Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

MERSING, 5 Februari 2018: Jalan Persekutuan FT003 Johor Bahru – Kuantan di Mersing yang terputus akibat tanah runtuh pada 15 Januari 2018 yang lalu berjaya dibuka semula kepada kenderaan umum hasil tindakan pantas dan kerjasama erat antara Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Kementerian Kerja Raya (KKR), JKR Johor dan JKR Daerah Mersing.

Satu laluan sementara telah dibina di lokasi yang sama dalam tempoh 15 hari membolehkan ia dibuka kepada kenderaan ringan bermula 31 Januari 2018 manakala untuk kenderaan berat bermula pada 5 Februari 2018. Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof telah mengadakan lawatan kerja meninjau hasil kerja pembaikan laluan tersebut dengan lebih dekat.

Kronologi bencana ini bermula pada 15 Januari lalu dimana berpunca daripada hujan yang berterusan selama beberapa hari berturut-turut dan mengakibatkan hakisan dengan kedalaman 15 meter dan panjang 80 meter di KM 16 laluan tersebut, kerosakan struktur cerun serta kerosakan utiliti yang menyebabkan laluan tersebut ditutup kepada semua kenderaan.

Bagi memastikan penduduk sekitar tidak terputus hubungan, jalan alternatif telah diaktifkan iaitu Jalan Batu Pahat - Jemaluang (FT050), Jalan Nitar Utama (FT1397) dan Jalan Nitar - Pengkalan Batu (FT1425) sementara kerja pembaikan dijalankan.

Dengan penyiapan kerja membaikpulih jangka pendek ini, dianggarkan sebanyak 10 ribu kenderaan yang menggunakan laluan tersebut dalam sehari bakal mendapat manfaat memandangkan ia laluan utama penduduk Johor Timur ke Kuantan Pahang dan sebaliknya.

1

KUALA LUMPUR, 25 Januari 2018: 2018 dibuka tirai dengan amanat dari Menteri Kerja Raya YB. Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof pada perhimpunan bulan bagi bulan Januari. Majlis telah berlangsung di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid yang dihadiri oleh semua warga Kerja Raya.

Dikesempatan perhimpunan pada awal tahun ini, beliau amat menaruh harapan tinggi kepada warga kerja raya, untuk sama-sama berniat, berazam dan bertekad bagi memberikan perkhidmatan paling terbaik dengan berfikir di luar kotak kelaziman, kreatif dan inovatif, untuk mengangkat kementerian kita ke tahap yang jauh lebih cemerlang. Jika tahun 2017 lalu, adalah merupakan Tahun Penyampaian, tahun 2018 pula telah diisytiharkan oleh YAB Perdana Menteri sebagai tahun kejayaan dan keberhasilan yang mengagumkan atau year of success and impressive result.

Beliau juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pegawai-pegawai Kementerian dan Agensi yang telah memberi komitmen padu dan memainkan peranan yang sewajarnya sehingga membawa kejayaan kepada pencapaian skor 110 peratus bagi KPI YB Menteri sehingga 31 Disember 2017.

Menteri Kerja Raya juga menyeru semua warga Kerja Raya bangkit untuk sama – sama berjuang bagi mengekalkan kestabilan Negara kerana dengan kestabilanlah yang dapat menjamin semua yang kita capai sekarang ini akan terus kekal.

1

KUALA LUMPUR, 24 Januari 2018: Majlis menghargai jasa bakti YBhg. Sr Ratna binti Haji Mahyuddin, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) dan YBhg. Dato’ Ir. Hj. Hamizan bin Mohd Inzan, Pengarah Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan telah diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid dan dihadiri oleh tetamu kehormat iaitu YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya, diiringi oleh YBhg. Dato' Sri Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato' Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Ir. Haji Ismail bin Md. Salleh, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Pegawai-Pegawai Pengurusan Tertinggi KKR dan JKR serta Pegawai-Pegawai Kanan JKR.

Majlis dimulakan dengan persembahan multimedia tetamu yang diraikan iaitu YBhg. Dato’ Ir. Hj. Hamizan bin Mohd Inzan dan disusuli pula persembahan multimedia YBhg. Sr Ratna binti Haji Mahyuddin. Seterusnya, tibalah acara yang dinantikan, iaitu ucapan oleh tetamu - tetamu yang diraikan.

Majlis diteruskan dengan ucapan penghargaan oleh YBhg. Dato' Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya, dan disusuli dengan penyampaian cenderahati kenang-kenangan kepada tetamu – tetamu yang diraikan. Selamat bersara dan selamat maju jaya diucapkan kepada YBhg. Sr Ratna binti Haji Mahyuddin dan YBhg. Dato’ Ir. Hj. Hamizan bin Mohd Inzan. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih di atas segala sumbangan dan jasa bakti yang dicurahkan selama berkhidmat bersama JKR. – Portal JKR

1

KUALA LUMPUR, 23 Januari 2018: Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Kerja Raya telah menganjurkan Program Bicara Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya bersama Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) 2018.

Perjumpaan ini dianjurkan dengan tujuan menjadikannya platform komunikasi dua hala antara pihak pengurusan atasan dengan pegawai kumpulan P&P di Kementerian, penyampaian amanat dan aspirasi pihak pengurusan atasan dan pendedahan kefahaman berhubung aspek dasar-dasar kerajaan semasa. Antara intipati amanat Dato’ Sri Zohari Haji Akob ialah para penjawat awam merupakan pelaksana Dasar Kerajaan yang menentukan jangka hayat sesuatu Kerajaan yang memerintah dan perlu sentiasa mengamalkan prinsip wala’ dan taat kepada pemimpin.

Program yang berlangsung selama tiga jam ini berjaya menghimpunkan seramai lebih 150 orang pegawai untuk berkongsi idea dan membincangkan isu-isu terkini.

1

KUCHING, 23 Januari 2018: Pemain industri perlu memberi tumpuan untuk melaksanakan perancangan yang bijak dan mengurangkan kesan penggunaan tenaga oleh industri pembinaan selaras dengan amalan pembangunan lestari. Menteri Kerja Raya YB. Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof berkata inisiatif holistik ini akan memacu ke hadapan bagi industri pembinaan yang mana beliau percaya akan menghasilkan kesejahteraan sosial untuk kemanusiaan.

Beliau berkata, industri pembinaan kini berkembang pesat dan memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, namun ia juga boleh menimbulkan implikasi terhadap alam sekitar jika tidak dikawal selia dengan baik.

Namun dengan lima teras strategik Kementerian Kerja Raya yang menyokong kepada IEW iaitu pembangunan infrastruktur jalan, lebuh raya dan bangunan, kedua penyenggaraan infrastruktur jalan raya dan bangunan, ketiga pemantapan industri pembinaan berteraskan pembanguanan lestari, keempat pemantapan modal insan dan daya saing pengiat industri pembinaan dan yang kelima pemantapan tadbir arus organisasi. Matlamat kepada strategik ini menyediakan infrastruktur selaras dengan keperluan rakyat.

Oleh itu, di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP), Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah membangunkan inisiatif seperti Pemodeling Maklumat Bangunan (BIM) yang akan membantu menguruskan kitaran hayat jalan dan projek pembinaan; mengurangkan penjaaan sisa di tapak; membangunkan kecekapan melalui Pusat Kecemerlangan (CoE) dan membangunkan Standard Malaysia bagi Spesifikasi Pembinaan yang merangkumi keperluan teknologi hijau.

1

KUALA LUMPUR, 21 Januari 2018: Gala Dinner REAM telah berlangsung di Sime Darby Convention Centre, YB. Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof Menteri Kerja Raya telah menyampaikan ucaptama beliau pada malam itu. Dari ucaptama tersebut beliau mengambil kesempatan memuji usaha yang telah dijalankan oleh REAM yang mana bukan sahaja berkaitan dengan kejuruteraan jalan malah melibatkan jaringan interaksi sosial antara pengiat industri.

Selain daripada itu, dalam usaha menggalakkan kecemerlangan pengajian tinggi tempatan, pihak REAM telah membiayai Education Fund Financial Assistance kepada pelajar yang memerlukan dan perbentangan kepada pelajar Final Year Best Civil Engineering Student Project Awards.Oleh itu, para pengiat industri jalan raya harus berbangga dengan inisiatif Nobel ini.

Tambah YB Menteri Kerja Raya lagi, selaras dengan Dasar Pembangunan Kerajaan, jalan luar bandar juga terus berkembang dan dinaik taraf bagi memastikan pembangunan sosio-ekonomi yang seimbang dan inklusif. Malah, beliau juga ingin melihat usaha bersepadu dalam meningkatkan perkhidmatan jalan raya terutamanya dalam pengurusan kesesakan lalulintas, peningkatan keselamatan jalan raya dan penggunaan teknologi baru dalam pembinaan.

Beliau dengan senang hati mengumumkan bahawa Kementerian Kerja Raya telah merangka satu set petunjuk prestasi utama bagi memastikan tahap perkhidmatan yang disediakan, terutama pemegang konsesi tol. Dalam mengukuhkan dan memperkasa industri, beliau menggalakkan pegawai untuk terlibat dalam badan-badan antarabangsa seperti Persatuan Jalan Raya Dunia (PIARC), Persekutuan Jalan Antarabangsa (IRF) dan Persatuan Kejuruteraan Jalan Asia dan Australasia (REAAA) yang mana beliau percaya dapat mendedahkan mereka kepada pengetahuan dan teknologi terkini yang boleh disyorkan untuk diterima pakai dan dilaksanakan di Malaysia.

1

SHAH ALAM, 18 Januari 2018: Menjelang tahun 2020 Kementerian Kerja Raya di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (Construction Industry Transformation Programme - CITP) berhasrat untuk membangun dan menyediakan sekurang-kurangnya lapan pusat penempatan pekerja binaan selari dengan hasrat menjaga kebajikan dan keselamatan para pekerja.

Pada hari ini, satu pembukaan rasmi Penempatan Pekerja Berpusat atau Centralised Labour Quarters (CLQ) CLQ V di Shah Alam telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof. Ia dimiliki oleh Construction Labour Exchange Centre atau CLAB, yang kini merupakan salah satu subsidiari di bawah CIDB.

Pusat penempatan pekerja binaan yang dinamakan CLAB CLQ V di Shah Alam ini bersedia untuk menempatkan seramai 864 orang pekerja di 6 buah blok bangunan dengan 144 buah bilik. Kesemua bilik akan mempunyai 3 katil bertingkat (double-deck beds), loker dan kipas. Bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pekerja terjamin, prasarana berpagar ini dibangunkan lengkap sistem kad akses pekerja, dapur, kemudahan dobi, bilik mandi, kafeteria, kedai runcit, fasiliti sukan dan ibadah. Kemudahan-kemudahan ini adalah setanding dengan pusat penempatan pekerja di luar negara seperti Singapura, UAE dan Hong Kong.

KKR melalui CLAB turut telah mengenal pasti dan membangunkan 2 lagi pusat penempatan pekerja binaan hasil rundingan dengan Penang Development Corporation (PDC) dan Perbadanan Putrajaya bagi mewujudkan pusat penempatan pekerja binaan di Batu Kawan di Pulau Pinang dan Putrajaya yang dijangka akan bersedia untuk beroperasi pada tahun 2018.

CLAB selaku agensi yang bertanggungjawab dalam merancang, menyedia dan memantau pelaksanaan pusat penempatan pekerja binaan ini juga akan menyelia segala kos operasi serta penyelenggaraannya.

1

KUALA LUMPUR, 11 JANUARI 2018: Kompleks Kerja Raya kini mempunyai kemudahan lif yang telah dinaiktaraf agar lebih selesa, moden dan cekap untuk kegunaan seluruh kakitangan dan pelawat ke bangunan ini.

Satu majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Pembaikan Jangka Panjang Untuk Sebelas (11) Unit Lif Dengan Kaedah Modernization telah diadakan di Dewan Tanjung dan dihadiri YBhg. Dato’ Sri Zohari bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya dan YBhg. Dato’ Ir. Dr. Roslan Bin Mohd Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia.

Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diberi tanggungjawab memantau projek ini dan telah berjaya menyiapkan projek ini dalam tempoh masa yang ditetapkan dengan kerjasama erat Cawangan Senggaraan Fasiliti Bangunan dan Kementerian Kerja Raya. Syarikat KCJ Engineering Sdn. Bhd. pula merupakan pihak kontraktor yang dilantik untuk pelaksanaan projek.

Dasar ‘National Blue Ocean Strategy (NBOS)’ telah diterapkan dalam pelaksanaan projek di mana peralatan yang masih baik dikekalkan untuk meminimumkan kos projek, manakala, komponen yang lapuk dan tidak lagi efisyen diganti dengan komponen lebih jimat tenaga. Hasilnya Kompleks Kerja Raya dapat menikmati lif yang hampir setara dengan lif baharu pada kos yang lebih rendah. Ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada Dasar Teknologi Hijau Negara yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada Julai 2009.

1

SHAH ALAM, 31 Disember 2017: Mulai 1 Januari 2018, tiada lagi kutipan tol di Plaza Tol Sg. Rasau, Batu Tiga Dan Bukit Kayu Hitam, Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS) serta Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL). Pemansuhan kutipan tol ini adalah selaras dengan pengumuman YAB Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2018.

Hasrat murni Kerajaan ini berjaya direalisasikan hasil beberapa siri rundingan bersama-sama pihak berkepentingan sebagai bukti keprihatinan Kerajaan dalam mengurangkan kos sara diri dan meningkatkan kualiti hidup rakyat khususnya di Negeri Selangor, Kedah dan Johor.

Dengan pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Sg. Rasau dan Batu Tiga di Selangor, dan Bukit Kayu Hitam, di Kedah, pengguna akan menikmati laluan tanpa tol 20 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi Lebuhraya PLUS. Bagi Lebuhraya EDL pula, pengguna di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hanya perlu membayar kutipan tol bagi PLUS untuk jajaran Tambak Johor sahaja.

Satu majlis simbolik pemansuhan kutipan tol telah diadakan di Plaza Tol Sungai Rasau, Klang yang melibatkan Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi yang berkenaan.

Seramai 270 ribu penduduk sekitar Shah Alam dan Klang, 2800 penduduk sekitar Bukit Kayu Hitam, Kedah dan 42 ribu pengguna harian EDL bakal mendapat manfaat penjimatan kos kewangan hasil rundingan Kerajaan berhubung pemansuhan tol ini. Dianggarkan penduduk sekitar Bukit Kayu Hitam yang menaiki kenderaan Kelas 1 (kereta) memperolehi penjimatan RM79.20 hingga RM108 sebulan.

Bagi pengguna jalanraya Kelas 1 yang melalui Sungai Rasau pula mampu berjimat dari RM92.40 hingga RM126 sebulan manakala pengguna jalanraya Batu Tiga, Shah Alam Kelas 1 mendapat penjimatan sebanyak RM48.40 hingga RM66 sebulan. Pengguna EDL, Johor pula jimat sebanyak RM299.20 sebulan.

Berikutan pemansuhan kutipan tol ini, operasi dan penyenggaraan keseluruhan jajaran Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2) dan Lebuhraya PLUS antara Bukit Kayu Hitam hingga Paya Kemunting, Jitra, Kedah serta Lebuhraya EDL akan diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR). Kesemua jajaran lebuh raya yang terlibat ini diwartakan sebagai Jalan Persekutuan.

1

JOHOR, 12 Disember 2107: Pembangunan infrastruktur kawasan Pengerang terus dilaksanakan Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya selaku agensi pelaksana dengan pembinaan jalan baharu iaitu jalan daripada FT92 ke Pusat Latihan Rekrut (PULAREK) yang bakal memberi manfaat kepada 20,000 penduduk dan pemain industri di kawasan Pengerang seterusnya memberi sokongan kepada Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Jalan baharu ini menggantikan jalan sedia ada yang telah ditutup bagi pengoperasian Terminal Laut Dalam Pengerang (Pengerang Deepwater Terminal). Skop kerja utama projek bernilai RM280 juta ini ialah membina jalan baharu dua lorong dua hala sepanjang 14 km dengan piawaian JKR R5, membina dua jambatan merentasi Sungai Lepau dan Sungai Pinang, dan membina dua “roundabout” bagi membolehkan penyambungan ke jalan-jalan baharu di masa akan datang.

Turut dibina ialah “under-pass” sebagai akses bagi penduduk Kampung Lepau, dua persimpangan iaitu di Jalan FT92 dan di Pekan Pengerang, pemasangan lampu jalan dan perabot jalan serta utiliti Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan paip air SAJ-Ranhill Berhad.

Antara impak positif hasil pembinaan jalan baharu ini ialah penjimatan masa perjalanan dari Tanjung Pengelih ke Sungai Rengit daripada 60 minit kepada 15 hingga 20 minit selain ia membolehkan pembangunan industri minyak dan gas berkembang dengan lebih pesat kerana jalan ini merupakan jalan utama yang menghubungkan kawasan Refinery And Petrochemical Integrated Development (RAPID) milik PETRONAS ke Lebuhraya Senai – Desaru.

Disamping itu, kesan pembinaan ini membolehkan kawasan dipersekitaran jalan baharu ini iaitu kawasan Tanjung Pengelih dan Pekan Pengerang dibangunkan untuk tujuan komersil dan juga perumahan.

Projek jalan baharu ini bermula pada 18 Mac 2014 dan siap pada 6 Disember 2017. Ia dibina oleh kontraktor NZ Bina Sdn. Bhd. dan perasmiannya telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Besar Johor bersama-sama YB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya hari ini.