Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

SUNGAI BULOH, 30 Jun 2016 – Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) telah melancarkan Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2016 bertempat di Restoran Jejantas Sungai Buloh Arah Utara.

Kempen ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengguna lebuh raya tentang pemanduan secara berhemah ketika menggunakan lebuh raya semasa pulang ke kampung halaman masing-masing. Selain itu, kempen yang dilancar dengan mengunakan tagline #Respeklabro ini juga bertujuan untuk menangani isu keselamatan lebuh raya secara lebih holistik dengan melaksanakan intipati-intipati utama dalam lima tonggak strategik Pelan Tindakan Keselamatan Jalan Raya 2014 – 2020, seperti berikut:

Pengurusan Keselamatan Jalan Raya; Mobiliti dan Jalan Raya yang lebih selamat; Kenderaan yang lebih selamat; Pengguna jalan raya yang lebih selamat dan; Pengurusan pasca kemalangan Kempen Advokasi #Respeklabro ini merupakan salah satu program keselamatan yang berteraskan pendidikan berterusan (continuous education programme).

Kempen ini disasarkan kepada agen perubahan seperti pelajar-pelajar sekolah dan universiti dalam pendedahan nilai-nilai pemanduan berhemah dan bertimbang rasa di atas jalan raya.

Sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, dijangka pertambahan trafik harian sebanyak 20% di Lebuhraya PLUS untuk ke Utara dan Selatan. Lebuhraya KL-Karak pula dijangka berlaku peningkatan sebanyak 70% aliran trafik. Justeru, pihak LLM, PDRM dan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya telah bersedia untuk membantu pengguna dengan langkah-langkah proaktif dalam melancarkan aliran trafik dan memastikan keselamatan sewaktu musim perayaan. Pengguna dinasihatkan untuk mengikuti Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (Travel Time Advisory) bagi Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur yang telah disediakan oleh pihak PLUS Berhad dan ANIH Berhad.

Pada masa yang sama, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini daripada pusat pengurusan trafik TMC LLM yang beroperasi 24 jam sehari untuk perancangan perjalanan. Semasa musim perayaan, pihak Kerajaan telah mengeluarkan arahan henti kerja (stop work order) di lebuh raya kecuali kerja-kerja kritikal sahaja untuk tempoh 14 hari iaitu bermula dari 30 Jun 2016 sehingga 13 Julai 2016 bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya.

Kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya amat menghargai pemberian diskaun dan rebat sempena musim perayaan oleh syarikat-syarikat konsesi sebagai tanda penghargaan dan CSR kepada pengguna lebuh raya yang mana ianya dapat mengurangkan beban perbelanjaan di musim perayaan ini.

1

KUALA KRAI, 19 Jun 2016 : Mangsa banjir yang kehilangan kediaman mereka sewaktu bencana banjir penghujung 2014 terus dibela, apabila hari ini seramai 31 keluarga menerima kunci rumah dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Kampung Staponal, Batu Jong, Kuala Krai.

Sehingga 31 Mei 2016, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama-sama agensi Persekutuan lain telah berjaya membina sebanyak 844 buah rumah di negeri Kelantan. Sebanyak 243 buah rumah sedang dibina manakala 54 buah masih dalam proses kelulusan tanah.

Rumah Kekal Baharu (RKB) untuk mangsa banjir ini dibina dengan kos sebanyak RM65,000 seunit namun dalam kes sperti di Kampung Staponal ini, jumlahnya meningkat kepada purata kos sebanyak RM200 ribu kerana melibatkan pembelian tanah milik industri oleh Kerajaan Pusat.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman.

1

KUALA KRAI 19 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meluangkan masa melawat serta meninjau kerja-kerja pembinaan projek Hospital Kuala Krai yang baharu di Pahi di sini.

Perdana Menteri kemudian mendengar taklimat daripada Wakil Pengarah Projek Utama Jabatan Kerja Raya (JKR), Alias Adam mengenai kemajuan hospital baharu berkenaan.

Hospital baharu Kuala Krai yang bernilai RM304 juta itu akan menjadi mercu tanda serta kebanggaan rakyat negeri ini. Projek yang tersenarai di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 ini telah diumumkan Perdana Menteri sewaktu pembentangan Belanjawan 2012 pada Oktober 2011.

Hospital di atas tapak seluas 100 hektar itu mula dibina pada Mei 2014 dan kini sedang berada di fasa kedua yang telah 55 peratus telah siap dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei tahun depan.

Projek itu melibatkan pembinaan 11 buah wad dengan 268 katil, lapan buah dewan bedah, lapan bilik bersalin serta pusat rawatan harian. Dibina berkonsepkan hospital dalam taman dan ia bakal dilengkapi dengan peralatan perubatan, perkhidmatan sokongan klinikal yang terkini, selain bangunan pentadbiran, tempat letak kereta dan kemudahan untuk kakitangan, orang kelainan upaya serta pelawat.

Selain itu, hospital tersebut juga bakal dilengkapi dengan kemudahan perkhidmatan 13 kepakaran khusus untuk rakyat di kawasan selatan negeri ini. Hospital baharu ini berkeluasan 100 hektar dan terletak di lot 7777, Mukim Kuala Pahi dan hanya lima kilometer dari hospital sedia ada.

Turut mengiringi lawatan kerja Perdana Menteri ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab. Rahman.

1

ALOR PONGSU, 7 Jun 2016: Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) mula dibuka pada 7 Jun 2016 bermula jam 10.00 malam dan perasmiannya telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Diraja Dr.Zambry bin Abd Kadir, Menteri Besar Perak bersama-sama YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia.

Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu ini terletak di KM181.4 Lebuhraya Utara Selatan, 5.9 kilometer (km) ke arah selatan dari Persimpangan Bandar Baharu dan 12.4km ke arah utara Persimpangan Bukit Merah. Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu ini akan menyediakan akses terus dari kawasan Alor Pongsu, Bagan Serai dan Selama, Perak untuk memasuki Lebuhraya Utara Selatan. Reka bentuk persimpangan bertingkat ini jenis trumpet dan disambungkan ke Jalan Bagan Serai - Selama (FT147), Perak.

Dengan kos pembinaan kira-kira RM100 juta, persimpangan bertingkat ini juga dilengkapi dengan Tol Plaza (8 lorong iaitu 4 lorong arah keluar dan 4 arah masuk), bangunan pengawasan dan kemudahan awam seperti surau, tandas awam, wakaf, kawasan meletak kenderaan dan lain-lain untuk memberi lebih keselesaan kepada orang ramai.

Pada masa kini, pengguna Lebuhraya Utara-Selatan dari utara perlu melalui Persimpangan Bandar Baharu di KM175.46 manakala penguna dari selatan pula perlu melalui Persimpangan Bukit Merah di KM193.80 untuk menuju ke Alor Pongsu serta kawasan sekitarnya. Melalui pembukaan persimpangan bertingkat ini, ianya akan memberikan penjimatan masa perjalanan dari arah Utara dan Selatan ke Alor Pongsu di mana masa perjalanan dapat dijimatkan dari 45 minit kepada 10 minit.

1

KUALA LUMPUR, 31 Mei 2016: Sebanyak 46 projek berjaya memperolehi markah melebihi 80 peratus dalam penilaian QLASSIC atau Sistem Penilaian Kualiti Hasil Kerja Binaan bagi tahun 2015.

Para pemaju dan kontraktor ini telah diraikan dalam satu majlis iaitu Hari QLASSIC 2016 dan anugerah telah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya Malaysia, YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof.

Pada tahun 2015, sebanyak 303 projek pembinaan bangunan berdaftar untuk penilaian QLASSIC, meningkat berbanding 272 projek pada 2014 dan 160 pada 2013.

QLASSIC bertujuan memberi jaminan kepada orang awam bahawa projek-projek pembinaan yang dijalankan menepati standard atau piawaian yang diukur dan dinilai melalui mutu kerja (workmanship). Penilaian QLASSIC ini mengguna pakai Piawai Construction Industry Standard atau CIS 7: 2014.

Pada tahun 2015, jumlah nilai projek-projek pembinaan telah mencapai RM126 bilion dan sektor pembinaan dijangka menyumbang sebanyak 5.5% kepada KDNK dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas dari tahun 2016 hingga 2020.

1

KUALA LUMPUR, 31 Mei 2016: Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) telah terpilih sebagai tuan rumah kepada International Engineering Alliance (IEA) Meeting 2016, iaitu persidangan yang dihadiri lebih 150 peserta dari 27 negara anggota IEA.

Persidangan lima hari ini telah diadakan di Hotel Royale Chulan bermula 30 Mei hingga 3 Jun 2016 dan merupakan acara dwi tahunan. IEA merupakan suatu persefahaman antara pertubuhan kejuruteraan berkaitan pengiktirafan kelayakan kejuruteraan (terdapat 3 perjanjian) dan kecekapan professional (terdapat 4 perjanjian).

YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya telah merasmikan persidangan ini yang turut dihadiri Datuk Ir. Adanan Mohamed Hussain selaku Presiden LJM dan Dr. David Holger, Pengerusi Pentadbiran IEA.

1

TAWAU, 28 Mei 2016 : YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, hari ini merasmikan majlis pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi jajaran Tawau-Sandakan. Majlis turut dihadiri Y.A.B Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah dan YB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia.

Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi jajaran Tawau-Sandakan ini akan dimulakan dengan pakej pertama iaitu melibatkan jajaran sepanjang 5 km dari KM43 di Pekan Tawau hingga ke KM48 di Bulatan Check-Point Semporna Tawau yang melibatkan kerja-kerja menaiktaraf jalan daripada dua lorong dua hala (single carriageway) kepada empat lorong dua hala (dual carriageway). Pakej ini dijangka akan mula dibina pada awal Jun 2016 manakala pakej-pakej pembinaan seterusnya dirancang akan dimulakan secara berperingkat pada tahun 2017 hingga 2018.

Laluan ini apabila siap kelak, berupaya mentransformasikan ekonomi penduduk setempat terutamanya kepada penduduk bandar dan luar bandar Tawau. Ianya dapat dilihat dari aspek peningkatan kemudahan jaringan infrastruktur bagi urusan pasaran dan logistik untuk industri kecil dan sederhana penduduk di daerah Tawau. Dalam masa yang sama, ia turut menyokong jaringan infrastruktur dan logistik bagi industri-industri yang difokuskan di bawah wilayah koridor Sabah Economic and Investment Authority (SEDIA).

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah berupaya memberi impak kepada perubahan lanskap infrastruktur serta sosio-ekonomi di negeri Sabah dan dalam masa yang sama projek ini juga akan menjadi jalan penghubung yang strategik dan lebih efisien terutamanya dalam menghubungkan bandar-bandar utama Sabah seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Kudat, hingga Tawau. 

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilaksanakan melalui model Project Delivery Partner (PDP) oleh Syarikat Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. (BHP) yang telah dilantik sebagai rakan pelaksana projek untuk memastikan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilaksanakan berdasarkan petunjuk prestasi utama (key performance indicator –KPI) yang dipersetujui oleh Kerajaan. 

1

KUALA LUMPUR, 19 Mei 2016: Seramai 824 orang warga Kerja Raya dari Kementerian dan Agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah diraikan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2015.

Majlis ini telah diadakan di Pusat Konvensyen CIDB dan penyampaian anugerah telah disampaikan Menteri Kerja Raya, Timbalan Menteri, Ketua-ketua Agensi dan Pihak Pengurusan Tertinggi Kementerian. Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof dalam ucapannya pada majlis tersebut menyeru agar semua warga KKR untuk memberi perkhidmatan sebaik mungkin dan jadikan setiap pelanggan adalah tetamu VIP yang sangat penting tanpa mengira siapa mereka.

Persepsi yang baik atau buruk adalah bermula dari kaedah ataupun cara menyampaikan perkhidmatan. Biasanya, pelanggan yang datang telah mempunyai ekspektasi tersendiri terhadap perkhidmatan yang bakal diterima dan pengalaman yang signifikan akan terus diingati dan diwar-warkan. Justeru, semua warga perlu melaksanakan tugas melebihi dari ekspektasi awal pelanggan selaras dengan tema majlis iaitu ‘Kecemerlangan Melangkaui Ekspektasi’.

1

KUALA KRAI, 16 Mei 2016: Nasib mangsa banjir di Kelantan yang kehilangan kediaman akibat bencana yang melanda akhir Disember 2014 lalu kini terbela apabila proses penyerahan Rumah Kekal Banjir (RKB) Kerajaan Persekutuan kini telah dilakukan secara berperingkat.

Dalam satu majlis penyerahan RKB di Kampung Baru Karangan, Mukim Manjor, Kuala Krai, seramai 40 orang penduduk teruja dan bersyukur apabila menerima rumah baharu yang dibina dibawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan replika kunci rumah tersebut telah disampaikan oleh YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya.

Turut bersama-sama hadir di Majlis tersebut ialah YB Dato’ Ramzi Ab Rahman, ADUN Dabong dan Ketua Setiausaha KKR, Dato’ Sri Zohari Haji Akob.

Kementerian Kerja Raya melalui JKR diberi tanggungjawab membina rumah kekal baharu di empat (4) Jajahan iaitu Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang. Sehingga kini, sebanyak 966 buah rumah telah dikenalpasti untuk dibina oleh JKR di negeri Kelantan iaitu 776 buah di Kuala Krai, 148 buah di Gua Musang, 30 buah di Tanah Merah dan 12 buah di Machang.

Semua rumah di Jajahan Gua Musang, Machang dan Tanah Merah telah siap sepenuhnya dengan jumlah 563 buah rumah. Sebanyak 349 buah di Jajahan Kuala Krai masih dalam pembinaan dan daripada jumlah ini 261 buah dibina JKR (jangka siap Jun 2016) dan bakinya 88 buah dibiayai serta dibina dua NGO/Yayasan secara tanggungjawab sosial korporat di atas tapak yang disediakan Kerajaan.

Manakala baki sebanyak 54 buah masih di dalam urusan mendapatkan tapak/tanah oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri dan juga pentadbiran Kerajaan Negeri.

1

KUALA LUMPUR, 13 Mei 2016: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah berjaya memperolehi Persijilan Semula Amalan 5S untuk tahun 2016 yang juga merupakan tahun ketiga berturut-turut.

Perkara ini dimaklumkan oleh juruaudit daripada Malaysia Productivity Corporation (MPC) yang melakukan Audit Pematuhan Persekitaran Berkualiti 5S di Zon-zon KKR dan juga setelah meneliti dokumen pihak urusetia. Juruaudit tersebut ialah Encik Abdul Majid Ibrahim, Encik Andra Syahrizal Mohamad dan Encik Kamaruddin Mohamad.

Sewaktu sesi ulasan penemuan audit, pihak MPC menyatakan hasil tinjauan mendapati tahap pemahaman warga amat baik terhadap tiga aspek 5S yang diaudit iaitu amalan, ilmu dan dokumentasi.

Ketua Setiausaha KKR, Dato’ Sri Zohari Haji Akob telah sudi mempengerusikan mesyuarat pembukaan audit manakala Tuan Haji Mohd Jais Abdul Kadir, Setiausaha Bahagian Pengurusan Fasiliti telah mempengerusikan mesyuarat penutup yang bertempat di Bilik Mesyuarat Melati, Kompleks Kerja Raya.