Langkau ke kandungan utama
1

PROJEK PERINTIS CMA - KAMPUNG DESA TEMU JODOH

JOHOR, 9 MEI 2017 : Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) masih dalam peringkat penilaian bagi menentukan kesesuaian turapan jalan yang menggunakan Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (‘Cuplump Modified Asphalt’ – CMA). Bagi negeri Johor lokasi cadangan ialah Projek Membina Semula Jalan Persekutuan FT001 dari Kampung Desa Temu Jodoh (Seksyen 134), hingga Kampung Kwong Sai (Seksyen 174), Daerah Segamat, Johor. Penilaian akhir projek perintis ini sepatutnya mengambil tempoh masa dua tahun bagi menentukan keberkesanan prestasi campuran getah dan bitumen itu.

Namun pasukan penilai bersetuju untuk memendekkan tempoh kajian kepada satu tahun, iaitu sehingga akhir tahun ini. Antara kriteria penilaian yang diambil kira ialah dari segi kos pembinaan, aspek teknikal pembinaan dan ujian kekuatan campuran ‘asphalt’ tersebut. Antara kelebihan penggunaan CMA ialah dapat memberi rintangan lebih baik ke atas faktor-faktor yang boleh menyebabkan kerosakan jalan seperti retakan dan aluran (‘rutting’).

Walaupun kos pembinaan jalan menggunakan CMA lebih tinggi iaitu RM53 permeter berbanding RM29 permeter jika menggunakan kaedah konvensional namun kos penyelenggaraan jalan CMA lebih rendah berbanding jalan konvensional. Untuk tempoh jangka panjang, pembinaan jalan menggunakan CMA mungkin lebih ekonomik memandangkan kos kitaran hayat jalan tersebut akan menjadi semakin murah.

Sehubungan itu, tertakluk kepada hasil laporan penilaian akhir CMA yang dijangka akan diketahui pada awal tahun hadapan (2018) penggunaan teknologi turapan CMA akan dipertimbangkan secara meluas di seluruh negara oleh Kerajaan jika ia benar-benar signifikan dan memberi manfaat dari aspek teknikal dan analisis kos.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita