KKR TINJAU PROJEK INFRASTRUKTUR DI TANGKAK, PASTIKAN MANFAAT KEPADA RAKYAT TERUS DIPERKASA | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

KKR TINJAU PROJEK INFRASTRUKTUR DI TANGKAK, PASTIKAN MANFAAT KEPADA RAKYAT TERUS DIPERKASA

TANGKAK – Timbalan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan hari ini telah mengadakan lawatan kerja ke daerah Tangkak bersama pegawai Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Tangkak bagi meninjau pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur serta menilai tahap penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

JKR Daerah Tangkak bertanggungjawab menyelenggara rangkaian Jalan Persekutuan sepanjang 99.5 kilometer dan Jalan Negeri sepanjang 198.5 kilometer. Skop penyelenggaraan meliputi kerja-kerja rutin dan berkala, penyelenggaraan turapan dan bukan turapan, sistem saliran, pembetung serta cerun.

Sehingga Jun 2026, sejumlah RM6.4 juta telah diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan di daerah ini, termasuk pembaikan jalan, sistem perparitan serta penambahbaikan perabot jalan dan papan tanda. Dalam masa yang sama, sebanyak dua projek Jalan Persekutuan dengan nilai keseluruhan RM157 juta dan satu projek Jalan Negeri bernilai RM10.5 juta sedang dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan dan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya.

Selain itu, satu Projek Pembinaan Jajaran Jalan Baharu di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan bernilai RM80 juta serta satu Projek Naik Taraf Jalan dan Jambatan di bawah peruntukan Kerajaan Negeri bernilai RM10 juta kini dalam proses pengeluaran Surat Setuju Terima (SST).

Dalam sektor bangunan, dua projek di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan dengan nilai keseluruhan RM1.7 juta turut dilaksanakan, melibatkan pembinaan baharu Tabika Orang Asli serta pembinaan bilik darjah tambahan sekolah bagi memenuhi keperluan pendidikan setempat. JKR turut merancang pelaksanaan Projek Naik Taraf Jalan Segamat–Tangkak (Pakej 44 – Missing Link) yang dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik di laluan utama menuju ke Bandar Tangkak. Di samping itu, Projek Naik Taraf Jambatan di Jalan Johor Bahru–Melaka turut dirancang bagi memperkukuh aspek keselamatan struktur serta meningkatkan keselesaan pengguna.

KKR akan terus komited memastikan semua projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur dilaksanakan mengikut jadual, mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan, serta memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui peningkatan kualiti hidup dan pembangunan ekonomi yang mampan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4