Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KUALA LUMPUR, 16 OGOS 2017 - Majlis menandatangani Perjanjian Penswastaan Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia bagi Negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis telah diadakan hari ini di bilik Mesyuarat Seroja, Kementerian Kerja Raya, antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat konsesi THB Maintenance Sdn Bhd.

Mewakili Kerajaan ialah YBhg. Dato’ Sri Zohari bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, manakala syarikat konsesi pula diwakili oleh Pengerusi Eksekutif iaitu YTM Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Bendahara Kedah dan Pengarah Urusan syarikat, YBhg. Datuk Seri Ir. Hasnur Rabian bin Ismail.

THB Maintenance Sdn Bhd. dipertanggungjawabkan sebagai konsesi Jalan Persekutuan di tiga negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perlis selama 10 tahun bermula 17 Ogos 2017 sehingga 16 Ogos 2027. Turut hadir pada majlis tersebut ialah YBhg. Dato' Abdul Razak bin Jaafar, TKSU(DP) bersama-sama dengan Setiausaha Bahagian Pengurusan Fasiliti serta pegawai-pegawai Kementerian, Jabatan Kerja Raya dan syarikat konsesi.

1

SINTOK, KEDAH, 15 OGOS 2017 - Kementerian Kerja Raya (KKR) mengadakan Pertandingan Worldskills Malaysia Belia (WSMB) ke-44 peringkat akhir dari 13 hingga 17 Ogos 2017 di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara, Sintok, Kedah dan pertandingan ini dirasmikan oleh YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya pada 15 Ogos 2017.

WSMB merupakan pertandingan kemahiran yang dianjurkan bertujuan memilih dan mengiktiraf belia dan pekerja mahir. Pertandingan kali ini mengumpulkan seramai 64 orang peserta melibatkan 9 bidang sektor pembinaan iaitu bidang welding, electrical installations, plumbing & heating, bricklaying, painting & decorating, joinery, wall & floor tiling, refrigeration & air conditioning dan mechanical engineering design.

Agensi yang menghantar peserta untuk WSMB 2017 adalah Akademi Binaan Malaysia, Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Mara, Institut Kemahiran Belia Negara, Politeknik, Kolej Komuniti, Kolej Vokasional, Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (Wisdec), Terengganu Timber Industri Training Centre (TTITC), Kumpulan Indah Raya dan Tech Terrain College.

Peringkat Pra Kelayakan telah diadakan pada 18 hingga 22 April 2017 lalu di UniKL MFI, Bangi bagi bidang Mechanical Engineering Design manakala bagi baki lapan bidang pembinaan telah diadakan pada 24 hingga 27 April 2017 di ABM Wilayah Utara, Sintok, Kedah.

Para pemenang berpeluang untuk mewakili Malaysia ke ASEAN Skills Competition (ASC) yang bakal berlangsung di Bangkok, Thailand pada 2018 seterusnya berpeluang dipilih ke peringkat World Skills Competition (WSC) 2019 di Kazan, Rusia. WSMB turut bertindak sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat tentang pentingnya bidang kemahiran kepada pembangunan negara.

Turut diperkenalkan sewaktu acara perasmian adalah sembilan orang peserta Kebangsaan bidang pembinaan yang akan mewakili Malaysia ke World Skills Competition (WSC) 2017 yang bakal berlangsung di Abu Dhabi, UAE pada 8 hingga 20 Oktober 2017. Mereka ini merupakan peserta yang dipilih daripada WSMB 2015 dan ASC 2016.

Para peserta yang membawa cabaran Negara tersebut ialah Muhammad Zulhilmi bin Mohd Saberi (ADTEC Shah Alam) bidang Welding, Marinsun Lanun (ABM Sabah) Wall & Floor Tiling, Ku Siti Khadijah binti Ku Pera (GIATMARA Arau) Electrical Installations, Muhamad Din bin Duin (ILP WP Labuan) Bricklaying, Muhammad Zulkifli bin Sahdan (ABM Wilayah Selatan) Painting & Decorating, Muhammad Syafiq bin Tumin (GMI Kajang) Mechanical Engineering Design, Mohammad Afiz bin Ruslan (GIATMARA Putatan) Refrigeration & Air-Conditioning, Mohd Ferdaus bin Zakaria @ Roslan (ILP WP Labuan) Plumbing & Heating dan Amrul Ridwan bin Mohd Azam (ILP Kuala Terengganu) bidang Joinery.

1

PERLIS, 30 JULAI 2017 : Jelajah FTRoadpedia anjuran Kementerian Kerja Raya telah menjangkau perjalanannya sejauh 2,033km melibatkan Jalan-Jalan Persekutuan merangkumi perjelajahan dari FTRoadpedia Zon Tengah (203km), Zon Timur (462km), Zon Selatan (688km) dan Zon Utara (680km). Terkini adalah Zon Utara yang berlangsung dari 24 hingga 26 Julai 2017. Ia merupakan satu hasil YB. Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof dalam mempromosikan jalan persekutuan dengan usaha sama agensi-agensi di bawahnya. Selain itu, hasrat Kementerian ingin memberikan kesegaran pandangan (refreshing outlook) terhadap Jalan Persekutuan.

Berlandaskan slogan “cipta detik indah bersama” (Let’s Create A Moment), jelajah FTRoadpedia ingin mengukir kembali keseronokan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia dengan menikmati kembara budaya dan gaya hidup masyarakat setempat. Antara bandar-bandar utama yang dilalui dalam siri jelajah pada kali ini ialah Ipoh, Georgetown, Alor Setar dan Kangar. Selain itu, Jalan Persekutuan FT01, FT06 dan FT07 turut melalui bandar seperti Rawang, Kuala Kubu Bharu, Tanjung Malim, Slim River, Bidor, Tapah, Gopeng, Kampar, Ipoh, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Taiping, Butterworth, Sungai Petani dan Padang Besar.

Sempena sambutan bulan Kemerdekaan, Jelajah FTRoadpedia Zon Utara turut membawa semangat Ekspresi Negaraku dengan satu kempen kesedaran kepada rakyat mengenai sumbangan besar Jalan Persekutuan. Ini kerana Jalan Persekutuan perlu dilihat sebagai jalan utama dan bukannya jalan pilihan. Jelajah FTRoadpedia masih mengekalkan format yang terdahulu iaitu turut membawa pengamal media (media cetak dan elektronik), blogger dan rakan strategik KKR dalam penjelajahan ini. Ini kerana impak daripada perkongsian dalam media sosial tidak dapat dinafikankan dan amat membanggakan. Selain itu, rombongan Jelajah FTRoadpedia dibawa melihat tapak projek iaitu Projek Menaiktaraf Jalan FT06 Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Projek Membina Jalan Baru Pulau Bunting, Yan, Kedah.

Satu lagi elemen tambahan dalam Jelajah FTRoadpedia Zon Utara ini ialah Audit Pemantauan Pembinaan dan Audit Pematuhan R&R. Ia bertujuan untuk memastikan pihak kontrak dan pemilik R&R mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan. Manakala pada sebelah malam acara Majlis Perasmian Penutup dan Penyerahan Travel Guide Zon Utara dan frame Jelajah FTRoadpedia Zon Utara oleh YB Menteri Kerja Raya kepada YAB Menteri Besar Perlis. FTRoadpedia travel guide dan infomap adalah bahan rujukan berbentuk ensiklopedia yang memberikan informasi khusus mengenai Jalan Jalan Persekutuan adalah jalan-jalan penghubung antara negeri ke satu negeri dan dilabelkan dengan kod F atau FT.

Roadpedia bermaksud JELAJAH BERMAKLUMAT melalui jalan-jalan PERSEKUTUAN (Federal Trunk Road), ianya bertujuan untuk mempromosi dan menggalakkan penggunaan jalan persekutuan sebagai jalan utama. Program ini diharap dapat memberi nafas baru dan perspektif positif kepada Jalan Persekutuan, sambil berpeluang untuk menikmati sosio budaya setempat. Empat informasi yang ada dalam travel guide ialah MAKAN, LAWAT, REHAT dan RAWAT.

1

PULAU PINANG, 30 Julai 2017 : Perlaksanaan Projek menaiktaraf Jalan Persekutuan FT06 dari Teluk Kumbar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas, Pulau Pinang (Ch 4060 hingga 7060) dijangka akan memberi manfaat kepada 196,195 populasi di kawasan Barat Daya Pulau Pinang terutamanya Bayan Lepas, Teluk Kumbar, dan Balik Pulau. Projek ini telah diluluskan dibawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dan merupakan kesinambungan kepada Pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim yang telah mula beroperasi. Pembinaan projek ini telah dimulakan pada 17 Februari 2014 dan dijangka siap mengikut jadual pada 23 Disember 2017. Perlaksanaan projek ini melibatkan kos pembinaan berjumlah RM207,717,871.00 dengan jarak sepanjang 3.0 km bermula dari Kg. Sg. Batu (dari arah Teluk Kumbar) hingga ke Sungai Tiram, Bayan Lepas.

Status kemajuan projek kini ialah 93 peratus sebenar berbanding 94 peratus mengikut jadual. Projek ini dilaksanakan oleh kontraktor tempatan iaitu Image Facade Construction Sdn. Bhd, manakala pihak perunding yang telah dilantik adalah Jurutera Perunding Fajar Sdn. Bhd. Pihak kontraktor dan perunding adalah dibawah seliaan dan pemantauan Pegawai Penguasa (SO) Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang. Skop pembinaan projek ini meliputi kerja pelebaran jalan daripada 2 lorong sedia ada dinaiktaraf kepada 4 lorong. Ia bertujuan menampung peningkatan jumlah kenderaan dan kegiatan ekonomi di kawasan Bayan Lepas hingga ke Teluk Kumbar. Disamping itu, ianya sebagai persediaan untuk menerima limpahan masuk kenderaan dari Jambatan Sultan Abdul Halim yang telah memulakan operasi.

Selain dari menyediakan 4 lorong yang melintasi kawasan Pekan Bayan Lepas, projek ini turut menyediakan 4 lorong bertingkat (flyover) yang menyediakan laluan terus dari arah Lapangan Terbang Pulau Pinang ke Teluk Kumbar. Projek ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih intensif di kawasan Teluk Kumbar dan Balik Pulau, memandangkan laluan terus ini akan memendekkan jarak tempoh perjalanan di antara Bayan Lepas dan Teluk Kumbar. Selain itu, pembangunan ini akan memberi kesan langsung kepada Pekan Balik Pulau yang mempunyai daya tarikan tersendiri. Bangunan Balai Polis Bayan Lepas yang terlibat dalam kawasan pembinaan juga sedang dibina semula melalui kaedah Perjanjian Tambahan (Supplemental Agreement) agar disiapkan sesuai dengan tempoh Kontrak Utama. Begitu juga dengan Bangunan Klinik Vektor Bayan Lepas dan Dewan JKKK Bayan Lepas.

Selain itu, dua Jejantas Pejalan Kaki turut disediakan di dua kawasan yang menjadi tumpuan penduduk, terutamanya pelajar sekolah. Kemudahan yang dibangunkan ini, dijangka akan memberi manfaat langsung serta merancakkan pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat sekitar Bayan Lepas, Teluk Kumbar, dan Balik Pulau.

1

KUALA LUMPUR, 15 JUN 2017 – Lebih 55,000 penunggang motosikal bakal menikmati perjalanan yang lebih selesa dengan pembinaan dua jejambat (overhead bridge) dan kerja-kerja naik taraf di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan yang menelan belanja RM29 juta. Projek naik taraf ini adalah tanda keprihatinan YAB Perdana Menteri yang mengumumkan peruntukan sebanyak RM29 juta dalam Bajet 2017 pada Oktober tahun lalu.

Projek naik taraf di lorong motosikal ini akan bermula bulan ini dan dijangka siap pada April 2018.

Antara kerja-kerja naik taraf yang akan dilaksanakan adalah pembinaan dua buah jejambat (overhead bridge) di Jalan 222 dan bersebelahan, melebarkan jalan sedia ada kepada 3.0 meter (bergantung pada ruang yang ada), menambahbaik rekabentuk geometrik mengikut standard piawaian JKR, menambahbaik sistem perparitan dan pembentungan, menambahbaik jalan susur keluar masuk, menambahbaik rumah pam, naiktaraf sistem pencahayaan di dalam terowong, sebelum dan selepas terowong dan traffic Management Plan (TMP).

Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa memantau dan komited dalam meningkatkan kemudahan lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan. Menteri Kerja Raya kerap kali turun padang untuk melihat sendiri keadaan semasa lorong motosikal. Tahun lalu pada 29 Ogos 2016, YB Dato’ Sri Hj. Fadillah bin Hj. Yusof, bersama pihak Pengurusan Tertinggi Kementerian antaranya, YBhg. Dato’ Sri Zohari bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah JKR Malaysia, telah mengadakan lawatan rasmi ke laluan lorong motosikal, Lebuhraya Persekutuan yang turut disertai rakan-rakan media dan Ahli kelab motosikal bagi mewakili orang awam.

Konsep turun padang ini juga adalah lanjutan daripada aduan yang diterima daripada orang awam selain daripada inisiatif Kementerian untuk mengenalpasti permasalahan yang berlaku dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk menambahbaik lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan sepanjang 28.5km (sehala) ini.

Susulan daripada lawatan tersebut, YB Menteri Kerja Raya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500 ribu untuk melaksanakan kerja-kerja jangka masa pendek bagi meningkatkan tahap keselamatan lorong motorsikal di laluan ini. Kerja-kerja pembaikan dan naiktaraf aspek keselamatan ini telah dimulakan pada 15 September 2016 dan siap sepenuhnya pada 16 Disember 2016.

Antara kerja-kerja naiktaraf yang dilaksanakan ialah mengecat garisan jalan, membaiki/menambah papan tanda, membaikpulih permukaan jalan, pemasangan ‘road stud’, membaiki penutup ‘manhole’, memasang penutup longkang, memasang penghadang jalan, memasang ‘sticker’ pemantul cahaya dan pemasangan ‘fender’ serta kerja-kerja elektrikal.

Sejumlah 8.1km lorong motorsikal diselenggara oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bermula daripada Pintu Gerbang Kota Darul Ehsan hingga ke kawasan Kelab Golf Negara Subang dan selebihnya di bawah selenggaraan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), SPRINT dan PLUS.

Berdasarkan Laporan Banci Lalulintas Kebangsaan 2015 purata sehari menggunakan laluan ini dari arah Klang-Kuala Lumpur adalah sebanyak 26,534 buah motorsikal manakala bagi laluan arah Kuala Lumpur-Klang ialah 28,724 buah motorsikal. Ini menunjukkan ramai penunggang motorsikal mendapat manfaat daripada projek naiktaraf ini.

1

NILAI, 25 MEI 2017: Velodrom Nilai yang dibina pada Januari 2015 dan dikendalikan Jabatan Kerja Raya mempunyai trek sepanjang 250 meter yang diperbuat daripada kayu jenis spruce dengan kapasiti 1,800 tempat duduk penonton serta dilengkapi kemudahan lain seperti ruang pejabat, surau serta 20 fasiliti untuk kegunaan orang kurang upaya (OKU).

Jaguh keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang menyifatkan Velodrom Nasional yang bernilai hampir RM80 juta di sini, adalah antara velodrom terbaik di dunia. Beliau menjadi atlet berbasikal pertama berpeluang menguji trek di dalam velodrom tertutup itu yang masih dalam proses akhir pembinaan dan akan digunakan untuk temasya Sukan SEA Kuala Lumpur dan Sukan Para Asean, masing-masing pada Ogos dan September 2017.

Majlis perasmian Velodrom Nasional Malaysia di Nilai telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof.

Turut hadir bersama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Dr. Mohd Khairi Zawi, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, dan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia(PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab.

Datuk Ng Joo Ngan, M. Kumaresan, Rosman Alwi, Josiah Ng dan juara keirin dunia, Mohd. Azizulhasni Awang hadir menurunkan tandatangan pada plag emas sebagai simbolik perasmian velodrom tertutup pertama di Asia Tenggara.

1

KUALA LUMPUR, 16 MEI 2017: Bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Menteri Kerja Raya YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi warga kerja Kementerian Kerja Raya. Tema bagi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KKR tahun 2017 ialah ’Warga Berprestasi Menjana Produktiviti’.

Sebagai sebuah organisasi yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, pekerja yang cemerlang merupakan penyumbang kepada kebolehupayaan organisasi dalam bergerak maju bagi memenuhi visi dan aspirasi Kementerian.

Seramai 75 orang warga KKR, 665 orang warga JKR, 75 orang warga CIDB, dan 28 orang warga LLM. Ciri-ciri kualiti warga cemerlang adalah responsif, tangkas bertindak, menghargai masa, proaktif, berketrampilan, berdisiplin, kompeten, berintegriti, beriltizam, berfikir di luar kotak dan menghasilkan kerja yang bermutu tinggi.

Gabungan elemen-elemen tersebut dizahirkan oleh warga kerja yang cemerlang terhadap tugas yang membawa kepada peningkatan pencapaian organisasi. Sesungguhnya sikap wargakerja KKR yang cemerlang dapat meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan yang menjadi keutamaan perkhidmatan awam.

1

JOHOR, 9 MEI 2017 : Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) masih dalam peringkat penilaian bagi menentukan kesesuaian turapan jalan yang menggunakan Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (‘Cuplump Modified Asphalt’ – CMA). Bagi negeri Johor lokasi cadangan ialah Projek Membina Semula Jalan Persekutuan FT001 dari Kampung Desa Temu Jodoh (Seksyen 134), hingga Kampung Kwong Sai (Seksyen 174), Daerah Segamat, Johor. Penilaian akhir projek perintis ini sepatutnya mengambil tempoh masa dua tahun bagi menentukan keberkesanan prestasi campuran getah dan bitumen itu.

Namun pasukan penilai bersetuju untuk memendekkan tempoh kajian kepada satu tahun, iaitu sehingga akhir tahun ini. Antara kriteria penilaian yang diambil kira ialah dari segi kos pembinaan, aspek teknikal pembinaan dan ujian kekuatan campuran ‘asphalt’ tersebut. Antara kelebihan penggunaan CMA ialah dapat memberi rintangan lebih baik ke atas faktor-faktor yang boleh menyebabkan kerosakan jalan seperti retakan dan aluran (‘rutting’).

Walaupun kos pembinaan jalan menggunakan CMA lebih tinggi iaitu RM53 permeter berbanding RM29 permeter jika menggunakan kaedah konvensional namun kos penyelenggaraan jalan CMA lebih rendah berbanding jalan konvensional. Untuk tempoh jangka panjang, pembinaan jalan menggunakan CMA mungkin lebih ekonomik memandangkan kos kitaran hayat jalan tersebut akan menjadi semakin murah.

Sehubungan itu, tertakluk kepada hasil laporan penilaian akhir CMA yang dijangka akan diketahui pada awal tahun hadapan (2018) penggunaan teknologi turapan CMA akan dipertimbangkan secara meluas di seluruh negara oleh Kerajaan jika ia benar-benar signifikan dan memberi manfaat dari aspek teknikal dan analisis kos.

1

JOHOR, 8 MEI 2017 : FTRoadpedia Zon Selatan telah memulakan jelajahnya pada 7 hingga 9 Mei 2017, menyusuri perjalanan lebih 600 kilometer, menjengah lokasi menarik, menjamah makanan setempat, meninjau tapak projek dan mengaudit Jalan Persekutuan dari Selangor, Negeri Sembilan, Melaka hingga ke Johor Darul Takzim. Cetusan idea Menteri Kerja Raya YB. Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof bertujuan mengembalikan era kegemilangan jalan-jalan persekutuan yang sewajarnya dekat di hati rakyat. Objektif utama Jelajah FTRoadpedia KKR 2017 adalah mengajak rakyat mengenali dan mendekati ‘jalan lama’ yang kaya dengan kepelbagaian sosio budaya kehidupan masyarakat serta keindahan alam semula jadi.

Selain itu, Kementerian ingin memberi kesegaran pandangan (refreshing outlook) terhadap Jalan Persekutuan yang dibina dan diselenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Dengan slogan “cipta detik indah bersama” (Let’s Create A Moment), jelajah FTroadpedia ingin mengukir kembali keseronokan yang pernah dikecapi oleh rakyat Malaysia bagai menikmati kembara budaya dan gaya hidup masyarakat setempat. Kerajaan sudah membina lebih 19,822 kilometer (status tahun 2015) rangkaian Jalan Persekutuan. Terbaiknya, Jalan Persekutuan ini percuma, dibina untuk memudahkan pergerakan rakyat dan menjadi JALAN UTAMA menghubungkan bandar, kota, pekan dan kampong di seluruh tanah air.

Program Jelajah FTRoadpedia Zon Selatan, siri tiga melibatkan laluan Jalan Persekutuan di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Perjalanan kali ini membabitkan FT01, FT05, FT19, FT95, FT52 dan FT23 yang melibatkan laluan sepanjang 462 km. Jumlah keseluruhan ialah 1,353 km yang telah dilalui dalam Jelajah FTRoadpedia, Kementerian Kerja Raya. Turut menyertai program jelajah ini ialah pengamal media yang terdiri daripada media cetak dan elektronik. Sebanyak 15 agensi media telah dijemput untuk melihat dan merasai sendiri kesegaran dan pengalaman baru dalam menggunakan jalan persekutuan sebagai jalan utama menuju destinasi percutian.

Semasa jelajah ini juga rombongan FT dan para media di bawa melihat projek-projek pembangunan yang sedang rancak dijalankan seperti Lawatan Jambatan Parit Keliling Batu Pahat. Projek jambatan ini adalah projek menggantikan jambatan sedia ada. Pembangunan yang pesat di kawasan ini akan bertambah rancak dengan adanya jambatan yang lebih baik bagi menghubungkan kawasan sekitar. Secara tidak langsung, ia mampu menggalakkan pembangunan kawasan setempat dan memajukan masyarakat sekitarnya. Lawatan projek diteruskan lagi ke Projek Menaiktaraf Jalan Muar-Tangkak-Segamat, Johor (Fasa 1: Segamat-Tangkak) Pakej 3. Projek ini melibatkan pelebaran jalan daripada 2 lorong sedia ada dinaiktaraf kepada 4 lorong. Ia bertujuan menampung peningkatan jumlah kenderaan dan kegiatan ekonomi di kawasan luar bandar.

Pada sebelah malam, Majlis Perasmian Penutup dan acara simbolik program penyerahan Travel Guide Zon Selatan oleh YBhg. Ketua Pengarah Kerja Raya kepada YAB Menteri Besar Johor dan YB Menteri Kerja Raya serta penyerahan plak Jelajah FTRoadpedia Zon Selatan oleh YB Menteri Kerja Raya kepada YAB Menteri Besar Johor. Menariknya, Travel Guide FTRoadpedia siri 3 ini adalah buku panduan yang lengkap untuk pengguna yang mahu bercuti, bersantai, berkursus mahu pun pulang ke kampong ketika musim perayaan. Diharapkan program seumpama ini dapat memberi persepsi positif di kalangan rakyat mengenai keprihatinan dan usaha kerajaan menyediakan infrastruktur yang berkualiti dan bertaraf tinggi untuk kemudahan rakyat khususnya jalan raya. Inisiatif berterusan ini diharap dapat membantu meningkatkan industri pelancongan dan ekonomi setempat di sepanjang Jalan Persekutuan yang semakin dilupakan.

1

KUALA LUMPUR, 13 APRIL 2017 – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Malaysia hari ini melancarkan Minggu Pembinaan Antarabangsa 2017 (ICW 2017) yang memberi fokus kepada mencetus perbincangan antara pemimpin berwawasan dalam bidang kualiti dan keselamatan, salah satu teras transformasi industri pembinaan Malaysia.

Malah, semasa ICW 2017, Menteri Kerja Raya Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof akan pengerusikan perbincangan meja bulat dengan penggiat industri pada Persidangan Kepimpinan Keselamatan Pembinaan Antarabangsa yang julung kali diadakan sempena edisi ICW ke 17 bagi memajukan prestasi keselamatan dan kesihatan dalam industri.

Mengulas tema ICW 2017 “Ke Arah Meningkatkan Kualiti dan Keselamatan Dalam Pembinaan”, Dato’ Sri Haji Fadillah berkata: “Kualiti dan keselamatan sentiasa dipentingkan dalam industri pembinaan. Di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP), Kualiti, Keselamatan dan Profesionalisme merupakan teras strategik pertama dalam agenda transformasi industri. Kualiti dan keselamatan, apabila digabungkan, akan menjadi formula amat berkesan untuk meningkatkan imej dan persepsi industri pembinaan Malaysia di khalayak ramai dan seluruh dunia.

Sementara itu, Persidangan Kepimpinan Keselamatan Pembinaan Antarabangsa yang merupakan satu acara kemuncak ICW 2017 akan memaparkan pembentangan Construction Design Management (CDM) yang merupakan rujukan utama industri pembinaan yang lebih selamat dan berkualiti tinggi. CDM adalah peraturan mandatori yang dilaksanakan di United Kingdom dan Singapura dengan prinsip Prevention Through Design (pencegahan melalui reka bentuk) di mana setiap pihak dalam proses pembinaan daripada peringkat konsep hingga siap adalah bertanggungjawab untuk kesihatan, keselamatan dan kebajikan projek. Dengan ini, CDM memastikan risiko kesihatan dan keselamatan dapat dijangka dan diurus pada setiap peringkat proses pembinaan.

Berasaskan CDM, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah merangka Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Industri Pembinaan yang meletakkan Keselamatan dan Kesihatan sebagai fokus sepanjang proses pembinaan dari konsep, reka bentuk hingga perancangan dan pengurusan projek-projek binaan. Ia menyediakan industri untuk melihat keselamatan dan kesihatan sebagai sesuatu yang perlu dan dianggap normal dalam pembangunan projek.

Turut berlangsung pada perasmian ICW 2017 ialah majlis penyerahan Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Industri Pembinaan oleh Ketua Pengarah JKKP Dato’ Ir Mohtar Musri kepada ketua-ketua agensi di bawah Kementerian Kerja Raya.

ICW 2017 menjadi tuan rumah kepada 15,000 profesional industri daripada komuniti pembinaan antarabangsa untuk bertemu dan berkongsi idea. Lebih 100 peserta mempamerkan produk, teknologi, projek dan juga menjalin perkongsian baru di Ecobuild Southeast Asia, pameran utama acara tahunan berprestij itu.

Pelbagai aktiviti juga diadakan sempena ICW 2017 bagi menarik minat mereka yang ingin menceburi industri pembinaan sebagai profesional, seperti Pameran Kerjaya Pembinaan, Pertandingan Idea Terbuka dan Chemical Research Paper Competition.