Langkau ke kandungan utama
1

Hari Ketiga Siri Jelajah FTRoadPedia Pan Borneo Sarawak "Cipta Detik Indah Bersama"

Miri, 01 Oktober 2018 : Rombongan Jelajah FTRoadpedia yang diketuai oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian hari ini melawat tapak projek persimpangan Nyabau pada siri terakhir lawatan Jelajah FTRoadpedia Sarawak. Para peserta siri jelajah telah dibawa melawat sekitar kawasan tersebut yang telah memulakan pelaksanaannya pada awal bulan ini.

Persimpangan Nyabau ini akan membantu penyuraian aliran trafik kenderaan berulang-alik sepanjang perjalanan dari Sibu ke Miri dan Miri ke Sibu. Kerja-kerja pembinaan persimpangan bertingkat ini telah dimulakan pada Mac tahun lepas dan dijangka siap menjelang penghujung tahun 2020. Selain daripada persimpangan Nyabau, di Simpang Bakun - Sungai Tangap adalah termasuk dalam pakej (WPC10-77km) akan merangkumi tiga persimpangan lain iaitu di Bakun, Suai, Niah.

Ketika meninjau perkembangan kemajuan kerja persimpangan tersebut, peserta jelajah FTRoadpedia Sarawak termasuk pegawai Pengurusan Tertinggi dari Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan (MIDT) dan Jabatan Kerja Raya Negeri (JKR) Sarawak turut melawat ke tapak pembinaan Nyabau.

Sebelum tiba di kawasan pembinaan ini, peserta telah dibawa menyusuri jalan disepanjang Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bermula dari Telok Melano sejak siri jelajah pada hari kedua lagi. Jelajah ini turut disertai oleh Pengurusan Kanan Rakan Penyampai Projek untuk Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU), yang diketuai oleh Pengarah Urusannya, Mohd Zaidee Abang Hipnee dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Safuani Abdul Hamid.

Sebelum itu, YB Tuan Baru Bian telah menghadiri upacara pecah tanah di SK Sungai Buloh, di mana kontraktor utama bagi Jambatan Sungai Kua – Jambatan Sungai Arip (pakej kerja 08), Musyati-Mudajaya JV Sdn Bhd telah mengambil alih untuk membina semula sekolah daif yang telah usang sebagai sebahagian daripada tanggungjawab program sosial korporat.

Selain daripada syarikat itu, kontraktor utama lain untuk pakej kerja termasuk LBU juga bakal melaksanakan penambahan pembaikan semula 10 sekolah daif sepanjang kawasan pembinaan.

Pihak kerajaan mengalu-alukan usaha dari pihak swasta ini kerana ia dapat memberikan contoh usaha kerjasama oleh semua pihak dalam memainkan peranan mereka untuk memajukan negara.

Akhir sekali peserta jelajah telah berhenti di perhentian terakhir Jelajah FTRoadpedia Sarawak iaitu di Jalan Pautan Sungai Tangap-Pujut (Pakej Kerja 11) yang menandakan berakhirnya siri jelajah selama tiga hari bagi meninjau perkembangan kemajuan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Tarikh Dan Waktu Acara