Langkau ke kandungan utama
1

Projek Pan Borneo Sabah diteruskan dengan Jajaran Tawau - Sandakan

TAWAU, 28 Mei 2016 : YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, hari ini merasmikan majlis pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi jajaran Tawau-Sandakan. Majlis turut dihadiri Y.A.B Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah dan YB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia.

Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi jajaran Tawau-Sandakan ini akan dimulakan dengan pakej pertama iaitu melibatkan jajaran sepanjang 5 km dari KM43 di Pekan Tawau hingga ke KM48 di Bulatan Check-Point Semporna Tawau yang melibatkan kerja-kerja menaiktaraf jalan daripada dua lorong dua hala (single carriageway) kepada empat lorong dua hala (dual carriageway). Pakej ini dijangka akan mula dibina pada awal Jun 2016 manakala pakej-pakej pembinaan seterusnya dirancang akan dimulakan secara berperingkat pada tahun 2017 hingga 2018.

Laluan ini apabila siap kelak, berupaya mentransformasikan ekonomi penduduk setempat terutamanya kepada penduduk bandar dan luar bandar Tawau. Ianya dapat dilihat dari aspek peningkatan kemudahan jaringan infrastruktur bagi urusan pasaran dan logistik untuk industri kecil dan sederhana penduduk di daerah Tawau. Dalam masa yang sama, ia turut menyokong jaringan infrastruktur dan logistik bagi industri-industri yang difokuskan di bawah wilayah koridor Sabah Economic and Investment Authority (SEDIA).

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah berupaya memberi impak kepada perubahan lanskap infrastruktur serta sosio-ekonomi di negeri Sabah dan dalam masa yang sama projek ini juga akan menjadi jalan penghubung yang strategik dan lebih efisien terutamanya dalam menghubungkan bandar-bandar utama Sabah seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Kudat, hingga Tawau. 

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilaksanakan melalui model Project Delivery Partner (PDP) oleh Syarikat Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. (BHP) yang telah dilantik sebagai rakan pelaksana projek untuk memastikan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilaksanakan berdasarkan petunjuk prestasi utama (key performance indicator –KPI) yang dipersetujui oleh Kerajaan. 

Tarikh Dan Waktu Acara