Langkau ke kandungan utama
1

Penjimatan masa dan jarak dengan pembukaan Persimpangan Alor Pongsu, Lebuhraya PLUS

ALOR PONGSU, 7 Jun 2016: Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) mula dibuka pada 7 Jun 2016 bermula jam 10.00 malam dan perasmiannya telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Diraja Dr.Zambry bin Abd Kadir, Menteri Besar Perak bersama-sama YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia.

Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu ini terletak di KM181.4 Lebuhraya Utara Selatan, 5.9 kilometer (km) ke arah selatan dari Persimpangan Bandar Baharu dan 12.4km ke arah utara Persimpangan Bukit Merah. Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu ini akan menyediakan akses terus dari kawasan Alor Pongsu, Bagan Serai dan Selama, Perak untuk memasuki Lebuhraya Utara Selatan. Reka bentuk persimpangan bertingkat ini jenis trumpet dan disambungkan ke Jalan Bagan Serai - Selama (FT147), Perak.

Dengan kos pembinaan kira-kira RM100 juta, persimpangan bertingkat ini juga dilengkapi dengan Tol Plaza (8 lorong iaitu 4 lorong arah keluar dan 4 arah masuk), bangunan pengawasan dan kemudahan awam seperti surau, tandas awam, wakaf, kawasan meletak kenderaan dan lain-lain untuk memberi lebih keselesaan kepada orang ramai.

Pada masa kini, pengguna Lebuhraya Utara-Selatan dari utara perlu melalui Persimpangan Bandar Baharu di KM175.46 manakala penguna dari selatan pula perlu melalui Persimpangan Bukit Merah di KM193.80 untuk menuju ke Alor Pongsu serta kawasan sekitarnya. Melalui pembukaan persimpangan bertingkat ini, ianya akan memberikan penjimatan masa perjalanan dari arah Utara dan Selatan ke Alor Pongsu di mana masa perjalanan dapat dijimatkan dari 45 minit kepada 10 minit.

Tarikh Dan Waktu Acara