Langkau ke kandungan utama
1

PROJEK MENAIKTARAF JALAN PERSEKUTUAN FT06 DARI TELUK KUMBAR KE LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA PULAU PINANG, BAYAN LEPAS, PULAU PINANG

PULAU PINANG, 30 Julai 2017 : Perlaksanaan Projek menaiktaraf Jalan Persekutuan FT06 dari Teluk Kumbar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas, Pulau Pinang (Ch 4060 hingga 7060) dijangka akan memberi manfaat kepada 196,195 populasi di kawasan Barat Daya Pulau Pinang terutamanya Bayan Lepas, Teluk Kumbar, dan Balik Pulau. Projek ini telah diluluskan dibawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dan merupakan kesinambungan kepada Pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim yang telah mula beroperasi. Pembinaan projek ini telah dimulakan pada 17 Februari 2014 dan dijangka siap mengikut jadual pada 23 Disember 2017. Perlaksanaan projek ini melibatkan kos pembinaan berjumlah RM207,717,871.00 dengan jarak sepanjang 3.0 km bermula dari Kg. Sg. Batu (dari arah Teluk Kumbar) hingga ke Sungai Tiram, Bayan Lepas.

Status kemajuan projek kini ialah 93 peratus sebenar berbanding 94 peratus mengikut jadual. Projek ini dilaksanakan oleh kontraktor tempatan iaitu Image Facade Construction Sdn. Bhd, manakala pihak perunding yang telah dilantik adalah Jurutera Perunding Fajar Sdn. Bhd. Pihak kontraktor dan perunding adalah dibawah seliaan dan pemantauan Pegawai Penguasa (SO) Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang. Skop pembinaan projek ini meliputi kerja pelebaran jalan daripada 2 lorong sedia ada dinaiktaraf kepada 4 lorong. Ia bertujuan menampung peningkatan jumlah kenderaan dan kegiatan ekonomi di kawasan Bayan Lepas hingga ke Teluk Kumbar. Disamping itu, ianya sebagai persediaan untuk menerima limpahan masuk kenderaan dari Jambatan Sultan Abdul Halim yang telah memulakan operasi.

Selain dari menyediakan 4 lorong yang melintasi kawasan Pekan Bayan Lepas, projek ini turut menyediakan 4 lorong bertingkat (flyover) yang menyediakan laluan terus dari arah Lapangan Terbang Pulau Pinang ke Teluk Kumbar. Projek ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih intensif di kawasan Teluk Kumbar dan Balik Pulau, memandangkan laluan terus ini akan memendekkan jarak tempoh perjalanan di antara Bayan Lepas dan Teluk Kumbar. Selain itu, pembangunan ini akan memberi kesan langsung kepada Pekan Balik Pulau yang mempunyai daya tarikan tersendiri. Bangunan Balai Polis Bayan Lepas yang terlibat dalam kawasan pembinaan juga sedang dibina semula melalui kaedah Perjanjian Tambahan (Supplemental Agreement) agar disiapkan sesuai dengan tempoh Kontrak Utama. Begitu juga dengan Bangunan Klinik Vektor Bayan Lepas dan Dewan JKKK Bayan Lepas.

Selain itu, dua Jejantas Pejalan Kaki turut disediakan di dua kawasan yang menjadi tumpuan penduduk, terutamanya pelajar sekolah. Kemudahan yang dibangunkan ini, dijangka akan memberi manfaat langsung serta merancakkan pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat sekitar Bayan Lepas, Teluk Kumbar, dan Balik Pulau.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita