Langkau ke kandungan utama
1

Minggu Pembinaan Antarabangsa 2017: Kualiti dan Keselamatan Pacu Transformasi Industri Pembinaan

KUALA LUMPUR, 13 APRIL 2017 – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Malaysia hari ini melancarkan Minggu Pembinaan Antarabangsa 2017 (ICW 2017) yang memberi fokus kepada mencetus perbincangan antara pemimpin berwawasan dalam bidang kualiti dan keselamatan, salah satu teras transformasi industri pembinaan Malaysia.

Malah, semasa ICW 2017, Menteri Kerja Raya Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof akan pengerusikan perbincangan meja bulat dengan penggiat industri pada Persidangan Kepimpinan Keselamatan Pembinaan Antarabangsa yang julung kali diadakan sempena edisi ICW ke 17 bagi memajukan prestasi keselamatan dan kesihatan dalam industri.

Mengulas tema ICW 2017 “Ke Arah Meningkatkan Kualiti dan Keselamatan Dalam Pembinaan”, Dato’ Sri Haji Fadillah berkata: “Kualiti dan keselamatan sentiasa dipentingkan dalam industri pembinaan. Di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP), Kualiti, Keselamatan dan Profesionalisme merupakan teras strategik pertama dalam agenda transformasi industri. Kualiti dan keselamatan, apabila digabungkan, akan menjadi formula amat berkesan untuk meningkatkan imej dan persepsi industri pembinaan Malaysia di khalayak ramai dan seluruh dunia.

Sementara itu, Persidangan Kepimpinan Keselamatan Pembinaan Antarabangsa yang merupakan satu acara kemuncak ICW 2017 akan memaparkan pembentangan Construction Design Management (CDM) yang merupakan rujukan utama industri pembinaan yang lebih selamat dan berkualiti tinggi. CDM adalah peraturan mandatori yang dilaksanakan di United Kingdom dan Singapura dengan prinsip Prevention Through Design (pencegahan melalui reka bentuk) di mana setiap pihak dalam proses pembinaan daripada peringkat konsep hingga siap adalah bertanggungjawab untuk kesihatan, keselamatan dan kebajikan projek. Dengan ini, CDM memastikan risiko kesihatan dan keselamatan dapat dijangka dan diurus pada setiap peringkat proses pembinaan.

Berasaskan CDM, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah merangka Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Industri Pembinaan yang meletakkan Keselamatan dan Kesihatan sebagai fokus sepanjang proses pembinaan dari konsep, reka bentuk hingga perancangan dan pengurusan projek-projek binaan. Ia menyediakan industri untuk melihat keselamatan dan kesihatan sebagai sesuatu yang perlu dan dianggap normal dalam pembangunan projek.

Turut berlangsung pada perasmian ICW 2017 ialah majlis penyerahan Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Industri Pembinaan oleh Ketua Pengarah JKKP Dato’ Ir Mohtar Musri kepada ketua-ketua agensi di bawah Kementerian Kerja Raya.

ICW 2017 menjadi tuan rumah kepada 15,000 profesional industri daripada komuniti pembinaan antarabangsa untuk bertemu dan berkongsi idea. Lebih 100 peserta mempamerkan produk, teknologi, projek dan juga menjalin perkongsian baru di Ecobuild Southeast Asia, pameran utama acara tahunan berprestij itu.

Pelbagai aktiviti juga diadakan sempena ICW 2017 bagi menarik minat mereka yang ingin menceburi industri pembinaan sebagai profesional, seperti Pameran Kerjaya Pembinaan, Pertandingan Idea Terbuka dan Chemical Research Paper Competition.

Tarikh Dan Waktu Acara