Langkau ke kandungan utama
1

Pemansuhan Kutipan Tol Di Empat Plaza Tol Bukti Keprihatinan Kerajaan

SHAH ALAM, 31 Disember 2017: Mulai 1 Januari 2018, tiada lagi kutipan tol di Plaza Tol Sg. Rasau, Batu Tiga Dan Bukit Kayu Hitam, Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS) serta Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL). Pemansuhan kutipan tol ini adalah selaras dengan pengumuman YAB Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2018.

Hasrat murni Kerajaan ini berjaya direalisasikan hasil beberapa siri rundingan bersama-sama pihak berkepentingan sebagai bukti keprihatinan Kerajaan dalam mengurangkan kos sara diri dan meningkatkan kualiti hidup rakyat khususnya di Negeri Selangor, Kedah dan Johor.

Dengan pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Sg. Rasau dan Batu Tiga di Selangor, dan Bukit Kayu Hitam, di Kedah, pengguna akan menikmati laluan tanpa tol 20 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi Lebuhraya PLUS. Bagi Lebuhraya EDL pula, pengguna di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hanya perlu membayar kutipan tol bagi PLUS untuk jajaran Tambak Johor sahaja.

Satu majlis simbolik pemansuhan kutipan tol telah diadakan di Plaza Tol Sungai Rasau, Klang yang melibatkan Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi yang berkenaan.

Seramai 270 ribu penduduk sekitar Shah Alam dan Klang, 2800 penduduk sekitar Bukit Kayu Hitam, Kedah dan 42 ribu pengguna harian EDL bakal mendapat manfaat penjimatan kos kewangan hasil rundingan Kerajaan berhubung pemansuhan tol ini. Dianggarkan penduduk sekitar Bukit Kayu Hitam yang menaiki kenderaan Kelas 1 (kereta) memperolehi penjimatan RM79.20 hingga RM108 sebulan.

Bagi pengguna jalanraya Kelas 1 yang melalui Sungai Rasau pula mampu berjimat dari RM92.40 hingga RM126 sebulan manakala pengguna jalanraya Batu Tiga, Shah Alam Kelas 1 mendapat penjimatan sebanyak RM48.40 hingga RM66 sebulan. Pengguna EDL, Johor pula jimat sebanyak RM299.20 sebulan.

Berikutan pemansuhan kutipan tol ini, operasi dan penyenggaraan keseluruhan jajaran Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2) dan Lebuhraya PLUS antara Bukit Kayu Hitam hingga Paya Kemunting, Jitra, Kedah serta Lebuhraya EDL akan diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR). Kesemua jajaran lebuh raya yang terlibat ini diwartakan sebagai Jalan Persekutuan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita