Langkau ke kandungan utama
1

Perdana Menteri meninjau pembinaan Hospital Baharu Kuala Krai

KUALA KRAI 19 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meluangkan masa melawat serta meninjau kerja-kerja pembinaan projek Hospital Kuala Krai yang baharu di Pahi di sini.

Perdana Menteri kemudian mendengar taklimat daripada Wakil Pengarah Projek Utama Jabatan Kerja Raya (JKR), Alias Adam mengenai kemajuan hospital baharu berkenaan.

Hospital baharu Kuala Krai yang bernilai RM304 juta itu akan menjadi mercu tanda serta kebanggaan rakyat negeri ini. Projek yang tersenarai di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 ini telah diumumkan Perdana Menteri sewaktu pembentangan Belanjawan 2012 pada Oktober 2011.

Hospital di atas tapak seluas 100 hektar itu mula dibina pada Mei 2014 dan kini sedang berada di fasa kedua yang telah 55 peratus telah siap dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei tahun depan.

Projek itu melibatkan pembinaan 11 buah wad dengan 268 katil, lapan buah dewan bedah, lapan bilik bersalin serta pusat rawatan harian. Dibina berkonsepkan hospital dalam taman dan ia bakal dilengkapi dengan peralatan perubatan, perkhidmatan sokongan klinikal yang terkini, selain bangunan pentadbiran, tempat letak kereta dan kemudahan untuk kakitangan, orang kelainan upaya serta pelawat.

Selain itu, hospital tersebut juga bakal dilengkapi dengan kemudahan perkhidmatan 13 kepakaran khusus untuk rakyat di kawasan selatan negeri ini. Hospital baharu ini berkeluasan 100 hektar dan terletak di lot 7777, Mukim Kuala Pahi dan hanya lima kilometer dari hospital sedia ada.

Turut mengiringi lawatan kerja Perdana Menteri ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab. Rahman.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita