KKR TINJAU PROJEK INFRASTRUKTUR DI MUAR, PASTIKAN MANFAAT KEPADA RAKYAT TERUS DIPERKASA | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

KKR TINJAU PROJEK INFRASTRUKTUR DI MUAR, PASTIKAN MANFAAT KEPADA RAKYAT TERUS DIPERKASA

MUAR – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr Ahmad Maslan turun padang bersama pegawai Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Muar bagi meninjau pelaksanaan projek pembangunan serta menilai penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat. Lawatan ini selaras komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan pembangunan jalan, jambatan, bangunan awam dan fasiliti pendidikan dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

JKR Daerah Muar memaklumkan penyelenggaraan meliputi Jalan Persekutuan sepanjang 107.31 km dan Jalan Negeri 275.96 km merangkumi kerja rutin, berkala, turapan dan bukan turapan, saliran, pembetung serta cerun. Sehingga Mei 2026, sebanyak RM6.55 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan termasuk pembaikan jalan, sistem perparitan serta penambahbaikan perabot jalan dan papan tanda.

Dalam masa sama, satu Projek Jalan Persekutuan bernilai RM61 juta dan satu Projek Jalan Negeri bernilai RM19.35 juta sedang dilaksanakan. Sebanyak dua Projek Bangunan Persekutuan bernilai RM3.1 juta turut dilaksanakan melibatkan Pembinaan Baru Dewan Serbaguna Felcra dan Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung (DSTB) Sekolah.

Sebanyak RM7.3 juta turut diperuntukkan bagi satu Projek Naik Taraf dan Penyelenggaraan Bangunan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN). JKR turut merancang Projek Membina Jalan Baru (bypass) dari Bakri ke Pagoh bagi mengurangkan kesesakan trafik di pekan Bakri dan pekan Bukit Pasir ke jalan utama bandar Muar dan menghala ke tol Pagoh disamping menyokong pertumbuhan penduduk yang semakin meningkat terutama susulan pembangunan kawasan perumahan Scientex Bakri dan Muar Furniture Hub.

KKR kekal komited memastikan semua projek dilaksanakan mengikut jadual, mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti, serta memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi setempat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4