Langkau ke kandungan utama
1

29 Pemain Industri Pembinaan Cemerlang Dirai Pada MCIEA 2018

29 Pemain Industri Pembinaan Cemerlang Dirai Pada MCIEA 2018 KUALA LUMPUR,

28 SEPTEMBER 2018 – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) meraikan pencapaian 29 pemain industri di Malam Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan, Malaysian Construction Industry Excellence Awards (MCIEA) 2018. Tahun ini merupakan tahun pertama bagi Syarikat WCT Berhad menggondol dua anugerah utama iaitu “Builder of the Year Award” dan “International Achievement Award”, untuk projek Ministry of Interior Headquarters di Wadi Al Sail, Qatar.

MCIEA 2018 turut mengiktiraf dua wanita buat kali pertama bagi Anugerah Pembinaan Utama Wanita iaitu Lembaga Pengarah YTL Corporation Berhad, Datuk Yeoh Soo Keng dan Pengarah Majidah Design Sdn Bhd, Majidah Majid.

Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif Tahunan pula menyaksikan Pengarah Urusan Pembinaan Mitrajaya Sdn Bhd, Foo Chek Lee dipilih sebagai pemenang atas pencapaian cemerlangnya menguruskan syarikat manakala Pengarah Urusan KPK Quantity Surveyors (Semenanjung) Sdn Bhd, Datuk Srikandan Kanagainthiram dipilih sebagai Pemain Terkemuka atas sumbangannya dalam industri pembinaan tempatan.

CIDB turut memperkenalkan dua kategori baharu bagi Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2018 iaitu Anugerah Sistem Penilaian Kualiti untuk Pembinaan Bangunan(QLASSIC) dan Anugerah Bangunan Hijau bagi menggantikan kategori Anugerah Binaan Hijau, serta dikhaskan untuk projek bangunan sahaja.

Anugerah telah disampaikan oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya pada majlis yang turut dihadiri YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya dan Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, Pengerusi CIDB Malaysia.

Kesemua kategori MCIEA 2018 adalah selaras dengan Program Transformasi Industri Pembinaan 2016-2020 yang bermatlamat menyediakan industri pembinaan negara ke arah lebih maju, selamat, mapan dan berdaya saing menjelang 2020.

Antara kategori yang turut dipertandingkan pada MCIEA kali ini ialah Kontraktor Terbaik, Projek Terbaik, Pencapaian Antarabangsa, Keselamatan dan Kesihatan, anugerah IBS, Inovasi, Jurubina Terbaik dan anugerah Individu.

MCIEA yang diperkenalkan pada 2000 merupakan anugerah berprestij tahunan industri pembinaan bagi mengiktiraf individu dan organisasi yang menunjukkan kecemerlangan dalam sektor pembinaan. Kesemua penyertaan MCIEA 2018 akan dinilai oleh juri profesional yang dilantik menganggotai jawatankuasa penilai. Sebanyak 195 pencalonan diterima bagi 22 anugerah di bawah 10 kategori ini membabitkan 22 pemenang dan tujuh pemenang khas.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita