Langkau ke kandungan utama
1

Hari Pertama Siri Jelajah FTRoadPedia Pan Borneo Sarawak "Cipta Detik Indah Bersama"

KUCHING, 29 September 2018 : Jelajah FTRoadPedia selama tiga hari bermula pada hari ini dengan delegasi rasmi daripada Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Infrastrukur dan Pengangkutan (MIDT) Sarawak, Jabatan Kerja Raya Negeri Sarawak (JKRS) melawat dua daripada 11 pakej kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang sedang rancak pembinaannya.

Turut terlibat dalam lawatan tapak ini ialah pihak pengurusan Projek Rakan Penyampai untuk Lebuhraya Pan Borneo Sarawak iaitu syarikat Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU). Diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Sri Zohari Akob, rombongan jelajah seramai 100 orang termasuk Pengurusan Tertinggi Kementerian serta pihak media telah melawat jajaran Telok Melano – Sematan (Pakej Kerja 01).

Tujuan program ini adalah untuk melihat sendiri kemajuan kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang bermula dari Telok Melano hingga ke Miri. Pembinaan sepanjang 33 kilometer (km) ini kini sedang di peringkat penurapan dan kerja-kerja tanah di jajaran ini hampir selesai. Pakej kerja ini merangkumi pembinaan enam jambatan iaitu Jambatan Sungai Siru, Kerambai, Pueh, Sungai Belinsah, Sungai Beduan dan Sungai Samunsam yang sedang dibina. Pemasangan penghadang jalan sedang rancak dijalankan, manakala pemasangan papan tanda jalan telahpun bermula.

Kerja-kerja pemasangan tiang lampu jalan dan pemasangan kabel turut telah dimulakan dari Jalan Sematan – Lundu menuju ke bulatan pertama menuju ke Telok Melano. Dengan siapnya jajaran Telok Melano - Sematan ini, ia bakal menggalakkan sektor pelancongan di kawasan tersebut yang merupakan perkampungan nelayan yang menawarkan pemandangan panorama indah dan kelazatan makanan laut.

Dari jajaran Telok Melano - Sematan, pasukan menuju ke jajaran Sematan – Sungai Moyan (Pakej Kerja 02). Sepanjang perjalanan ini, pasukan jelajah berpeluang untuk melihat tapak pembinaan dua persimpangan iaitu Lundu dan Bau. Pakej kerja ini turut meliputi empat projek persimpangan iaitu Batu 4 1/2, Batu 6, Batu 7 dan Batu 10.

Pakej Kerja 02 adalah pakej kerja yang mempunyai jajaran terpanjang antara 11 pakej kerja Lebuhraya Pan Borneo, iaitu sepanjang 95kilometer. Ia turut mengandungi 50 pusingan-P dengan 24 pusingan di seksyen Lundu, dan 26 pusingan di seksyen Bau, 93 hentian bas dan 22 jambatan. Kontraktor utama yang terlibat bagi WPC01 dan WPC02 ialah Samling Resources Sdn Bhd.

Tarikh Dan Waktu Acara