Langkau ke kandungan utama
1

Lawatan Timbalan Menteri Kerja Raya Ke Melaka

MELAKA, 13 SEPTEMBER 2018: Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir telah melakukan sesi lawatan kerja rasmi ke Melaka pada 13 September 2018.  Lawatan Timbalan Menteri dimulakan dengan sesi kunjungan hormat YB Timbalan Menteri kepada Ketua Menteri Melaka YAB Tuan Adly Bin Zahari di Pejabat Ketua Menteri di Ayer Keroh, Melaka. 

Turut sama dalam sesi kunjungan hormat ini ialah Ketua Pengarah Kerja Raya YBhg. Dato' Sri Ir. Dr. Roslan bin Md. Taha, Pengarah JKR Negeri Melaka YBrs. Tuan Ir. Hj Zulkifly Bin A. Ghani, dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Mohd. Sofi Abdul Wahab.

Aturcara lawatan YB Timbalan Menteri diteruskan dengan lawatan kerja di Jabatan Kerja Raya Negeri Melaka (JKR Melaka) untuk sesi amanat dan taklimat projek bersama pegawai dan kakitangan JKR Melaka.

YB Timbalan Menteri kemudiannya dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Rumput untuk Upacara Penyerahan Projek Pembinaan Semula Dan Menaik Taraf Sekolah Daif Menggunakan Kaedah Sistem Binaan Berindustri (Industrialised Building System, IBS) Di Semenanjung Malaysia (Fasa 1) Tahun 2018 Bagi Negeri Melaka.

SMK Paya Rumput merupakan antara 10 sekolah yang terlibat di Negeri Melaka bagi Projek ini. Program ini merupakan antara inisiatif kerajaan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pelajar dan guru berada dalam keadaan memuaskan melalui penaiktarafan dan pembinaan semula.  

Sekolah lain yang terlibat dalam projek ini ialah SK Kampung Tun Razak, SK Tun Syed Ahmad Shahabudin, SK Paya Dalam, SMK Pernu, SK Merlimau 1, SMK Tun Hj Abdul Malek, SK Durian Tunggal, SMK Bukit Rambai, dan SMK Paya Rumput dengan jumlah keseluruhan sebanyak 109 bilik darjah.

Projek ini dibahagikan kepada dua pakej yang dilaksanakan oleh kontraktor berasingan iaitu Kontraktor Pembinaan & Letrik Mals Sdn Bhd bagi pakej 1 dan Kontraktor Castwell Industries (M) Sdn Bhd bagi pakej 2.Tarikh Milik Tapak kesemua projek ini adalah pada 7 Mac 2018 yang lalu.Lawatan YB Timbalan Menteri diteruskan dengan lawatan ke SMK Pernu yang merupakan antara sekolah daif yang terlibat dalam projek menaiktaraf ini. 

Sesi Lawatan YB Timbalan Menteri Kerja diakhiri dengan lawatan tapak Projek Naiktaraf Jalan Ayer Keroh ke Bandar Melaka Fasa I, iaitu pembinaan persimpangan Peringgit dan persimpangan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (Melaka International Trade Centre, MITC). Lawatan tapak kali ini memberi fokus kepada Pelan Pengurusan Trafik (TMP) yang dilaksanakan bagi projek ini. YB Timbalan Menteri telah diberi penerangan dalam sesi taklimat ringkas sebelum dibawa meninjau sekitar tapak projek pembinaan jalan ini.

Tarikh Dan Waktu Acara