Langkau ke kandungan utama
1

Perasmian Velodrom Nasional Malaysia

NILAI, 25 MEI 2017: Velodrom Nilai yang dibina pada Januari 2015 dan dikendalikan Jabatan Kerja Raya mempunyai trek sepanjang 250 meter yang diperbuat daripada kayu jenis spruce dengan kapasiti 1,800 tempat duduk penonton serta dilengkapi kemudahan lain seperti ruang pejabat, surau serta 20 fasiliti untuk kegunaan orang kurang upaya (OKU).

Jaguh keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang menyifatkan Velodrom Nasional yang bernilai hampir RM80 juta di sini, adalah antara velodrom terbaik di dunia. Beliau menjadi atlet berbasikal pertama berpeluang menguji trek di dalam velodrom tertutup itu yang masih dalam proses akhir pembinaan dan akan digunakan untuk temasya Sukan SEA Kuala Lumpur dan Sukan Para Asean, masing-masing pada Ogos dan September 2017.

Majlis perasmian Velodrom Nasional Malaysia di Nilai telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof.

Turut hadir bersama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Dr. Mohd Khairi Zawi, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, dan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia(PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab.

Datuk Ng Joo Ngan, M. Kumaresan, Rosman Alwi, Josiah Ng dan juara keirin dunia, Mohd. Azizulhasni Awang hadir menurunkan tandatangan pada plag emas sebagai simbolik perasmian velodrom tertutup pertama di Asia Tenggara.

Tarikh Dan Waktu Acara