Langkau ke kandungan utama
1

Projek Pembinaan Laluan Bertingkat di Persimpangan Jalan Bukit Ubi, Kuantan Pahang

KUANTAN, 23 FEBRUARI 2017: Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Hj Fadillah Hj Yusof telah melakukan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan laluan bertingkat di persimpangan Jalan Bukit Ubi di Bandar Kuantan yang merupakan projek diluluskan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak sewaktu program walk-about di Kuantan pada tahun 2014 bertujuan mengurangkan masalah kesesakan aliran trafik Bandar Kuantan terutama di waktu puncak yang mencapai kadar aliran melebihi 10 ribu kenderaan sehari.

Laluan bertingkat ini berukuran 650 meter panjang, berkapasiti 4 lorong dua hala iaitu 2 lorong keluar dan 2 lorong masuk, manakala jalan dan persimpangan yang sedia ada juga dinaiktaraf. Selain itu, laluan persimpangan bertingkat ini juga dilengkapi sistem lampu jalan dan lampu isyarat yang baru. Ia dibina dengan kos kira-kira RM40 juta dan dijangka siap pada bulan April 2017.

Apabila dibuka kelak, laluan bertingkat ini akan menjadi laluan tambahan kepada jalan sedia ada iaitu Jalan Bukit Ubi, Persimpangan Jalan Lim Hoe Lek - Jalan Bukit Ubi dan juga Persimpangan Jalan Bukit Ubi - Jalan Haji Juned.

100 ribu penduduk bakal menerima impak positif daripada projek ini antaranya penduduk di pusat bandar Indera Mahkota, Bukit Setongkol, Kotasas, Bukit Istana serta penjawat awam/swasta yang berkerja disekitar laluan.

Penjimatan masa menunggu lampu isyarat dianggarkan daripada 45 minit kepada 10 minit di persimpangan Bukit Ubi sewaktu waktu puncak untuk perjalanan dari pusat bandar ke Bandar Indera Mahkota.

Lawatan kerja ini adalah bersempena Jelajah FTRoadpedia Kementerian Kerja Raya Zon Timur yang diadakan bertujuan menaikkan semula imej Jalan Persekutuan dengan menggunakan jalan-jalan utama bermula dari Kuala Lumpur dan berakhir di Kuala Terengganu, Terengganu melalui bandar-bandar utama di Pahang dan Terengganu.

Tarikh Dan Waktu Acara