Langkau ke kandungan utama
1

Projek Infrastruktur Pengerang: Jalan FT92 ke PULAREK

JOHOR, 12 Disember 2107: Pembangunan infrastruktur kawasan Pengerang terus dilaksanakan Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya selaku agensi pelaksana dengan pembinaan jalan baharu iaitu jalan daripada FT92 ke Pusat Latihan Rekrut (PULAREK) yang bakal memberi manfaat kepada 20,000 penduduk dan pemain industri di kawasan Pengerang seterusnya memberi sokongan kepada Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Jalan baharu ini menggantikan jalan sedia ada yang telah ditutup bagi pengoperasian Terminal Laut Dalam Pengerang (Pengerang Deepwater Terminal). Skop kerja utama projek bernilai RM280 juta ini ialah membina jalan baharu dua lorong dua hala sepanjang 14 km dengan piawaian JKR R5, membina dua jambatan merentasi Sungai Lepau dan Sungai Pinang, dan membina dua “roundabout” bagi membolehkan penyambungan ke jalan-jalan baharu di masa akan datang.

Turut dibina ialah “under-pass” sebagai akses bagi penduduk Kampung Lepau, dua persimpangan iaitu di Jalan FT92 dan di Pekan Pengerang, pemasangan lampu jalan dan perabot jalan serta utiliti Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan paip air SAJ-Ranhill Berhad.

Antara impak positif hasil pembinaan jalan baharu ini ialah penjimatan masa perjalanan dari Tanjung Pengelih ke Sungai Rengit daripada 60 minit kepada 15 hingga 20 minit selain ia membolehkan pembangunan industri minyak dan gas berkembang dengan lebih pesat kerana jalan ini merupakan jalan utama yang menghubungkan kawasan Refinery And Petrochemical Integrated Development (RAPID) milik PETRONAS ke Lebuhraya Senai – Desaru.

Disamping itu, kesan pembinaan ini membolehkan kawasan dipersekitaran jalan baharu ini iaitu kawasan Tanjung Pengelih dan Pekan Pengerang dibangunkan untuk tujuan komersil dan juga perumahan.

Projek jalan baharu ini bermula pada 18 Mac 2014 dan siap pada 6 Disember 2017. Ia dibina oleh kontraktor NZ Bina Sdn. Bhd. dan perasmiannya telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Besar Johor bersama-sama YB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya hari ini.

Tarikh Dan Waktu Acara