Langkau ke kandungan utama
1

Perasmian Pusat Penempatan Pekerja Binaan CLAB CLQ V

SHAH ALAM, 18 Januari 2018: Menjelang tahun 2020 Kementerian Kerja Raya di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (Construction Industry Transformation Programme - CITP) berhasrat untuk membangun dan menyediakan sekurang-kurangnya lapan pusat penempatan pekerja binaan selari dengan hasrat menjaga kebajikan dan keselamatan para pekerja.

Pada hari ini, satu pembukaan rasmi Penempatan Pekerja Berpusat atau Centralised Labour Quarters (CLQ) CLQ V di Shah Alam telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof. Ia dimiliki oleh Construction Labour Exchange Centre atau CLAB, yang kini merupakan salah satu subsidiari di bawah CIDB.

Pusat penempatan pekerja binaan yang dinamakan CLAB CLQ V di Shah Alam ini bersedia untuk menempatkan seramai 864 orang pekerja di 6 buah blok bangunan dengan 144 buah bilik. Kesemua bilik akan mempunyai 3 katil bertingkat (double-deck beds), loker dan kipas. Bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pekerja terjamin, prasarana berpagar ini dibangunkan lengkap sistem kad akses pekerja, dapur, kemudahan dobi, bilik mandi, kafeteria, kedai runcit, fasiliti sukan dan ibadah. Kemudahan-kemudahan ini adalah setanding dengan pusat penempatan pekerja di luar negara seperti Singapura, UAE dan Hong Kong.

KKR melalui CLAB turut telah mengenal pasti dan membangunkan 2 lagi pusat penempatan pekerja binaan hasil rundingan dengan Penang Development Corporation (PDC) dan Perbadanan Putrajaya bagi mewujudkan pusat penempatan pekerja binaan di Batu Kawan di Pulau Pinang dan Putrajaya yang dijangka akan bersedia untuk beroperasi pada tahun 2018.

CLAB selaku agensi yang bertanggungjawab dalam merancang, menyedia dan memantau pelaksanaan pusat penempatan pekerja binaan ini juga akan menyelia segala kos operasi serta penyelenggaraannya.

Tarikh Dan Waktu Acara