MESYUARAT JAWATANKUASA PEMANDU PROJEK KHAS (TASK FORCE) PTJSD BIL. 6/2026 & LAWATAN TAPAK KSU KKR | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

MESYUARAT JAWATANKUASA PEMANDU PROJEK KHAS (TASK FORCE) PTJSD BIL. 6/2026 & LAWATAN TAPAK KSU KKR

PULAU PINANG – Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Khas (Task Force) Bilangan 6 Tahun 2026 bagi Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang di Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) dan Kawasan Sekitar (PTJSD) telah diadakan dan dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, bagi menyelaras pelaksanaan projek serta membincangkan perkembangan semasa dan isu-isu berbangkit.

Turut hadir, YBhg. Dato' Ir. Ibrahim bin Esa Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, YBrs. Ir. Mohd Hadzmir bin Yusoff, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), YBhg. Datuk Nik Airina Nik Jaafar, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, YBrs. Tuan Mohamed bin Abdul Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pembangunan), YBrs. Puan Noerazlim binti Saidil, Ketua Penasihat Undang- Undang KKR serta barisan pegawai kanan Kementerian dan agensi yang terlibat, termasuk wakil daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Mesyuarat meneliti status kemajuan projek yang melibatkan pelbagai komponen utama termasuk kerja-kerja pembinaan, pengalihan utiliti, pengurusan tanah, perolehan serta aspek pembiayaan projek. PLUS Malaysia Berhad telah melaksanakan pelbagai langkah mitigasi termasuk mempercepatkan aktiviti pembinaan secara serentak di beberapa lokasi, melaksanakan kerja pada hujung minggu serta mengoptimumkan penggunaan jentera berkapasiti tinggi bagi meningkatkan produktiviti di tapak.

Mesyuarat turut membincangkan status pengalihan utiliti melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petronas Gas Berhad (PGB), isu berkaitan pengambilan tanah, kelulusan perolehan, pelantikan perunding serta aspek pembiayaan projek. Semua pihak yang terlibat komited untuk mempercepat penyelesaian isu-isu berbangkit bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.

YBhg. Dato’ Seri Ketua Setiausaha KKR bersama delegasi KKR, LLM, JKR dan PLUS Malaysia Berhad turut mengadakan lawatan tapak ke Persimpangan Permatang Pauh bagi meninjau sendiri kemajuan pelaksanaan projek serta perkembangan kerja-kerja pembinaan di lokasi berkenaan.

KKR, LLM, PLUS Malaysia Berhad serta semua agensi berkaitan akan terus memperkukuh kerjasama dan pemantauan berterusan bagi memastikan projek PTJSD dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, seterusnya meningkatkan kelancaran trafik serta keselesaan pengguna di koridor utama Pulau Pinang.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan inisiatif MYJalan, KKR komited memastikan pelaksanaan projek infrastruktur strategik yang cekap, berkualiti dan berimpak tinggi demi memperkukuh kesalinghubungan, merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4