Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KUALA LUMPUR, 11 APRIL 2017 - Kementerian Kerja Raya (KKR) julung kalinya menganjurkan Konvensyen Usahanita Binaan (KUBINA) 2017 kali Ke-4 bersama rakan strategik iaitu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bertempat di MATRADE Kuala Lumpur bertemakan “Wanita Pemacu Inovasi Negara”. Konvensyen telah berjaya menarik minat 600 penyertaan terdiri daripada usahanita dan wanita profesional. Konvensyen ini turut mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Wanita Industri Binaan Malaysia (WIBM).

Majlis penutupan KUBINA 2017 disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof yang turut melawat 18 gerai pameran yang mempamerkan maklumat terkini, produk dan perkhidmatan berkaitan industri pembinaan.

Objektif utama penganjuran konvensyen ini adalah untuk membina ruang intelek dan diskusi yang aktif dan proaktif, membuka peluang dan potensi perniagaan, mengembangkan budaya penerokaan ilmu serta menjadi platform usahanita bertukar idea dan rangkaian.

Antara pencapaian KUBINA sejak pelaksanaannya pada 2014 adalah penubuhan persatuan Wanita Industri Binaan Malaysia (WIBM) yang merupakan salah satu resolusi KUBINA 2014 yang bertujuan untuk menyediakan rangkaian kerjasama di kalangan wanita dalam industri pembinaan. WIBM juga giat dalam usaha menarik minat wanita generasi muda untuk berkecimpung dalam sektor pembinaan melalui ceramah kerjaya dan roadshow di sekolah-sekolah menengah dan universiti tempatan.

Di samping penubuhan WIBM, KUBINA juga telah memperkenalkan anugerah bagi mengiktiraf sumbangan wanita dalam industri pembinaan melalui Malaysian Construction Industry Excellence Awards (MCIEA). Anugerah ini adalah bagi mengiktiraf individu wanita yang mempunyai ciri-ciri terbaik sebagai seorang penggiat industri yang unggul dan telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan industri pembinaan Malaysia.

1

KUALA LUMPUR, 8 MAC 2017: Pembukaan Tanjakan Hubungan Kuchai di Persimpangan Bertingkat Taman Desa, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya pada hari ini.

Tanjakan sepanjang satu kilometer merangkumi laluan bertingkat yang mengunjur ke Tenggara daripada Lebuhraya Besraya sehingga Lebuhraya NPE ini mula dibina pada 20 Jun 2015 dan telah siap dibina pada 27 Februari 2017. Pembinaan Tanjakan Hubungan Kuchai melibatkan struktur jambatan yang terdiri daripada 19 batang tiang (pier) dan 20 rentangan (span) bagi menyediakan laluan satu lorong satu hala.

Tanjakan Hubungan Kuchai yang dibina dengan kos RM56 juta ini akan menyediakan laluan terus dan cepat dari persimpangan berlampu isyarat di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) ke Lebuhraya Baru Pantai (NPE) tanpa perlu melalui persimpangan lampu isyarat Kuchai Lama berhampiran Kilang Ajinomoto.

Dengan siapnya pembinaan Tanjakan Hubungan Kuchai ini, pengguna lebuhraya tidak perlu lagi menunggu di persimpangan lampu isyarat Kuchai Lama dan masa perjalanan dapat dikurangkan kira-kira 10 minit pada waktu puncak di sebelah pagi.

Selain itu, Tanjakan Hubungan Kuchai juga dapat mengurangkan kapasiti kenderaan di persimpangan lampu isyarat tersebut sekaligus membantu aliran trafik di kawasan sekitar kerana pengguna yang hendak ke Lebuhraya NPE dari arah Lebuhraya Besraya boleh menggunakan Tanjakan Hubungan Kuchai.

1

KUALA LUMPUR, 28 FEBRUARI 2017: Lembaga Jurutera Malaysia (Board of Engineers Malaysia) julung kalinya telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan tujuh (7) universiti tempatan iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Multimedia Malaysia dan Taylor’s University.

Memorandum Persefahaman atau MoU ini bertujuan untuk merealisasikan hasrat dan objektif pendaftaran secara berkelompok untuk para graduan kejuruteraan dari tujuh universiti dan jumlah jurutera berdaftar kepada penduduk dijangka dapat ditingkatkan nisbahnya daripada 1:300 pada masa ini kepada 1:100.

Usaha memartabat dan memperkasa profesyen kejuruteraan di Malaysia terutamanya di kalangan graduan diperkukuhkan lagi apabila Malaysia (melalui Lembaga Jurutera Malaysia) menjadi penanda tangan tetap bagi Washington Accord sejak tahun 2009.

Ini bermakna graduan kejuruteraan dari IPTA dan IPTS tempatan yang telah diakreditasi oleh Engineering Accreditation Council (EAC) adalah setaraf (equivalent) atau substantially equivalent dengan graduan penandatangan tetap Washington Accord yang lain. Kebanyakan penandatangan adalah negara maju seperti Jepun, Korea, Kanada, Afrika Selatan, United Kingdom, Amerika dan Russia.

1

KUALA LUMPUR, 28 FEBRUARI 2017: Kementerian Kerja Raya (KKR) menganjurkan Perhimpunan Bulanan KKR dengan dihadiri seluruh warga Kerja Raya dan Agensi. Amanat YB Menteri Kerja Raya telah disampaikan YBhg. Dato’ Sri Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha KKR.

Antara intipati amanat kali ini ialah hasrat Kementerian meneruskan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 2016, projek infrastruktur dalam RMKe-11 yang perlu diteruskan selaras dengan Teras Strategik Ke-5 RMKe-11 iaitu Memperkukuh Infrastruktur Bagi Menyokong Pertumbuhan Ekonomi.

Selain itu, turut disentuh adalah hasrat Kementerian untuk menaikkan taraf Jalan Persekutuan sebagai jalan utama melalui program Jelajah FTRoadpedia KKR yang akan dilaksanakan di empat zon iaitu tengah, timur, selatan dan utara.

Pada akhir amanat, pengurusan tertinggi menyeru seluruh warga Kerja Raya bersama-sama berikrar untuk menjauhi rasuah dan memastikan perkara itu tidak berlaku kerana Kementerian amat memandang serius mengenai perkara tersebut dan tidak akan melindungi sesiapa sahaja yang terlibat dengannya malah akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berwajib dalam menangani gejala rasuah.

1

KUALA TERENGGANU, 24 FEBRUARI 2017: Satu lawatan kerja ke projek pembinaan Kuala Terengganu Bypass oleh YB Dato’ Sri Hj Fadillah Hj Yusof, Menteri Kerja Raya telah diadakan bersempena Jelajah FTRoadpedia Zon Timur.

Projek ini bernilai RM321 juta dan daripada nilai tersebut, sebanyak RM167 juta merupakan kos kontrak manakala kos pengambilan tanah sebanyak RM154 juta. Jajarannya bermula daripada Simpang Tok Molor, Jalan Tok Adis (T12) ke Kampung Durian Burung di Jalan Persekutuan FT03 Kota Bharu – Kuala Terengganu. Projek ini dijangka siap pada Januari 2019.

Skop projek ini melibatkan:

1. Membina jalan baru empat (4) lorong sepanjang 5.875 km dengan Piawai Rekabentuk U5.

2. Membina empat (4) jejambat

3. Membina 2 buah ‘Vehicular Box Culvert’ (VBC)

4. Pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat

5. Pemasangan perabot jalan.

6. Pengalihan utiliti.

7. Pengambilan balik tanah (PBT).

Dengan adanya pembinaan ini ia bakal memberi manfaat kepada 70,000 orang penduduk terutamanya penduduk di kawasan pembangunan Bandar Baru Bukit Besar. Dari segi penjimatan masa, pada masa kini untuk laluan daripada Kuala Ibai ke Durian Burung ketika waktu puncak, ia mengambil masa selama 30 minit dan setelah siapnya laluan Kuala Terengganu Bypass ini, masa perjalanan dapat dikurangkan kepada 10 minit. Ini turut memberi penjimatan terhadap kos bahan api kenderaan. Ia turut memberi kesan terhadap ekonomi kawasan setempat di mana ia bakal membuka koridor baru pembangunan di daerah Kuala Terengganu.

1

KUALA TERENGGANU, 24 FEBRUARI 2017: Kementerian Kerja Raya dengan kerjasama JKR Malaysia, JKR Negeri Pahang dan JKR Negeri Terengganu telah menganjurkan Jelajah FTRoadpedia Zon Timur selama tiga hari iaitu dari 23 hingga 25 Februari 2017.

Hari pertama perjalanan laluan Kuala Lumpur – Kuantan menggunakan Jalan Persekutuan FT68 sehingga Bentong, seterusnya melalui Jalan Persekutuan FT2 sehingga ke Kuantan. Perjalanan ini akan melalui Bandar Temerloh, Maran dan Gambang. Jarak perjalanan ialah 316 km. Hari kedua perjalanan Laluan Kuantan-Kuala Trengganu dengan menggunakan Jalan Persekutuan FT3 yang melalui Bandar Cukai, Kemasik, Kerteh, Paka dan Marang. Jarak perjalanan ialah 195 km.

Objektif utama Jelajah FTRoadpedia Kementerian Kerja Raya 2017 ialah bertujuan untuk menguruskan persepsi rakyat dengan memberi kesegaran pandangan (refreshment outlook) terhadap Jalan Persekutuan yang dibina dan diselenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Program ini juga bertujuan untuk menyerlahkan lagi (highlight) Jalan Persekutuan sebagai jalan utama dan bukannya jalan altenatif sebagaimana dipersepsikan oleh masyarakat kini. Selain itu, program ini menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan Jalan Persekutuan sebagai suatu nikmat kembara budaya dan gaya hidup melalui slogan “cipta detik indah bersama” (Let’s Create A Moment).

Upacara simbolik program adalah penyerahan Travel Guide dan Infomap FTRoadpedia Zon Timur oleh YBhg. Ketua Pengarah Kerja Raya kepada YB Dato’ Sri Hj. Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya.

FTRoadpedia travel guide dan infomap adalah bahan rujukan berbentuk ensiklopedia yang memberikan informasi khusus mengenai Jalan Persekutuan (Federal Trunk Road). Ia diilhamkan dengan tujuan untuk mempromosi Jalan-Jalan Persekutuan serta mengetengahkan tempat-tempat menarik serta persinggahan penting melalui 4 kategori iaitu MAKAN, LAWAT, REHAT dan RAWAT.

Jelajah FTRoadpedia Zon Timur merupakan jelajah kali kedua program seupamanya. Sebelum ini Kementerian Kerja Raya telah menganjurkan program Jelajah dan Karnival FTRoadpedia Kementerian Kerja Raya 2016 di Dewan Komuniti Bestari, Batu 10, Lekir, Manjung, Perak pada 6 Ogos 2016 melibatkan laluan Jalan Persekutuan FT54 dan FT05, dari Ijok, Selangor ke Manjung, Perak.

Program kali kedua ini mengekalkan konsep jelajah yang diketuai oleh YB Menteri Kerja Raya bersama-sama Pengurusan Atasan Kementerian dan Ketua-Ketua Agensi dan turut disertai pengamal-pengamal media dan rakan KKR.

1

KUANTAN, 23 FEBRUARI 2017: Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Hj Fadillah Hj Yusof telah melakukan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan laluan bertingkat di persimpangan Jalan Bukit Ubi di Bandar Kuantan yang merupakan projek diluluskan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak sewaktu program walk-about di Kuantan pada tahun 2014 bertujuan mengurangkan masalah kesesakan aliran trafik Bandar Kuantan terutama di waktu puncak yang mencapai kadar aliran melebihi 10 ribu kenderaan sehari.

Laluan bertingkat ini berukuran 650 meter panjang, berkapasiti 4 lorong dua hala iaitu 2 lorong keluar dan 2 lorong masuk, manakala jalan dan persimpangan yang sedia ada juga dinaiktaraf. Selain itu, laluan persimpangan bertingkat ini juga dilengkapi sistem lampu jalan dan lampu isyarat yang baru. Ia dibina dengan kos kira-kira RM40 juta dan dijangka siap pada bulan April 2017.

Apabila dibuka kelak, laluan bertingkat ini akan menjadi laluan tambahan kepada jalan sedia ada iaitu Jalan Bukit Ubi, Persimpangan Jalan Lim Hoe Lek - Jalan Bukit Ubi dan juga Persimpangan Jalan Bukit Ubi - Jalan Haji Juned.

100 ribu penduduk bakal menerima impak positif daripada projek ini antaranya penduduk di pusat bandar Indera Mahkota, Bukit Setongkol, Kotasas, Bukit Istana serta penjawat awam/swasta yang berkerja disekitar laluan.

Penjimatan masa menunggu lampu isyarat dianggarkan daripada 45 minit kepada 10 minit di persimpangan Bukit Ubi sewaktu waktu puncak untuk perjalanan dari pusat bandar ke Bandar Indera Mahkota.

Lawatan kerja ini adalah bersempena Jelajah FTRoadpedia Kementerian Kerja Raya Zon Timur yang diadakan bertujuan menaikkan semula imej Jalan Persekutuan dengan menggunakan jalan-jalan utama bermula dari Kuala Lumpur dan berakhir di Kuala Terengganu, Terengganu melalui bandar-bandar utama di Pahang dan Terengganu.

1

KOTA KINABALU, 14 FEBRUARI 2017: Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan, Kementerian Kerja Raya telah menganjurkan sesi Taklimat Peluang-Peluang Pakej Kerja dan Pembiayaan di Bawah Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bertempat di Auditorium Kompleks Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah.

Program ini merupakan satu platform yang jelas membuktikan sokongan kuat dan keprihatinan pihak Kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan tahap keterlibatan semua pihak terutamanya kontraktor dan pembekal Bumiputera dalam membuka peluang kerja pembangunan infrastruktur serta industri pembinaan negara terutamanya di negeri Sabah.

Taklimat ini dihadiri kontraktor-kontraktor bumiputera di Sabah, syarikat Borneo Highway PDP Sdn Bhd selaku rakan pelaksana atau Project Delivery Partner (PDP), dan Credit Guarantee Corporation (CGC), selaku syarikat pembiayaan projek-projek di bawah naungan Bank Negara Malaysia.

Ucaptama perasmian telah disampaikan oleh YB Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof dan turut dihadiri YB Datuk Rosnah Binti Haji Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, YBhg. Datuk Haji Osman Bin Haji Jamal, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah, YBhg. Dato’ Haji Ruji Bin Ubi, Pegawai Kemajuan Negeri Sabah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

1

SIMPANG PULAI, 24 JANUARI 2017: Kejuruteraan cerun negara mencapai satu lagi kejayaan apabila jurutera-jurutera Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JKR Daerah Kinta berjaya merealisasikan pembinaan struktur half tunnel yang lebih dikenali di seluruh dunia sebagai rock shed di peringkat antarabangsa.

Majlis flag off rock shed di Seksyen 46 Laluan Persekutuan 185 Jalan Simpang Pulai, – Blue Valley, Perak ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Rosnah Binti Hj. Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya yang turut dihadiri YB Dato’ Zainol Fadzi Paharuddin, Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Perak.

Struktur ini dibina bagi melindungi jajaran jalan dari tertimbus sekiranya runtuhan tanah terjadi sekaligus menyelamatkan pengguna laluan tersebut.Pada masa yang sama, kerja-kerja tanah dari pemotongan bukit dapat dikurangkan seterusnya mengurangkan kesan negatif kepada alam sekitar. Kaedah rock shed ini banyak digunapakai di negara-negara luar seperti Jepun dan Switzerland.

Rock shed ini telah dibina dengan panjang keseluruhan 344 meter dengan kemudahan 2 lorong 2 hala. Kerja-kerja pembaikan cerun ini telah dimulakan pada 29 Januari 2014 dan akan siap pada 8 Februari 2017 dengan nilai kontrak pembaikan cerun sebanyak RM22,339,000.00.

1

KUALA LUMPUR, 20 JANUARI 2017 : Sambutan Majlis Maulidur Rasul peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) 1438H/2017M telah diadakan bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid dan dihadiri lebih 600 warga Kerja Raya dan Agensi.

Majlis dimulakan dengan perarakan warga Kerja Raya yang berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW bermula dari perkarangan Kompleks Kerja Raya menuju ke dalam dewan. Perarakan turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya, Datuk Haji Sarani bin Dollah bersama-sama pengurusan tertinggi Kementerian dan Agensi.

Hadirin kemudian diperdengarkan bacaan Al-Quran oleh Ustaz Wan Ainuddin Hilmi, dendangan nasyid oleh kumpulan Far-East, ceramah oleh Ustaz Dato’ Dr Mohd Izhar Ariff dan diakhiri dengan selawat beramai-ramai.