Langkau ke kandungan utama
1

Kempen Advokasi Keselamatan Lebuhraya Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2016

SUNGAI BULOH, 30 Jun 2016 – Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) telah melancarkan Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2016 bertempat di Restoran Jejantas Sungai Buloh Arah Utara.

Kempen ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengguna lebuh raya tentang pemanduan secara berhemah ketika menggunakan lebuh raya semasa pulang ke kampung halaman masing-masing. Selain itu, kempen yang dilancar dengan mengunakan tagline #Respeklabro ini juga bertujuan untuk menangani isu keselamatan lebuh raya secara lebih holistik dengan melaksanakan intipati-intipati utama dalam lima tonggak strategik Pelan Tindakan Keselamatan Jalan Raya 2014 – 2020, seperti berikut:

Pengurusan Keselamatan Jalan Raya; Mobiliti dan Jalan Raya yang lebih selamat; Kenderaan yang lebih selamat; Pengguna jalan raya yang lebih selamat dan; Pengurusan pasca kemalangan Kempen Advokasi #Respeklabro ini merupakan salah satu program keselamatan yang berteraskan pendidikan berterusan (continuous education programme).

Kempen ini disasarkan kepada agen perubahan seperti pelajar-pelajar sekolah dan universiti dalam pendedahan nilai-nilai pemanduan berhemah dan bertimbang rasa di atas jalan raya.

Sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, dijangka pertambahan trafik harian sebanyak 20% di Lebuhraya PLUS untuk ke Utara dan Selatan. Lebuhraya KL-Karak pula dijangka berlaku peningkatan sebanyak 70% aliran trafik. Justeru, pihak LLM, PDRM dan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya telah bersedia untuk membantu pengguna dengan langkah-langkah proaktif dalam melancarkan aliran trafik dan memastikan keselamatan sewaktu musim perayaan. Pengguna dinasihatkan untuk mengikuti Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (Travel Time Advisory) bagi Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur yang telah disediakan oleh pihak PLUS Berhad dan ANIH Berhad.

Pada masa yang sama, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini daripada pusat pengurusan trafik TMC LLM yang beroperasi 24 jam sehari untuk perancangan perjalanan. Semasa musim perayaan, pihak Kerajaan telah mengeluarkan arahan henti kerja (stop work order) di lebuh raya kecuali kerja-kerja kritikal sahaja untuk tempoh 14 hari iaitu bermula dari 30 Jun 2016 sehingga 13 Julai 2016 bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya.

Kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya amat menghargai pemberian diskaun dan rebat sempena musim perayaan oleh syarikat-syarikat konsesi sebagai tanda penghargaan dan CSR kepada pengguna lebuh raya yang mana ianya dapat mengurangkan beban perbelanjaan di musim perayaan ini.

Tarikh Dan Waktu Acara