpang Pantu (Pakej Kerja 03) di mana mereka diberi taklimat mengenai kemajuan projek sepanjang 75km ini. Seterusnya, ahli Jelajah dibawa ke 89km Simpang Pantu - Batang Skrang (Pakej Kerja 04) di mana mereka melawat tapak kerja yang menyediakan pusat latihan dan kuarters penginapan pekerja berpusat.

Jelajah diteruskan ke Batang Skrang - Sungai Awik (Pakej Kerja 05) sejauh 68km. Dalam perjalanan ahli jelajah telah diberikan taklimat ringkas berhubung perkembangan kemajuan projek di Jambatan Sungai Awik – persimpangan Bintagor (Pakej Kerja 06 – 64km). Menghampiri Sibu, pasukan jelajah melawat Jambatan Batang Rajang sepanjang Persimpangan Bintangor - Persimpangan Julau dan Lapangan Terbang Sibu - Jambatan Sungai Kua (Pakej Kerja 07 - 76km).

Jambatan bekembar ini merentasi Sungai Rajang dan lebih dikenali sebagai Jambatan Durin merupakan jambatan terpanjang yang akan dibina dibawah projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dengan jarak 1.708km. Apabila siap dibina, Jambatan Durin akan mempunyai ketinggian setinggi 22 meter dari aras tanah. Binaannya menyerupai jambatan sediada dengan tiga lorong, setiap satu daripadanya berkelebaran 150 meter dengan ketinggian 20 meter.

Sepanjang Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, dari Telok Melano ke Miri, mempunyai 115 buah jambatan. Peserta jelajah turut diberi taklimat berkenaan projek lebuhraya mega ini yang mengunakan pakai teknologi iaitu Sistem Pengurusan Projek Bersepadu (IPMS). Daripada sistem ini LBU menggunakan data alam sekitar, Permodelan Infomasi Lebuhraya 3D dan sistem pengurusan projek untuk memantau kemajuan kerja, menghubungkan kesemua pasukan dipelbagai tapak dan untuk tujuan pelaporan.

1

Majlis Perasmian Pertandingan Worldskills Malaysia Belia (WSMB) 2018

SINTOK, 29 SEPTEMBER 2018: Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Anuar Bin Mohd Tahir telah menyempurnakan Majlis Perasmian Pertandingan Worldskills Malaysia Belia (WSMB) 2018 Peringkat Akhir di Auditorium, Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara, Sintok Kedah.

Pertandingan World Skills Malaysia Kategori Belia (WSMB) Anjuran Kementerian Kerja Raya dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Construction Industry Development Board Malaysia ,CIDB Malaysia) dan Akademi Binaan Malaysia merupakan satu pertandingan kemahiran yang diadakan setiap tahun bertujuan untuk memilih dan mengiktiraf pelatih dan pekerja mahir yang mempunyai kemahiran terbaik dalam bidang yang dipelajari.

Pertandingan ini telah diadakan pada 26 September hingga 1 Oktober 2018 meliputi sembilan bidang kemahiran pembinaan yang dipertandingkan iaitu Electrical Installation, Bricklaying, Plumbing & Heating, Welding, Mechanical Eng. Design CAD, Painting & Decorating, Refrigeration & Air Conditioning, Wall & Floor Tiling, dan Joinery.

Daripada 734 Peserta yang menyertai WorldSkills Malaysia Kategori Belia (WSMB), hanya 75 orang peserta telah melayakkan diri ke peringkat akhir. Pertandingan peringkat pra-kelayakan telah diadakan di pelbagai lokasi di zon Semenanjung dan Borneo.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Eksekutif, CIDB Malaysia, Dato' Ir. Ahmad 'Asri Bin Abdul Hamid sebelum ucapan perasmian oleh YB Timbalan Menteri Kerja Raya YB. Tuan Haji Mohd Anuar Bin Mohd Tahir. Majlis diteruskan dengan gimik persembahan dan lawatan tapak- tapak pertandingan.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya Datuk Haji Sarani Bin Dollah, Ketua Eksekutif, CIDB Malaysia Dato' Ir. Ahmad 'Asri Bin Abdul Hamid, dan Pengurus Besar, Sektor Pembangunan Personel CIDB Malaysia Ir. Raslim Bin Salleh.

1

KUCHING, 29 September 2018 : Jelajah FTRoadPedia selama tiga hari bermula pada hari ini dengan delegasi rasmi daripada Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Infrastrukur dan Pengangkutan (MIDT) Sarawak, Jabatan Kerja Raya Negeri Sarawak (JKRS) melawat dua daripada 11 pakej kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang sedang rancak pembinaannya.

Turut terlibat dalam lawatan tapak ini ialah pihak pengurusan Projek Rakan Penyampai untuk Lebuhraya Pan Borneo Sarawak iaitu syarikat Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU). Diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Sri Zohari Akob, rombongan jelajah seramai 100 orang termasuk Pengurusan Tertinggi Kementerian serta pihak media telah melawat jajaran Telok Melano – Sematan (Pakej Kerja 01).

Tujuan program ini adalah untuk melihat sendiri kemajuan kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang bermula dari Telok Melano hingga ke Miri. Pembinaan sepanjang 33 kilometer (km) ini kini sedang di peringkat penurapan dan kerja-kerja tanah di jajaran ini hampir selesai. Pakej kerja ini merangkumi pembinaan enam jambatan iaitu Jambatan Sungai Siru, Kerambai, Pueh, Sungai Belinsah, Sungai Beduan dan Sungai Samunsam yang sedang dibina. Pemasangan penghadang jalan sedang rancak dijalankan, manakala pemasangan papan tanda jalan telahpun bermula.

Kerja-kerja pemasangan tiang lampu jalan dan pemasangan kabel turut telah dimulakan dari Jalan Sematan – Lundu menuju ke bulatan pertama menuju ke Telok Melano. Dengan siapnya jajaran Telok Melano - Sematan ini, ia bakal menggalakkan sektor pelancongan di kawasan tersebut yang merupakan perkampungan nelayan yang menawarkan pemandangan panorama indah dan kelazatan makanan laut.

Dari jajaran Telok Melano - Sematan, pasukan menuju ke jajaran Sematan – Sungai Moyan (Pakej Kerja 02). Sepanjang perjalanan ini, pasukan jelajah berpeluang untuk melihat tapak pembinaan dua persimpangan iaitu Lundu dan Bau. Pakej kerja ini turut meliputi empat projek persimpangan iaitu Batu 4 1/2, Batu 6, Batu 7 dan Batu 10.

Pakej Kerja 02 adalah pakej kerja yang mempunyai jajaran terpanjang antara 11 pakej kerja Lebuhraya Pan Borneo, iaitu sepanjang 95kilometer. Ia turut mengandungi 50 pusingan-P dengan 24 pusingan di seksyen Lundu, dan 26 pusingan di seksyen Bau, 93 hentian bas dan 22 jambatan. Kontraktor utama yang terlibat bagi WPC01 dan WPC02 ialah Samling Resources Sdn Bhd.

1

29 Pemain Industri Pembinaan Cemerlang Dirai Pada MCIEA 2018 KUALA LUMPUR,

28 SEPTEMBER 2018 – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) meraikan pencapaian 29 pemain industri di Malam Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan, Malaysian Construction Industry Excellence Awards (MCIEA) 2018. Tahun ini merupakan tahun pertama bagi Syarikat WCT Berhad menggondol dua anugerah utama iaitu “Builder of the Year Award” dan “International Achievement Award”, untuk projek Ministry of Interior Headquarters di Wadi Al Sail, Qatar.

MCIEA 2018 turut mengiktiraf dua wanita buat kali pertama bagi Anugerah Pembinaan Utama Wanita iaitu Lembaga Pengarah YTL Corporation Berhad, Datuk Yeoh Soo Keng dan Pengarah Majidah Design Sdn Bhd, Majidah Majid.

Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif Tahunan pula menyaksikan Pengarah Urusan Pembinaan Mitrajaya Sdn Bhd, Foo Chek Lee dipilih sebagai pemenang atas pencapaian cemerlangnya menguruskan syarikat manakala Pengarah Urusan KPK Quantity Surveyors (Semenanjung) Sdn Bhd, Datuk Srikandan Kanagainthiram dipilih sebagai Pemain Terkemuka atas sumbangannya dalam industri pembinaan tempatan.

CIDB turut memperkenalkan dua kategori baharu bagi Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2018 iaitu Anugerah Sistem Penilaian Kualiti untuk Pembinaan Bangunan(QLASSIC) dan Anugerah Bangunan Hijau bagi menggantikan kategori Anugerah Binaan Hijau, serta dikhaskan untuk projek bangunan sahaja.

Anugerah telah disampaikan oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya pada majlis yang turut dihadiri YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya dan Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, Pengerusi CIDB Malaysia.

Kesemua kategori MCIEA 2018 adalah selaras dengan Program Transformasi Industri Pembinaan 2016-2020 yang bermatlamat menyediakan industri pembinaan negara ke arah lebih maju, selamat, mapan dan berdaya saing menjelang 2020.

Antara kategori yang turut dipertandingkan pada MCIEA kali ini ialah Kontraktor Terbaik, Projek Terbaik, Pencapaian Antarabangsa, Keselamatan dan Kesihatan, anugerah IBS, Inovasi, Jurubina Terbaik dan anugerah Individu.

MCIEA yang diperkenalkan pada 2000 merupakan anugerah berprestij tahunan industri pembinaan bagi mengiktiraf individu dan organisasi yang menunjukkan kecemerlangan dalam sektor pembinaan. Kesemua penyertaan MCIEA 2018 akan dinilai oleh juri profesional yang dilantik menganggotai jawatankuasa penilai. Sebanyak 195 pencalonan diterima bagi 22 anugerah di bawah 10 kategori ini membabitkan 22 pemenang dan tujuh pemenang khas.

1

KUALA LUMPUR, 27 SEPTEMBER 2018: Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya bagi bulan September 2018 telah diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya.  Perhimpunan ini merupakan perhimpunan pertama  warga Kerja Raya bersama-sama iaitu YB Tuan Baru Bian sejak beliau menjawat jawatan Menteri Kerja Raya. 

Dalam ucapannya, YB Menteri menyeru agar warga KKR bersama- sama bekerja keras untuk membangunkan infrustruktur Negara mengikut piawaian yang ditetapkan berteraskan kepada kesepakatan dan semangat kerja berkumpulan dalam kalangan warga kementerian.

Antara intipati lain yang ditekankan termasuklah mengenai Input KPI, Dasar Tender Terbuka, Pemantapan Industri Pembinaan, Pengauditan Pengurusan Kewangan.

YB Menteri juga turut berkongsi berita gembira apabila memaklumkan kejayaan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR Malaysia) memenangi pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa iaitu di 2018 International Invention Innovation Competition In Canada (iCAN 2018) melalui produk Leakage Current Detection Device.  JKR telah memenangi anugerah Gold Medal di peringkat Preliminary Round bagi kategori Electricity & Electronics. 

Disamping itu, JKR Malaysia juga telah melakar kejayaan di pameran 29th International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2018 melalui empat  produk inovasi JKR Malaysia yang telah merangkul pingat emas dan perak dalam kategori yang dipertandingkan.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya YBhg. Dato’ Sri Zohari bin Akob, Ketua Pengarah Kerja Raya YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md. Taha, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) YBhg. Dato’ Ir. Ahmad Asri Bin Abdul Hamid, dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) YBhg. Dato Sr. Aziz Bin Abdullah.

1

IPOH, 13 SEPTEMBER 2018: Menteri Besar Perak YAB Tuan Ahmad Faizal Bin Azumu telah menerima kunjungan hormat daripada Menteri Kerja Raya YB Tuan Baru Bian di Pejabat YAB Menteri Besar Perak, Ipoh.
 
Kunjungan hormat yang dilakukan ini merupakan salah satu agenda lawatan kerja rasmi YB Menteri Kerja Raya yang pertama di Negeri Perak. Kunjungan ini berkisar kepada isu- isu berkaitan dengan pembangunan infrastruktur dan perancangan untuk mengasi sebarang masalah yang timbul.

Sesi Lawatan Menteri Kerja Raya di Negeri Perak diteruskan dengan lawatan ke Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Negeri Perak dan ketibaan beliau telah disambut oleh pegawai dan kakitangan JKR Negeri Perak. YB Menteri Kerja Raya telah dibawa mengelilingi Ibu Pejabat JKR Perak dengan menaiki Land Rover sebelum dibawa mengikuti  taklimat berkenaan JKR dan projek yang dikendalikan oleh JKR negeri Perak telah disampaikan oleh Pengarah Kerja Raya Negeri Perak, YBrs. Ir. Hj. Ahameed Tarmizi Bin Ramli. 

Lawatan Menteri Kerja Raya diteruskan dengan lawatan kerja meninjau kemajuan kerja projek pembinaan kompleks wanita dan kanak-kanak serta pusat kardiologi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Perak. Pembinaan kompleks hospital ini merupakan antara projek yang telah diluluskan dibawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) dan merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk meningkatkan taraf kesihatan rakyat terutamanya Rakyat Perak.

Skop pembinaan hospital ini meliputi Pembinaan satu blok bangunan hospital 10 tingkat menempatkan 404 buah katil, enam bilik bedah, 18 bilik bersalin, Peralatan x-ray dan mesin angio Kemudahan lif, parkir kereta dan motosikal. Projek ini dijangka siap pada akhir Disember 2018 dan akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia yang merupakan pilak pelanggan.  Pembinaannya dapat menambahbaik kualiti perkhidmatan kesihatan dalam jangka masa panjang sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan kepada hospital- hospital berhampiran.

1

MELAKA, 13 SEPTEMBER 2018: Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir telah melakukan sesi lawatan kerja rasmi ke Melaka pada 13 September 2018.  Lawatan Timbalan Menteri dimulakan dengan sesi kunjungan hormat YB Timbalan Menteri kepada Ketua Menteri Melaka YAB Tuan Adly Bin Zahari di Pejabat Ketua Menteri di Ayer Keroh, Melaka. 

Turut sama dalam sesi kunjungan hormat ini ialah Ketua Pengarah Kerja Raya YBhg. Dato' Sri Ir. Dr. Roslan bin Md. Taha, Pengarah JKR Negeri Melaka YBrs. Tuan Ir. Hj Zulkifly Bin A. Ghani, dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Mohd. Sofi Abdul Wahab.

Aturcara lawatan YB Timbalan Menteri diteruskan dengan lawatan kerja di Jabatan Kerja Raya Negeri Melaka (JKR Melaka) untuk sesi amanat dan taklimat projek bersama pegawai dan kakitangan JKR Melaka.

YB Timbalan Menteri kemudiannya dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Rumput untuk Upacara Penyerahan Projek Pembinaan Semula Dan Menaik Taraf Sekolah Daif Menggunakan Kaedah Sistem Binaan Berindustri (Industrialised Building System, IBS) Di Semenanjung Malaysia (Fasa 1) Tahun 2018 Bagi Negeri Melaka.

SMK Paya Rumput merupakan antara 10 sekolah yang terlibat di Negeri Melaka bagi Projek ini. Program ini merupakan antara inisiatif kerajaan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pelajar dan guru berada dalam keadaan memuaskan melalui penaiktarafan dan pembinaan semula.  

Sekolah lain yang terlibat dalam projek ini ialah SK Kampung Tun Razak, SK Tun Syed Ahmad Shahabudin, SK Paya Dalam, SMK Pernu, SK Merlimau 1, SMK Tun Hj Abdul Malek, SK Durian Tunggal, SMK Bukit Rambai, dan SMK Paya Rumput dengan jumlah keseluruhan sebanyak 109 bilik darjah.

Projek ini dibahagikan kepada dua pakej yang dilaksanakan oleh kontraktor berasingan iaitu Kontraktor Pembinaan & Letrik Mals Sdn Bhd bagi pakej 1 dan Kontraktor Castwell Industries (M) Sdn Bhd bagi pakej 2.Tarikh Milik Tapak kesemua projek ini adalah pada 7 Mac 2018 yang lalu.Lawatan YB Timbalan Menteri diteruskan dengan lawatan ke SMK Pernu yang merupakan antara sekolah daif yang terlibat dalam projek menaiktaraf ini. 

Sesi Lawatan YB Timbalan Menteri Kerja diakhiri dengan lawatan tapak Projek Naiktaraf Jalan Ayer Keroh ke Bandar Melaka Fasa I, iaitu pembinaan persimpangan Peringgit dan persimpangan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (Melaka International Trade Centre, MITC). Lawatan tapak kali ini memberi fokus kepada Pelan Pengurusan Trafik (TMP) yang dilaksanakan bagi projek ini. YB Timbalan Menteri telah diberi penerangan dalam sesi taklimat ringkas sebelum dibawa meninjau sekitar tapak projek pembinaan jalan ini.

1

SIBU, 8 SEPTEMBER 2018: Satu lawatan kerja telah dilakukan oleh Menteri Kerja Raya YB Tuan Baru Bian ke Sekolah Kebangsaan Ulu Sungai Salim di Sibu, Sarawak. Lawatan ini merupakan antara siri lawatan YB Menteri Kerja Raya ke Sarawak.

SK Ulu Sungai Salim ini merupakan antara sekolah yang terpilih untuk dinaiktaraf dibawah Projek Pembinaan Semula dan Menaik Taraf Sekolah Daif menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (Industrialised Building System, IBS) di Negeri Sarawak. Penggunaan Kaedah IBS telah dipilih berbanding kaedah konvensional kerana dapat mengurangkan tempoh pembinaan disamping mudah dikendalikan dan cepat dipasang. Proses penaiktarafan dan pembinaan semula SK Ulu Sungai Salim ini telah siap pada 27 Jun 2018 dan penyerahan projek kepada Jabatan Pendidikan Negeri telah dibuat pada 31 Julai 2018.

Melalui Bajet 2018, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM2.5 Bilion untuk menaiktaraf dan membina semula lebih 2000 sekolah yang telah dikenalpasti dalam tempoh dua tahun iaitu 2018 hingga 2019. 

Kementerian kerja Raya dan Kementerian Pendidikan telah diberi peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Projek Sekolah Daif di Sarawak. Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah dipertanggungjawabkan untuk Membina dan Menaiktaraf Sekolah Daif sebanyak 50 buah sekolah dengan kos berjumlah RM138, 458, 260.00 serta telah dilaksanakan melalui rundingan terus. 

Daripada 50 buah sekolah yang dibina oleh JKR Sarawak, sebanyak 48 buah sekolah telah siap dibina manakala dua buah sekolah dijangka akan siap dibina pada pertengahan September 2018. 

Turut hadir Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan, JKR Malaysia Dato' Ir. Hj. Ahmad Redza Bin Ghulam Rasool.